PRN Melaka telah menjadi gempa bumi politik yang getarannya akan terasa di seluruh negara.
Ini bukan tsunami kerana kemenangan UMNO/BN bukan di luar jangkaan sepertimana penembusan parti-parti pembangkang pada 2008 yang tidak dijangka.
Ia ibarat gempa bumi kerana kemenangan UMNO/BN terlalu besar sampai gegarkan semua pelaku politik utama, sekurang-kurangnya dalam lima aspek.
Pertama, majoriti dua pertiga menjadi ujian kepada UMNO sebelum PRU15 sama ada UMNO sudah berubah secukupnya dan tidak rosak kerana diberi terlalu banyak kuasa.
Kemenangan BN pada 2004 yang membawa majoriti 91 peratus di Parlimen telah memangkinkan keangkuhan dan perbalahan antara pembesar UMNO sehingga berlaku Tsunami Politik disusuli kejatuhannya pada 2018.
Rebutan kuasa dan sumber telah menjatuhkan kerajaan Melaka lalu. Kalau kerajaan baru tidak mencegah rasuah tetapi mengukuhkan kuasa Ketua Menteri dengan lima ADUN lantikan, jangan hairan jika kemenangan disusuli dengan perang saudara, kerana pembangkang dikira sudah lemah semacam 2004.
Kedua, PRU15 mungkin dilewatkan, daripada dicepatkan yang dijangka oleh ramai penganalisa.
Sememangnya pemimpin dan akar umbi UMNO akan mendesak PRU15 lebih awal tetapi ini hanya akan merugikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.
Sebelum pemilihan UMNO berlaku, kuasa memilih calon untuk PRU15 berada di tangan Presiden UMNO dan bukan PM.
Kerana Ismail Sabri terpaksa berkecuali di antara BN dan PN di Melaka, maka kejayaan UMNO bermakna kejayaan UMNO dalam MPT, dan bukan UMNO dalam Kabinet.
Jadi, lebih untung untuk Ismail Sabri menjayakan politik MoU dan melewatkan PRU15. Desakan daripada UMNO tidak berhasil jika PRU15 lebih lewat adalah muafakat UMNO dalam kabinet, PN dan PH, dan apabila rakyat juga muak dengan kejatuhan kerajaan.
Ketiga, PN telah muncul sebagai blok kedua dan pesaing utama kepada UMNO untuk pengundi nasionalis/konservatif Melayu, peranan yang dahulu kini dimainkan oleh Pas.
Selain kemenangan dua kerusi, PN telah menggantikan PH sebagai blok kedua di Tanjung Bidara, Teluk Mas dan banyak lagi kawasan majoriti Melayu.
Ini kejayaan besar memandangkan di Melaka, Pas dahulu hanya mendapat 15-20 peratus sokongan dan Bersatu dikira tipis tanpa PH dan Tun Dr Mahathir. Mungkin kempen Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerang rasuah dan kleptokrat sedikit sebanyak berkesan.
Keempat, kemampanan PH sebagai blok berbilang kaum kini menjadi persoalan apabila PKR kalah di semua kerusi yang ditandinginya dan Amanah cuma menang satu.
Kepimpinan Anwar akan dipersoalkan dan desakan untuk beliau mengundur akan dilaungkan. Akan tetapi, PH hanya akan lebih lemah sebelum PRN15 jika berpecah kerana rebutan kepimpinan, sama ada dalam PKR atau antara PKR dan Warisan.
Cara lebih realistik ialah percantuman PKR dan Amanah sebagai parti baru yang boleh mengukuhkan asas sokongan Melayu dan PH membentuk kabinet bayangan untuk memaparkan ‘kepimpinan kolektif’ yang mampu bersaing dalam arena polisi.
Kelima, naratif 'kerajaan pintu belakang/tebuk atap' telah dikebumikan. Pemimpin dan penyokong PH boleh terus berasa sedih dan marah atas Langkah Sheraton tetapi pengundi boleh mengemaskinikan mandat mereka dalam mana-mana arahan termasuk mengembalikan majoriti dua-pertiga untuk BN.
Kerana ingin "kembalikan mandat PRU14”, 11 kerusi PH di Melaka kini tinggal lima. Yang dikejar tidak dapat, yang dikendung berciciran.
Memandang jauh gunung didaki
Keindahan alam semoga utuh
Kuasa itu amanah bukan rezeki
Janganlah tamak sampai jatuh
* Profesor Wong Chin Huat ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen
Klik di sini untuk terus membaca