SHAH ALAM - Tiga bekas ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi punca kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Melaka sedang ketinggalan dalam kiraan semasa tidak rasmi Pilihan Raya Negeri (PRN) itu.
Paling mengejutkan calon heavyweight yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron jauh ditinggalkan di DUN Asahan kepada calon Barisan Nasional.
Idris sebelum ini merupakan ADUN Sungai Udang dan dikatakan bertanding di Asahan di bawah payung Pakatan Harapan (PH) di kerusi yang lebih selamat dan juga kampung halamannya.
Calon BN, Fairul Nizam Roslan (BN) menunjukkan taring apabila setakat jam 8 malam jauh di depan dengan dengan 3,708 undi.
Beliau meninggalkan pencabarnya, Idris (PH) 1,484 undi dan calon Perikatan Nasional, B.Dhanesh sebanyak 912 undi.
Tiga lagi calon Bebas nampaknya gagal untuk mencabar tiga calon tersebut.
Sementara itu di DUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee yang terpaksa bertanding sebagai calon Bebas selepas tidak disunting mana-mana parti juga sedang ketinggalan.
Beliau ketika ini baru mendapat 623 undi.
Di DUN tersebut calon muda PH, Muhamad Danish Zainudin sedang di depan dengan 2,178 undi.
Calon BN, Datuk Kalsom Nordin mengekori rapat 2,106 undi manakala calon PN, Mohd Azrudin Md Idris 1,101 undi.
Sementara itu di DUN Pantai Kundor, calon BN Tuminah Kadi @ Mohd Hashim sedang didepan dengan 2,341 undi meninggalkan calon PN, Mohamad Ridzwan Mustafa 1,961 undi manakala Datuk Nor Azman Hassan mendapat 1,752 undi.
Nor Azman juga merupakan calon yang menarik sokongan terhadap kerajaan BN sebelum ini.
Klik di sini untuk terus membaca