PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU14) sememangnya menjadi igauan buruk buat kerajaan Barisan Nasional (BN) dipimpin bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika itu. Setelah lebih 60 tahun diberi mandat untuk mentadbir negara, BN akhirnya... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN Raya Umum ke-14 (PRU14) sememangnya menjadi igauan buruk buat kerajaan Barisan Nasional (BN) dipimpin bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika itu.

Setelah lebih 60 tahun diberi mandat untuk mentadbir negara, BN akhirnya tumbang di tangan Pakatan Harapan (PH) yang diperkuatkan dengan 'aura' bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terpalit dengan skandal 1MDB, protes pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta tuduhan amalan kleptokrasi, BN gagal mempertahankan 'mahkota' Putrajaya disandangnya selain turut terlepas genggaman beberapa kerajaan negeri termasuk Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.

Sejak itu, jangka hayat BN menjadi tanda-tanya pemerhati politik, sehinggalah koalisi itu kembali bernafas setelah terlibat dengan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipelopori Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi 'Langkah Sheraton'.

Meskipun didakwa tidak lagi relevan dengan pemimpin utamanya termasuk Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Najib terpalit dengan kes mahkamah, BN yang dikemudi UMNO dengan tidak semena-mena mencipta fenomena kebangkitan luar biasa.

Bermula dengan strategi mengambil alih kerajaan negeri Melaka, Perak dan Johor, BN tidak berpaling ke belakang apabila percaturan politik mereka membolehkan kerajaan Pusat dikuasai semula koalisi itu dalam tempoh setahun.

Terkini, BN dan UMNO berjaya mengekalkan momentum kebangkitan menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka apabila koalisi yang turut disertai MCA dan MIC itu memenangi 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

Dengan kemenangan bergaya itu, BN berjaya menubuhkan kerajaan negeri baharu dengan majoriti dua pertiga memandangkan jumlah keseluruhan DUN Melaka adalah 28 kerusi.

PH pula mengalami kalah teruk apabila hanya meraih lima kerusi, manakala jangkaan PN diwakili Bersatu dan Pas bakal melakukan kejutan turut meleset apabila sekadar memenangi dua kerusi DUN.

Berdasarkan keputusan rasmi, BN berjaya mengekalkan DUN Kuala Linggi, Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Taboh Naning, Asahan, Merlimau, Rim, Serkam, Sungai Rambai, Rembia dan Pantai Kundor.

Selain itu, koalisi itu berjaya merampas DUN Gadek, Durian Tunggal, Machap Jaya, Duyong, Telok Mas, Kelebang, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Ayer Molek daripada tangan PH.

STRATEGI MUKA BARU BN BERHASIL

Perkara menarik untuk diperhatikan pada PRN Melaka kali ini adalah strategi berani BN menampilkan 86 peratus calon muka baharu berjaya membuahkan hasil di samping kemampuan MCA dan MIC menyumbang tiga kerusi di DUN Machap Jaya, Kelebang dan Gadek.

Kejayaan mengejut dua parti komponen BN itu sekali gus mengenepikan jangkaan DAP bakal menyapu bersih sejumlah lapan kerusi DUN majoriti bukan pengundi Melayu.

Dengan kadar peratusan keluar mengundi daripada keseluruhan 476,037 pengundi berdaftar hanya mencecah 61 peratus, apakah faktor sebenar menjadi pelengkap kepada momentum kebangkitan BN pada PRN Melaka?

Ramai pemerhati politik berpandangan faktor utama kemenangan BN adalah disebabkan kadar peratusan keluar mengundi yang rendah, sekali gus menjadikan potensi undi 'penyokong tegar' sebagai indikator utama.

Zahid (tiga dari kanan) bersama kepimpinan parti dan calon BN pada PRN Melaka selepas sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama BN di Taman Botanikal, Ayer Keroh pada Sabtu.

Hal ini disebabkan 'mood' keterujaan pengundi luar terutama pengundi atas pagar dan bukan Melayu untuk balik mengundi agak lemah, dipercayai berpunca daripada rasa muak dengan politik selain tanggapan mereka perlu mengundi sekali lagi bagi menentukan kerajaan negeri pada PRU15.

"Apabila kadar peratus keluar mengundi sangat rendah, senario itu akan menguntungkan parti yang mempunyai undi teras kukuh dan besar.

"Berdasarkan situasi itu, kemenangan besar BN sememangnya dijangka kerana parti itu diakui mempunyai undi 'penyokong tegar' yang besar di kawasan kerusi tradisi dan DUN majoriti pengundi Melayu

"Untuk PH mengulangi kejutan pada PRU14, mereka memerlukan undi kelompok atas pagar dan pengundi bukan Melayu dengan jumlah besar untuk melakukan 'swing vote'. Namun perkara itu sama sekali tidak berlaku," kata Pengurus Besar Bahagian Penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Ariffin Abdul Munir kepada Sinar Premium.

Selain itu, kegagalan PN yang hadir sebagai blok ketiga untuk memecahkan dominasi undi etnik Melayu yang dikuasai BN juga menyumbang kepada kemenangan besar koalisi diterajui UMNO itu.

Berdasarkan hasil unjuran dan data Ilham Centre, sekiranya PN gagal mencuri undi etnik Melayu melebihi 40 peratus di setiap kawasan pertembungan koalisi itu dan BN, maka BN akan tampil sebagai pemenang mutlak.

"Namun, senario yang paling dibimbangi adalah pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) PRN Melaka yang ketat juga dianggap punca pesta demokrasi di Melaka serta keterujaan rakyat untuk mengundi terencat.

"Jangkaan Ilham Centre adalah sekiranya SOP ketat ini terus diguna pakai pada proses pilihan raya lain termasuk PRU15, senario sama akan berulang dan ia tidak memberi keadilan kepada parti-parti yang tidak mempunyai sokongan akar umbi kuat seperti BN," kata Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hishommuddin Bakar.

MASA DEPAN PAS DAN MN

Selain itu, Hisommuddin turut melihat kemenangan bergaya BN pada PRN Melaka bakal memberi implikasi besar di peringkat kerajaan Pusat, terutama berkenaan teka-teki hala tuju pendirian Pas yang menjadi parti komponen kepada PN.

Pandangan beliau adalah berasas memandangkan terdapat laporan yang mengatakan ada sebahagian akar umbi Pas difahamkan memberi undi kepada calon BN di beberapa kerusi DUN tertentu atas kehendak mahu parti itu kembali kepada Muafakat Nasional (MN).

"Bagi saya, Pas perlu membuat keputusan jelas, sama ada parti itu mahu meneruskan kerjasama dengan PN atau kembali bersama MN bersama UMNO bagi menghadapi PRU15.

"Susulan prestasi buruk PN di PRN Melaka, Pas perlu mengambil kira untung rugi ketika bersama Bersatu dan Gerakan kerana akar umbi Pas pastinya kecewa melihat parti itu kehilangan taring setelah tidak lagi menggunakan lambang pilihan raya 'bulan'.

"Pas perlu melihat kerjasama dengan MN lebih menguntungkan kepada mereka. Bagi PN diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin, kekalahan di Melaka adalah isyarat mereka perlu bermuhasabah dengan PN perlu mempertimbangkan kembali kerjasama dengan BN," katanya.

Pada masa sama, kemenangan besar BN di PRN Melaka dijangka memberi tonik keyakinan kepada koalisi itu untuk mempercepatkan pelaksanaan PRU15, sekurang-kurangnya selepas pelaksanaan PRN Sarawak.

Hal ini diyakini menjadi fokus utama pucuk kepimpinan BN dan UMNO yang diketuai Ahmad Zahid susulan parti itu sememangnya bertekad menjadikan PRU15 sebagai medan 'menguburkan' parti serpihan mereka, Bersatu.

"Apa jua keputusan PRN Melaka juga bakal memberi implikasi kepada kestabilan kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Hal ini kerana beliau berkemungkinan bakal menerima tekanan daripada rakan-rakan menteri Kabinet daripada PN susulan kegagalannya menyelesaikan konflik rundingan kerusi pilihan raya di antara UMNO-Pas-Bersatu sebelum ini.

"Sama ada PN akan bertindak menarik sokongan terhadap beliau atau terus kekal bersama dalam kerajaan, segalanya terserah kepada reaksi balas Muhyiddin dan pemimpin koalisi itu," kata bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo.

Dari kiri: Hisommudin Bakar, Khir Toyo, Khairul Ariffin.

Klik di sini untuk terus membaca