INSIDEN bertempur dengan komunis dan melihat dua rakan seperjuangan gugur di medan perang di Gunung Korbu, Perak pada 1 Jun 1979 masih segar dalam ingatan veteran anggota tentera, Koperal Zulhisham Sharum.
Zulhisham, 63, berkata, dalam operasi khas itu, beliau berkhidmat dengan platun Risik Gempur yang dikenali sebagai Platun UCIS Rejimen Ke-8.
"Saya menyertai pasukan itu bersama dua rakan iaitu Allahyarham Renjer Baharuddin Yahya dan Allahyarham Koperal Ramli Othman yang terkorban dalam pertempuran tersebut,” katanya ketika ditemui pada majlis tahlil di rumah keluarga Ramli di Bangi baru-baru ini.
Zulhisham berkata, ketua platun pada waktu itu pula ialah mendiang Datuk Kanang anak Langkau.
"Kanang dikenali sebagai seorang tokoh pahlawan berketurunan Iban. Nama mendiang turut tercatat dalam sejarah negara sebagai seorang insan yang berani berhadapan dengan musuh demi menjaga kedaulatan negara,” katanya.
Zulhisham turut mengimbau kembali kenangan sehari sebelum pertempuran dengan pasukan komunis di dalam hutan tersebut.
"Saya bersama 34 askar termasuk Ramli mengikut jejak komunis sebelum menemui satu kem yang baru ditinggalkan musuh,” ujarnya.
Hasil pemeriksaan, katanya, pasukan askar menemui kuih lepat ubi di dalam plastik dan diletakkan di atas busut.
"Pada ketika itu, kami makan kuih tersebut tanpa berfikir panjang kerana kelaparan. Mujur kuih itu tidak mengandungi racun,” katanya.
Zulhisham berkata, mereka kemudian meneruskan perjalanan sehingga terjumpa dengan dua orang komunis sedang mencabut ubi.
"Ramli menjerit kepada saya supaya kejar dan memberkas askar komunis itu, namun mereka berjaya meloloskan diri,” ceritanya.
Beliau berkata, pasukannya kemudian membuat keputusan untuk bermalam di kawasan tersebut sebelum meneruskan perjalanan pada keesokan hari.
"Saya dan Ramli memasak makanan. Pada ketika itu saya melihat perubahan sikapnya, beliau tidak menjamah makanan yang dimasak dan hanya berdiam diri,” ujarnya.
Zulhisham berkata, pada keesokan hari, setelah pasukan tentera itu meneruskan perjalanan, Kanang memaklumkan bahawa musuh sudah dekat apabila beliau mengesan ‘tanda-tanda’ di kawasan persekitaran.
"Pada ketika itu hujan renyai, kami sudah berada di dalam kawasan musuh dan mula bergerak dalam taktikal serangan.
"Kami dapat melihat dengan jelas seorang komunis wanita yang bertindak sebagai pengawal,” katanya.
Menurutnya, selepas anggota pasukan berada dalam posisi masing-masing, Kanang memberi isyarat serang selepas beliau melepaskan tembakan daripada senjatanya jenis M79.
"Musuh dalam keadaan terkejut kerana tidak menjangkakan akan berlaku serangan pada lewat petang itu.
"Musuh menyerang balas, namun kami dapat membunuh lima komunis (tiga lelaki dan dua wanita),” katanya.
Zulhisham berkata, dalam serangan itu, Baharuddin terkena tembakan komunis di dada dan rusuk.
"Saya segera menghampiri Baharuddin yang parah. Saya suruh dia mengucap sebelum dia menghembuskan nafas terakhir,” katanya.
Zulhisham berkata, beliau menyedari seorang lagi rakan baiknya, Ramli telah hilang.
"Pada keesokan pagi, selepas melakukan pencarian, kami menemui jenazah Ramli di sebatang pokok. Beliau terkena tembakan musuh di kepala dan dada,” katanya
SEDIH HILANG SAHABAT BAIK
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) Johor, Koperal Mohammad Ayob berkata, beliau terkejut dan sedih apabila mendengar berita rakan baiknya, Ramli terkoban dalam pertempuran itu.
"Saya kehilangan seorang sahabat baik. Kami bersama memulakan karier dalam ketenteraan dengan menerima latihan sebagai rekrut pada 29 Januari 1977,” katanya.
Mohammad, 64, berkata, pada hari kejadian, beliau dan Ramli ditugaskan dalam pasukan berlainan.
"Saya bersama Platun 11 Delta Komp diketuai Leftenan Shaari, manakala Ramli pula bersama Platun C. Walaupun pasukan berlainan, namun matlamat kami sama iaitu mencari dan memusnahkan musuh komunis.
"Selepas pertempuran itu, pasukan askar yang terlibat membersihkan landing point untuk membawa pulang jenazah Ramli dan Baharuddin dengan menaiki helikopter,” katanya.
KELUARGA TIDAK TAHU
Dalam perkembangan sama, adik kepada Allahyarham Ramli, Azhar Othman, 63, berkata, keluarganya tidak mengetahui anak kelapan daripada 13 adik beradik itu menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Sebelum Ramli berkhidmat dengan ATM, beliau membantu perniagaan keluarga di sebuah kedai makan di Kajang.
"Kami sekeluarga mengetahui Ramli sudah menjadi askar apabila beliau sedang menjalani kursus latihan,” katanya.
Azhar berkata, ibu bapanya reda apabila mengetahui Ramli menjadi seorang anggota tentera.
"Kali terakhir saya berjumpa dengan Ramli apabila beliau sedang bercuti. Ramli ada meminta wang dengan saya sebanyak RM200 dan berpesan jangan beritahu ahli keluarga.
"Ramli juga memaklumkan beliau gembira menjadi anggota tentera kerana ramai sahabatnya juga berkhidmat dalam ATM selain mahu menabur bakti kepada negara,” katanya.
Azhar berkata, pada hari kejadian, anggota polis telah datang ke kedai makan untuk memaklumkan kepada ibu bapanya bahawa Ramli telah terkorban dalam pertempuran itu.
"Jenazah Ramli selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Sungai Ramal Luar,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua PVATTBM Selangor, Faridah Mat Hussain berkata, masyarakat terutama generasi muda pada masa kini seharusnya menghargai jasa perwira yang sanggup menggadaikan nyawa demi mempertahankan negara.
"Generasi muda sepatutnya melahirkan rasa bersyukur dan terhutang budi atas pengorbanan perajurit negara yang berkorban jiwa dan raga demi mendaulatkan bumi tercinta ini,” katanya.
Faridah berkata, pihaknya juga sedang berusaha untuk mengumpul dana sumbangan daripada masyarakat sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan kepada pahlawan negara.
"Sumbangan dana bagi memberi bantuan kebajikan kepada veteran meringankan beban. Sekecil mana pun sumbangan, namun besar pengertiannya,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mahu menghulurkan sumbangan, boleh menyalurkan kepada akaun 3817146822 (Public Bank) atas nama infak, PVATTBM Selangor.
Klik di sini untuk terus membaca