SHAH ALAM - Sebanyak 61 peratus pemilih keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sehingga jam 4 petang Sabtu.
Perkara tersebut disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Peratus keseluruhan keluar mengundi biasa bagi PRN Melaka ke-15 pada jam 4 petang adalah sebanyak 61 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada Jumaat, Setiausaha SPR, Datuk Ikmakrudin Ishak berkata, seramai 476,037 orang pemilih layak mengundi pada PRN Melaka.
Menurutnya, sebanyak 217 pusat mengundi dan 1,109 saluran dibuka dengan dibantu 12,290 petugas.
Pada 18 Oktober, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, SPR menyasarkan kira-kira 70 peratus daripada pengundi yang layak akan keluar mengundi, lebih rendah berbanding 80 peratus pada Pilihan Raya Umum 2018.
Abdul Ghani berkata, sasaran itu agak rendah berbanding jumlah biasa pada pelaksanaan pilihan raya sebelum ini dengan mengambil kira tempoh pandemik Covid-19 yang belum berakhir.
Pengundian awal pada 16 November lalu menyaksikan peratusan keluar mengundi sebanyak 89.9 peratus dengan 10,390 pengundi terdiri daripada anggota tentera, polis dan pasangan mereka.
Sementara itu, Penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, peratusan keluar mengundi yang rendah dalam PRN Melaka dilihat berpunca daripada beberapa faktor, termasuk kebimbangan penularan Covid-19 dan protes terhadap calon.
Katanya, walaupun majoriti rakyat sudah divaksin, kebimbangan orang ramai terhadap penularan Covid-19 tetap ada, sebagaimana yang berlaku pada PRN Sabah tahun lalu.
Menurutnya, ia dipercayai faktor utama menyebabkan ada sebahagian pengundi yang layak enggan turun menjalankan tanggungjawab memilih wakil rakyat masing-masing.
"Selain itu, saya melihat ia sebagai tanda protes pengundi terhadap wakil rakyat mereka.
"Ada kemungkinan mereka merasakan menjadi satu kerugian jika keluar mengundi kerana bimbang peristiwa wakil rakyat melompat dan mengubah sokongan.
"Jadi, mereka mungkin beranggapan tiada beza jika mengundi atau tidak kerana tiada apa yang mustahil berlaku sebagaimana sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Awang Azman berkata, faktor ketiga yang mungkin menyebabkan pengundi tidak keluar mengundi adalah disebabkan musim cuti sekolah dan Krismas yang semakin hampir.
Jelasnya, mungkin pengundi yang bekerja di luar negeri ini memilih untuk bercuti panjang bersama keluarga pada hujung tahun dan ‘mengorbankan’ kewajipan mengundi.
"Semuanya ada kaitan antara satu sama lain. Apatah lagi dengan faktor ekonomi, saya melihat mereka membuat pilihan dari segi keutamaan.
"Mungkin jika balik mengundi, dia hanya pulang berseorangan tapi jika cuti hujung tahun, boleh bersama keluarga,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca