MINGGU ini dan minggu lalu saya menemui doktor pakar yang merawat saya sejak lebih 10 tahun untuk pemeriksaan kesihatan tahunan.
Alhamdulillah, kesihatan saya umumnya memuaskan bagi seorang yang berusia lebih 70 tahun. Tapi itu bukan ceritanya.
Yang menjadi cerita adalah doktor pakar itu sendiri sukar hendak tidur nyenyak kerana diganggu oleh apa yang sedang berlaku di Malaysia sekarang.
Tetapi cerita beliau itu tidaklah mengejutkan kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, khususnya pada waktu berlaku pandemik Covid-19, ramai orang dilaporkan mengalami tekanan jiwa sehingga membawa kepada kejadian lain seperti bunuh diri, keganasan rumah tangga dan perceraian.
Adalah amat mendukacitakan untuk mengakui bahawa Malaysia bukanlah lagi negara gembira dalam kalangan negara-negara yang sama taraf dengannya.
Tidak lama dulu, Malaysia diakui sebagai negara yang penduduk dan pengunjungnya berasa puas hati, gembira dan berasa selamat.
Antara bukti kepada suasana itu adalah ramai orang luar datang mencari makan, bercuti dan menjadikan Malaysia tempat tinggal kedua mereka.
Sekarang bukan sahaja ekonomi kita berada dalam keadaan lembab akibat Covid-19 akan tetapi yang lebih merisaukan adalah ketidakstabilan politik sejak rampasan kuasa luar Parlimen ke atas kerajaan Pakatan Harapan (PH) oleh Perikatan Nasional (PN), iaitu gabungan parti Bersatu, UMNO, Pas dan Gabungan Parti-parti Sarawak, pada awal tahun 2020.
Keadaan menjadi lebih keliru dan tidak stabil apabila UMNO merampas pucuk pimpinan PN daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Ismail Sabri membuang nama kerajaan PN dan menggantikannya dengan label Keluarga Malaysia walaupun PN terus menganggotai kerajaan beliau.
Jadi tidak hairanlah jika markah penarafan demi penarafan dan kajian demi kajian yang dilakukan ke atas pelbagai aspek ekonomi Malaysia semakin menurun.
Ini kerana selain faktor ekonomi, kita dibebankan oleh politik kacau-bilau dan persepsi rasuah yang semakin negatif. Malaysia dilihat sebagai semakin tidak telus dan tidak serius memerangi rasuah.
Perbicaraan kes-kes rasuah yang melibatkan bekas pemimpin kerajaan BN, khususnya bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang meleret dan sudah berlangsung hampir tiga tahun, tidak membantu mengembalikan keyakinan.
Apatah lagi dengan kelonggaran oleh pihak Pendakwa Raya dalam fasa rayuan. Rakyat jelata semakin hilang semangat, kepercayaan dan keyakinan.
Maka tidak hairanlah jika dalam satu kajian oleh Employment Hero baru-baru ini mendapati 72 peratus pekerja muda Malaysia sedang menimbangkan untuk mencari peluang pekerjaan yang lebih baik di luar negara.
Employment Hero adalah platform antarabangsa pengurusan tenaga manusia, gaji, pembelajaran, pengiktirafan dan upahan.
Dalam Laporan Pergerakan dan Pengekalan Pekerja 2021 ia berkata, daripada 1,004 pekerja yang dikaji selidik, lebih ramai pekerja Malaysia merancang mencari kerja di luar negara berbanding 55 peratus dalam kalangan pekerja Singapura. Sebab utama mereka hendak berhijrah adalah untuk mencari gaji dan prospek kerjaya yang lebih baik.
Laporan itu menambah, petunjuk paling jelas bahawa pembaikan perlu dilakukan adalah 24 peratus daripada pekerja Malaysia yang dikaji selidik berkata, mereka ‘sayang’ kerja mereka manakala 45 peratus ‘suka’ tetapi telah membuat rancangan untuk mencari kerja di luar negara.
Kerajaan, majikan dan pengguna tidak boleh memandang remeh aliran ini kerana ia boleh mencetuskan pengaliran keluar kepakaran dan kemahiran (brain drain) seperti yang dideritai oleh negara-negara gagal di Asia, Afrika dan Amerika Selatan.
Walaupun pengaliran keluar kepakaran dan kemahiran boleh memberi kesan jangka pendek yang positif dalam bentuk penghantaran balik pendapatan namun dalam jangka masa panjang ia boleh membantut pertumbuhan negara.
Wallahuaklam.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca