MELAKA - Barisan Nasional (BN) difahamkan sedang mendahului perlumbaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah 217 pusat mengundi ditutup secara rasmi pada 5.30 petang pada Sabtu. Lebih... Klik di sini untuk terus membaca

MELAKA - Barisan Nasional (BN) difahamkan sedang mendahului perlumbaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah 217 pusat mengundi ditutup secara rasmi pada 5.30 petang pada Sabtu.

Lebih menarik, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendakwa Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Abdul Rauf Yusoh telah berjaya menumbangkan calon Ketua Menteri daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam pertembungan tiga penjuru di DUN Tanjung Bidara.

Sumber BN berkata, selain faktor peratusan keluar mengundi rakyat Melaka yang rendah, kejayaan jentera pilihan raya UMNO dan BN memastikan 80 peratus pengundi 'putih' keluar mengundi turut menyumbang ke arah kemenangan koalisi itu di 14 kerusi DUN berkenaan.

Bagaimanapun, sumber berkenaan yang terlibat dalam penyelarasan jentera BN di sepanjang PRN Melaka, mengakui Pakatan Harapan (PH) dipercayai mempunyai kelebihan untuk menang sembilan kerusi DUN.

"Bagi lebihan lima kerusi DUN lagi, tiga daripadanya berpotensi dimenangi calon daripada Perikatan Nasional (PN) iaitu kerusi DUN Bemban, Rembia dan Telok Mas.

"Meskipun sebelum ini terdapat indikator menunjukkan Ab Rauf berkemungkinan kalah kepada Mas Ermieyati yang juga merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

"Namun, sokongan akar umbi UMNO yang kukuh terhadap Ab Rauf selain kemungkinan berlaku 'swing vote' daripada sebahagian pengundi Pas yang lebih cenderung menyokong Muafakat Nasional (MN) dipercayai antara faktor kerusi tradisi UMNO itu berjaya dipertahankan," kata sumber berkenaan yang enggan dinamakan kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Setakat jam 8 malam, berdasarkan kiraan undi tidak rasmi, BN diunjurkan sedang berada di hadapan dengan empat DUN, diekori rapat dengan PH dengan tiga kerusi.

Empat DUN BN yang dianggap menang tidak rasmi ketika ini ialah Rim, Rembia, Tanjung Bidara dan Kelebang.

Keputusan tidak rasmi itu turut menunjukkan Ab Rauf sedang mendahului dengan 2,262 undian, diikuti oleh Mas Ermieyati (1,889 undi) dan calon PH, Zainal Hasan (278 undi).

Calon-calon DUN Tanjung Bidara (dari kiri) Zainal, Mas Ermieyati dan Ab Rauf bergambar di Pusat Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri Melaka di Bangunan Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Tanjung Bidara pada 8 November lepas.

PRN Melaka diadakan pada hari ini susulan tindakan empat bekas Exco Kerajaan Negeri daripada blok kerajaan menarik sokongan terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali sehingga menyebabkan kerajaan negeri BN-PN jatuh pada 4 Oktober lalu.

Secara keseluruhan terdapat 495,196 pengundi yang layak mengundi pada PRN ini dan SPR menyasarkan 70 peratus daripada mereka hadir melaksanakan tugas memilih kerajaan baharu .

Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan kadar turun mengundi adalah seramai 61 peratus setakat jam 4 petang tadi, manakala peratusan untuk jam 1 petang hanya pada 43 peratus.

Jumlah keseluruhan DUN Melaka adalah sebanyak 28 kerusi dan mana-mana parti atau koalisi yang mahu membentuk kerajaan negeri perlu memenangi sekurang-kurangnya 15 kerusi DUN bagi mendapatkan majoriti mudah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PH berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah di Melaka setelah koalisi diterajui Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP menang 15 kerusi DUN.

Bagaimanapun, peristiwa kejatuhan kerajaan PH menerusi 'Langkah Sheraton' pada Februari tahun lalu menyebabkan kerajaan negeri turut tumbang.

Hal ini susulan dua bekas ADUN Bersatu iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Datuk Noor Effandi Ahmad selain bekas ADUN PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan bekas ADUN Bebas, Datuk Norhizam Hassan Baktee keluar parti untuk menyokong pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Melaka.

Mengulas lanjut, sumber berkenaan turut menegaskan BN bersedia untuk membentuk kerajaan negeri secara bersendirian sekali pun hanya memenangi PRN Melaka dengan majoriti mudah.

AB RAUF

Jelas beliau, tiada keperluan untuk BN mewujudkan koalisi dengan mana-mana parti gabungan lain bagi mentadbir kerajaan negeri Melaka memandangkan calon-calon ditampilkan parti itu adalah berintegriti, profesional dan tidak terkait dengan pengaruh mana-mana pemimpin warlord.

"Dengan 15 kerusi DUN sahaja pun, kita yakin dapat mewujudkan kerajaan stabil sebab calon ditampilkan adalah muka baharu dan tidak terkait dengan drama pertelingkahan politik dalam kalangan pemimpin warlord negeri.

"Ada juga kemungkinan BN akan menang lebih banyak kerusi, namun segalanya bergantung kepada kehendak pengundi Melaka sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Bastien Onn sewaktu dihubungi mengakui BN memiliki peluang besar untuk menubuhkan kerajaan negeri baharu pada PRN kali ini.

Katanya, cerapan itu berasaskan kejayaaan jentera Jalinan Rakyat (JR) parti yang berjaya memastikan jumlah pengundi putih keluar mengundi melepasi angka disasarkan.

"Walaupun kadar peratusan rakyat Melaka keluar mengundi rendah, situasi ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada BN.

"Akhirnya, penentu kemenangan parti-parti bertanding pada PRN Melaka kali adalah undi penyokong tegar dan BN sememangnya diakui mempunyai kekuatan akar umbi yang kukuh di negeri ini," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca