KERAJAAN pada hari ini sedang berusaha menggalakkan orang ramai menerima suntikan dos penggalak, lebih-lebih lagi bagi individu yang tidak mencapai tahap optimum dengan dua dos vaksin sahaja.
Bagaimanapun, program pemberian dos penggalak yang dilaksanakan kerajaan itu masih belum menerima sambutan menggalakkan.
SinChew Daily dalam ruangan lidah pengarangnya berkata, sehingga hari ini, orang ramai masih mengambil sikap waspada kerana bimbang akan memudaratkan kesihatan sendiri.
"Pada Oktober lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengumumkan penerima dos ketiga meliputi petugas barisan hadapan kesihatan, keselamatan dan pertahanan termasuk pesakit kurang daya tahan imun, warga emas dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan.
"Selepas itu, pada 10 November lalu, Khairy Jamaluddin mengumumkan keputusan kerajaan untuk memperluaskan suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 ini kepada individu berusia 40 tahun ke atas dengan menerima janji temu melalui MySejahtera.
"Namun, usaha murni kerajaan disambut dingin oleh mereka yang sepatutnya mendapatkan vaksinasi. Mengikut laporan, kira-kira 40 peratus individu yang menerima janji temu untuk vaksinasi dos penggalak tidak hadir untuk menerima suntikan itu,” tulis akhbar itu.Akhbar Cina itu mengulas, selain bimbang keberkesanan suntikan dos penggalak, terdapat juga beberapa sebab lain yang menyebabkan usaha kerajaan itu ditolak orang ramai.
"Adalah dijangkakan, penularan Covid-19 ini akan terus melanda seluruh dunia beberapa tahun akan datang. Semua orang seharusnya bersedia ‘hidup bersama virus Covid-19’ dan menyesuaikan diri dengan norma baharu.
"Malangnya, masih terdapat segelintir rakyat kita terlalu optimis bahawa kita sudah berjaya dalam memerangi penularan virus ini. Ini mendorong mereka untuk tidak lagi menerima suntikan ketiga.
"Selain itu, tidak kurang juga dalam kalangan warga emas yang menerima maklumat tidak tepat kononnya pemberian vaksin campuran adalah tidak selamat. Keadaan ini diburukkan lagi apabila dihalang oleh anak-anak mereka,” kata akhbar itu.
Dalam pada itu, SinChew Daily turut mengulas berhubung keputusan Pusat Penyelidikan Undian UCSI, yang menyatakan sebanyak 71.4 peratus daripada 1,075 responden bersetuju menerima dos penggalak vaksin Covid-19.
"Hasil daripada keputusan itu menunjukkan rakyat di negara kita masih yakin, berasa selamat serta bersedia menerima dos penggalak.
"Selain itu, turut didapati 18.4 peratus daripada keseluruhan responden terbabit tidak pasti sama ada ingin menerima dos penggalak manakala 10.2 peratus memilih untuk menolak.
"Secara kesimpulannya, dos penggalak dilihat sebagai perlindungan tambahan daripada Covid-19 dan membolehkan orang ramai menjalani kehidupan dengan lebih yakin,” kata akhbar itu.
Dalam usaha menggalakkan lebih ramai orang yakin terhadap dos penggalak, akhbar Cina itu mencadangkan kepada kerajaan agar meningkatkan lagi publisiti dan maklumat lebih terperinci akan kebaikan dos penggalak.
"Kemunculan beberapa varian sejak kebelakangan ini juga perlu diawasi. Misalnya sepanjang tempoh 20 hingga 28 Oktober lalu, sebanyak 261 lagi kes baharu melibatkan varian membimbangkan dikesan di negara ini dengan varian Delta mencatatkan angka tertinggi iaitu 259 kes jangkitan. Selain Delta, satu lagi varian dikesan adalah Beta yang merekodkan dua kes.
"Inilah situasi yang masih membimbangkan kita. Untuk itu, demi keselamatan dan kesihatan semua, amatlah penting untuk menyahut seruan kerajaan dengan menerima dos penggalak secepat yang mungkin.
"Dos penggalak akan mengurangkan risiko daripada diserang virus Covid-19,” kata akhbar itu lagi.
* Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca