HAKIKATNYA, asal kejadian kita oleh ALLAH SWT adalah bersih, kuat dan hebat. Namun, disebabkan oleh kegagalan menguruskan pemikiran dan emosi dengan betul, akhirnya nafsu menguasai diri kerana melebihi kadar keimanan.
Maka, tidak hairanlah masih ramai yang rapuh, tidak bermaya, mudah dipengaruhi dan tidak mempunyai pendirian tegas dalam hidup.
Tambahan pula, ‘menyelaputi’ diri dengan pelbagai sentimen buruk akan menambahkan lagi ‘kesengsaraan’ pemikiran dan emosi dalam diri. Akhirnya, kita akan menerima impak negatif yang cukup besar dalam hidup.
Sebetulnya, sentimen kerap kali dikaitkan dengan perasaan yang berlebihan dan suka menurut kata hati. Selain itu, ia melibatkan perasaan yang halus dan mudah mengusik jiwa.
Malah, sentimen juga dikaitkan dengan sikap suka mengapi-apikan dan ekstrem dalam memberikan pandangan, cepat tersinggung serta suka menokok tambah sesuatu perkara.
Sentimen juga melibatkan gabungan kepercayaan dan emosi yang diterjemahkan menerusi tindakan. Persoalannya, adakah semua sentimen itu buruk ? Menurut perspektif psikologi, sentimen adalah sesuatu yang dipelajari dan bersifat kekal dalam diri.
Setiap individu mempunyai sentimen berbeza mengikut latar belakang keluarga dan pengaruh persekitaran. Jika mereka dalam kalangan masyarakat Melayu, tentunya sentimen berkaitan agama, budaya, pemakanan dan gaya hidup akan dipertahankan oleh mereka. Begitu jugalah dengan bangsa-bangsa lain.
Bagi mereka yang terlibat dengan organisasi dan pelbagai agensi juga mempunyai sentimen berbeza mengikut latar, sosiobudaya serta objektif organisasi berkenaan.
Begitu juga kecenderungan minat yang berbeza terhadap sesuatu, sudah tentu sentimen terhadap apa yang diminati lebih tinggi berbanding perkara lain.
Justeru, kepelbagaian sentimen sebegitu tidak sedikit pun menjadi masalah dalam hidup berdasarkan hak dan kecenderungan minat masing-masing.
MENGAPI-API
Namun, yang menjadi masalah adalah pertembungan kepelbagaian idea dan memenuhi pelbagai agenda menyebabkan sentimen semula jadi itu menjadi buruk. Tambahan pula melibatkan sikap suka merumus, mengapi-apikan emosi dan memperlekehkan kecenderungan orang lain.
Apa yang nyata, kesan daripada momokan sentimen negatif yang berpanjangan boleh ‘mematikan’ akal kerana sudah keliru antara fakta dan auta.
Lihatlah apa yang telah berlaku di Malaysia hari ini. ‘Peperangan sentimen’ sama ada bersifat perkauman, perbezaan agama dan kecenderungan politik masih belum selesai. Malah ‘peluru sentimen’ sentiasa diledakkan ke dalam masyarakat demi memenuhi agenda peribadi dan kelompok.
Pada hemat saya, sentimen yang buruk boleh diatasi dengan membajai akal dengan ilmu. Jika kita sentiasa mendisiplinkan diri dengan ilmu, sudah tentu kita dapat membezakan antara yang benar dan batil. Yang penting, kita masih berada pada landasan hidup yang betul.
Menurut Dr Yusuf al-Qaradhawi menerusi bukunya ‘Kemanisan Iman’ – "Matlamat dan peranan manusia adalah jelas. Manusia tidak dijadikan sia-sia dan tidak dibiarkan begitu sahaja. Ia dijadikan untuk tujuan dan hikmah tertentu. Ia tidak dijadikan untuk dirinya atau menjadi hamba kepada salah satu unsur dalam alam ini. Ia juga tidak dijadikan untuk berseronok sebagaimana binatang-binatang berseronok.
Bukan juga dijadikan untuk hidup dalam beberapa tahun yang pendek atau panjang, kemudian ditelan tanah, dimakan ulat dan dimamah oleh kebinasaan.” Berkaitan hal itu, ALLAH SWT telah berfirman: "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada kami?” (Surah Al-Mukminun, 23:115).
Semoga tujuan hidup kita tidak ditenggelami oleh sentimen yang mematikan akal. Istiqamahlah dengan ilmu.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca