[DIKEMAS KINI] Gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menutup tirai pada Sabtu dengan menyaksikan pengundi bumi Hang Tuah memberi mandat kepada parti Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan Negeri Melaka bagi tempoh lima tahun akan... Klik di sini untuk terus membaca

[DIKEMAS KINI] Gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menutup tirai pada Sabtu dengan menyaksikan pengundi bumi Hang Tuah memberi mandat kepada parti Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan Negeri Melaka bagi tempoh lima tahun akan datang.

BN menoktahkan persaingan sengit PRN Melaka dengan meraih 21 kerusi dari 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan manakala dua pencabar terdekat iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) masing-masing mendapat lima dan dua kerusi.

Pada dasarnya, pengundi Melaka menterjemahkan parti BN belum kehilangan taring politik dan terus bangkit membuktikan keberadaannya masih relevan di bumi Melaka.

Yang pasti, kemenangan besar BN menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, diangkat menjadi Ketua Menteri Melaka ke-13, sekali gus menidakkan peluang calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dari Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN) dan ADUN Bukit Katil dari Pakatan Harapan (PH), Adly Zahari bagi merebut jawatan Ketua Menteri susulan kekalahan dua parti tersebut.

Sulaiman, 56, mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam di Istana Melaka pada jam 1 pagi tadi.

Pelantikan kali kedua itu umpama sirih pulang ke gagang buat Sulaiman yang juga bekas Ketua Menteri Melaka ke-12 di bawah koalisi BN-PN menggantikan Adly Zahari yang dilantik Ketua Menteri Melaka Ke-11 pada 11 Mei 2018 di bawah pemerintahan PH.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu terpaksa melepaskan jawatan Ketua Menteri disandangnya susulan drama penarikan sokongan oleh empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Idris Haron (BN- Sungai Udang), Nor Azman Hassan (BN- Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Bebas- Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Keempat-empatnya mendakwa hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Sulaiman dan akhirnya membawa kepada pembubaran DUN Melaka pada 4 Oktober lalu.

Sulaiman Md Ali (tengah) membuang undi di Sekolah Kebangsaan Durian Daun (K), Masjid Tanah, Melaka pada Sabtu.

SULAIMAN BUKTI KEKUATAN DI LENDU

Namun, penyandang kerusi DUN Lendu itu berjaya membuktikan beliau masih mempunyai kredibiliti yang kuat dengan kemenangan bergaya ke atas dua pencabar beliau, Mejar (B) Abdullah Mahadi (PN) dan Mohamad Asri Ibrahim (PH).

Sulaiman yang juga Setiausaha UMNO Masjid Tanah berjaya menang besar dengan 4,521 undi sementara Abdullah Mahadi dan Mohamad Asri masing-masing memperoleh 1,382 dan 1,155 undi.

Menurut penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Ummu Atiyah Ahmad Zakuan, kemenangan selesa Sulaiman adalah disebabkan pengundi tegar UMNO/BN yang setia dan tidak berpaling tadah kepada calon parti lain.

"Trend pengundi UMNO/BN adalah mereka sangat setia dan 'solid' menyokong calon parti tersebut. Untuk calon PH dan PN yang berdepan kekalahan di DUN Lendu berkemungkinan besar disebabkan penyokong mereka adalah daripada kelompok pengundi atas pagar atau pengundi yang berada di luar Melaka.

"Ini boleh disokong apabila melihat peratusan keluar mengundi yang rendah . Hal ini memberi impak besar kepada jumlah undi yang diperolehi oleh PN dan PH, sekali gus memberi kelebihan kepada BN," ujar Ummu Atiyah kepada Sinar Premium.

Tegas Ummu Atiyah, apa yang lebih penting pasca kemenangan parti BN dalam PRN Melaka kali ini rakyat negeri itu perlu bersikap lebih proaktif dalam memastikan manifesto yang dijanjikan dipenuhi sepenuhnya.

"Rakyat Melaka perlu lebih proaktif di dalam memantau dan menuntut kerajaan yang bakal naik memenuhi manifesto yang dijanjikan. Itu akan memastikan perubahan yang besar dan lebih lestari," katanya.

DR UMMU ATIYAH

Klik di sini untuk terus membaca