BARU-baru ini Kerajaan Negeri Kelantan telah mewartakan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (Negeri Kelantan) 2015. Ramai orang Islam yang menyokong pelaksanaan ini, tetapi ada juga dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam menentang.
Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) mengucapkan tahniah kepada Kelantan kerana melaksanakan Kanun Jenayah Syariah 2015 yang sudah lama tertangguh.
Hari bersejarah itu menjadi pemangkin kepada keberanian politik matang orang Melayu Islam menggalas makna politik sebenar dalam Islam iaitu menegakkan agama dan bersiasah untuk dunia dengan agama tersebut.
Ada juga dengan pantas mengeluarkan ketetapan bahawa enakmen diluluskan tersebut tidak berperlembagaan. Keperlembagaan atau tidaknya sesuatu undang-undang itu perlu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
Mereka tidak lekang berhujah berpaksikan Malaysia sebuah negara sekular sedangkan perkataan sekular tersebut tidak terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menyoroti sejarah, kita akan dapati sebagaimana tertulis dalam Laporan Suruhanjaya Reid bahawa Parti Perikatan pernah menyarankan agar pernyataan Islam adalah agama negara perlu disertakan dengan jaminan kebebasan beragama bagi bukan Islam dan tidak menjejaskan ciri-ciri sekular negara. Namun kehendak mempertahankan ciri sekular negara tersebut tidak diterima apabila Perlembagaan Persekutuan dimuktamadkan.
Oleh itu boleh dikatakan bahawa awal-awal lagi isu sekular negara ini telah dinyahkan daripada Perlembagaan Persekutuan.
Setelah lebih 64 tahun merdeka mereka masih tidak faham nilai sejarah ini ataupun sengaja mahu memadamkan sejarah perundangan negara. Selain itu hujah mereka juga banyak bergantung kepada penghakiman dalam kes Che Omar Che Soh yang didakwa menyatakan Malaysia adalah sebuah negara sekular.
Penulis berbeza pandangan dalam isu ini kerana setelah membaca penghakiman tersebut tidak mendapati mana-mana bahagian dalam penghakiman tersebut yang menyatakan Malaysia adalah sebuah negara sekular secara spesifik.
Sekalipun penghakiman tersebut menyatakan Malaysia sebuah negara sekular, penghakiman terkemudian umpamanya dalam kes Lina Joy telah mengakas penghakiman tersebut. Tun Fairuz ketika itu Ketua Hakim Negara telah memutuskan bahawa Islam bukan sekadar ritual tetapi merupakan tata atur kehidupan yang lengkap mencakupi semua bidang aktiviti manusia persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman. Keluasan tafsiran Islam dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan ini menafikan Malaysia adalah sebuah negara sekular.
Malah jaminan Perlembagaan Persekutuan setiap pengikut agama berhak mentadbir agamanya sendiri perlulah diberikan makna sewajarnya.
Sudah tuntas dari aspek sejarah dan kehakiman menafikan dakwaan Malaysia adalah sebuah negara sekular.
Berbalik kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Negeri Kelantan) 2015 di atas, pelaksanaannya hanyalah satu babak ke arah melaksanakan undang-undang jenayah syariah sepenuhnya. Masih terdapat beberapa tindakan di peringkat negeri dan Pusat yang perlu diambil bagi merealisasikan tujuan enakmen tersebut.
Penulis mengajak para penentang undang-undang jenayah syariah ini mengkaji semula pandangan mereka.
Nilailah dengan minda terbuka bukan dengan emosi yang tidak tentu hala. PPMM bersedia berdialog dengan mana-mana pihak yang ikhlas mahukan penerangan berkaitan dengan undang-undang jenayah syariah ini.Adalah amat tidak adil anda membuat suatu ketetapan tanpa ilmu yang mendasar dalam sesuatu bidang itu.
Namun penulis sedar enakmen ini akan menghadapi cabaran yang kuat dari sudut pelaksanaannya terutama apabila ada penghakiman seperti di dalam kes Iki Putra Mubarak yang mentafsirkan had kuasa negeri di dalam membuat undang-undang mengenai kesalahan jenayah syariah.
Oleh yang demikian Kelantan perlu memperhalusi penghakiman tersebut agar apa yang dilalui Kerajaan Negeri Selangor dalam kes Iki Putra Mubarak tidak berulang.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.
Klik di sini untuk terus membaca