DALAM bahasa Melayu dan bahasa Indonesia, istilah jantung, hati dan kalbu sering dipakai setiap hari, kadangkala secara interchangeably. Dalam bahasa Jawa, hati ialah ‘ati’. Istilah ‘ngati-ati’ dalam bahasa Jawa bermakna... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM bahasa Melayu dan bahasa Indonesia, istilah jantung, hati dan kalbu sering dipakai setiap hari, kadangkala secara interchangeably.

Dalam bahasa Jawa, hati ialah ‘ati’. Istilah ‘ngati-ati’ dalam bahasa Jawa bermakna berhati-hati atau waspada. Begitu juga, ‘ngati-ati’ dalam bahasa Maori bermakna berhati-hati atau be careful. Istilah ‘ate’ dalam bahasa Maori bermakna ‘heart’ dalam bahasa Inggeris.

Seperti bahasa Melayu dan bahasa Indonesia, bahasa Maori ialah salah sebuah daripada rumpun besar bahasa Malayo-Polynesia atau Austronesia. Istilah ‘ngati-ati’ ini ialah antara bukti bahawa istilah hati atau ati telah digunakan oleh orang Nusantara atau rumpun Kepulauan Melayu selama beribu-ribu tahun.

Teori migrasi dua gelombang (two-wave migration) ribuan tahun silam dari Asia Tenggara, mula-mula ke Polinesia Barat dan kemudian ke seluruh Polinesia. Sudah tentu teori ini mengendong bersama-samanya teori evolusi bahasa yang berlaku di Kepulauan Polinesia.

Ati dalam bahasa Jawa bermakna ‘jantung’ dan juga ‘hati’ yang akan kita lihat pentakrifannya dalam dua buah kamus bahasa Melayu dan bahasa Indonesia terhebat di dunia.

Entri ‘hati’ dalam Kamus Dewan Perdana (KDP 2020) sebagai berikut: 1 organ yang terletak di bahagian perut dalam badan manusia atau binatang vertebra yang berfungsi untuk merembeskan hempedu ke dalam saluran makanan, mengawal kandungan gula dalam darah, menawarkan kesan keracunan nitrogen, menghasilkan urea dan menyimpan glikogen. 2 tempat menyimpan perasaan, keinginan, anggapan dan sebagainya dalam diri seseorang; kalbu. 3 jantung. 4 bahagian tengah yang agak keras pada buah-buahan, pokok dan lain-lain.

Definisi KDP bagi kalbu ialah: tempat menyimpan perasaan, keinginan, anggapan dan sebagainya dalam diri seseorang; hati. Istilah ‘hati’ ini muncul kembali untuk disamakan dengan kalbu.

Dua daripada tiga definisi ‘jantung’ dalam KDP ialah: organ berotot terletak di dalam rongga dada yang mengepam darah ke seluruh badan; sesuatu yang perlu bagi membolehkan industri, politik dan sebagainya terus bergerak atau hidup. Istilah ‘hati’ dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI) versi daring (dalam jaringan) yang diakses pada 16 November 2021 ialah seperti berikut:

1 organ badan yang berwarna kemerah-merahan di bagian kanan atas rongga perut, gunanya untuk mengambil sari-sari makanan di dalam darah dan menghasilkan empedu; 2 daging dari hati sebagai bahan makanan (terutama hati dari binatang sembelihan); 3 jantung; 4 sesuatu yang ada di dalam tubuh manusia yang dianggap sebagai tempat segala perasaan batin dan tempat menyimpan pengertian (perasaan dan sebagainya); 5 apa yang terasa dalam batin; 6 sifat (tabiat) batin manusia; bagian yang di dalam sekali (tentang buah, batang, tumbuhan, dan sebagainya).

Dalam KBBI kalbu diberi definisikan sebagai: pangkal perasaan batin; hati yang suci (murni); hati.

Jika ‘jantung’ dan ‘hati’ merupakan istilah-istilah asal bahasa Melayu dan bahasa Indonesia, istilah kalbu atau qalbu ialah perkataan pinjaman (loan word) dalam bahasa Melayu dan Indonesia yang berasal daripada bahasa Arab.

Istilah qalbu yang sangat penting dalam ilmu kejiwaan serta tazkiyyah al-nafsiyyah (pembersihan jiwa) dalam Islam terdapat berulang-ulang kali dalam al-Quran dan korpus hadis.

Sebagai seorang doktor dan pakar psikiatri, saya jarang menggunakan istilah hati untuk perasaan, kerana dalam bidang anatomi, hati ialah organ yang terletak pada bahagian abdomen tubuh manusia. Saya lebih suka menggunakan istilah ‘kalbu’ atau qalbu bagi perasaan dan jiwa.

Dalam bahasa Arab qalbu fizikal bermakna jantung pengepam darah; dan qalbu spiritual pula bermakna inti kejiwaan manusia di mana terdapatnya potensi untuk insan menjadi salih atau menjadi fasad (buruk).

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis sosial

Klik di sini untuk terus membaca