SHAH ALAM - Kabinet mempunyai kuasa untuk menentukan bentuk pemberian kepada bekas perdana menteri dengan merujuk kepada Akta Pencen Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang telah diluluskan pada 1971.
Malah pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, di dalam akta itu dinyatakan beberapa bentuk pemberian kepada bekas perdana menteri antaranya kediaman atau rumah yang lengkap begitu juga kemudahan kenderaan berserta dengan pemandu.
Beliau menjelaskan, pada dasarnya faedah yang diperuntukkan kepada mantan perdana menteri adalah termaktub di bawah Akta Ahli Parlimen Saraan 1980 pindaan 2003.
"Ia merupakan akta berkaitan saraan ahli-ahli Parlimen termasuk mereka yang memegang jawatan dalam badan eksekutif seperti perdana menteri, menteri dan timbalan menteri.
"Di bawah akta ini diperuntukkan bahawa faedah yang diberikan kepada bekas perdana menteri adalah berteraskan kepada faedah serupa dalam akta yang diluluskan pada tahun 1971 iaitu Akta Pencen Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj,” kata Muhammad Fathi kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Melibatkan permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mendapat peruntukan faedah kediaman dan hartanah yang bernilai RM100 juta, Muhammad Fathi berkata, sebenarnya nilai untuk kediaman tidak dinyatakan dalam peruntukan akta berkenaan sebaliknya terpulang kepada kelulusan kabinet.
"Sebenarnya peruntukan untuk bekas perdana menteri ini bukan sesuatu yang ganjil tetapi adalah satu bentuk penghargaan untuk individu yang berjasa kepada negara.
"Ia adalah kondisi umum di mana-mana negara sekalipun namun nilai yang diberi haruslah wajar dan sesuai dengan situasi ekonomi misalnya dan juga sesuai dengan keperluan bekas perdana menteri berkenaan.
"Pada saya nilainya tidak perlu terlalu besar hingga mencapai RM100 juta,” katanya.
Bagaimanapun katanya, kabinet mempunyai kuasa untuk menentukan bentuk pemberian dengan merujuk kepada Akta Pencen Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Sama ada wajar permohonan tersebut diberikan kepada seorang bekas perdana menteri yang sedang menghadapi pendakwaan di mahkamah, Muhammad Fathi berpandangan, kerajaan perlu membuat satu pertimbangan seimbang agar tidak terpalit tanggapan negatif.
"Bagi saya faedah yang ditentukan akta itu wajar diberikan tetapi pada kadar sederhana, sesuai dengan keperluan dan realiti di mana penerima sedang berdepan pendakwaan di mahkamah,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca