SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu melaksanakan segera reformasi dalaman dengan mengembalikan semangat parti sewaktu menghadapi pilihan raya umum ke-11(PRU11) tahun 2008, sekiranya parti itu mahu kembali diterima rakyat menjelang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu melaksanakan segera reformasi dalaman dengan mengembalikan semangat parti sewaktu menghadapi pilihan raya umum ke-11(PRU11) tahun 2008, sekiranya parti itu mahu kembali diterima rakyat menjelang PRU15.

Pengerusi Pertubuhan Generasi Keadilan Malaysia (Generasi Keadilan), Yusmadi Yusoff berkata, sudah tiba masanya untuk PKR kembali jujur, bersetia dan konsisten kepada idealisme reformasi perjuangan parti yang selama ini menjadi asas dan asbab harapan rakyat terhadap PKR.

Jelas beliau, semangat dan kotak fikir perjuangan rakyat yang disemarakkan sebelum menghadapi PRU11 juga adalah indikasi penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap PKR, sekali gus berkeupayaan mengulangi tsunami politik yang tercetus ketika itu.

"Kita kena ingat PKR dahulu tidak sebesar PKR sekarang di mana lantai politik tidak pernah sama rata di platform demokrasi negara sehingga kini, namun kita masih berjaya mencipta kejutan pada PRU tahun 2008.

"Bagi saya, masih ada masa untuk PKR mengembalikan semangat reformasi yang berjaya disemarakkan pada PRU11.

"Ini kerana walaupun keputusan pilihan raya sudah berubah, masalah rakyat masih belum berubah dengan mereka masih mendahagakan alternatif pembentukan kerajaan lebih baik daripada opsyen sedia ada," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kekalahan teruk PKR dan PH pada PRN Melaka yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah setelah memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Pada PRN Melaka, PKR dan PH hanya mampu mempertahankan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 13 kerusi DUN yang dimenangi mereka pada PRU14.

Daripada keseluruhan 28 DUN Melaka, PH melalui DAP sekadar mengekalkan empat kerusi di DUN Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir, manakala Parti Amanah Negara (Amanah) hanya mempertahankan DUN Bukit Katil yang disandang Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari sebelum ini.

PKR pula gagal memenangi sebarang kerusi DUN daripada keseluruhan 11 kerusi yang ditandingi, walaupun parti itu dan Amanah sebelum itu mencetuskan kontroversi apabila menerima dua pemimpin lompat parti daripada UMNO untuk bertanding atas tiket PH.

Dua calon bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO itu ialah Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan, yang juga merupakan antara empat individu bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mengulas lanjut, Yusmadi yang bekas Ahli Dewan Negara dan Ahli Parlimen Balik Pulau turut berpandangan PKR tidak perlu berkompromi dengan isu penerimaan ahli politik yang melompat parti atau dikenali 'katak-katak politik' pada masa hadapan.

Tambahnya, PKR perlu membetulkan set pemikiran minda mereka dan harus berkeyakinan prinsip keadilan adalah prinsip masa hadapan yang akhirnya akan ditentukan oleh kebijaksanaan orang awam.

"Pengundi awam kini sudah celik politik dan mereka menolak unsur-unsur katak politik yang menjejaskan kestabilan demokrasi di negara ini.

"Selain itu, PKR juga perlu berusaha membesarkan ruang demokrasi dan hak bersuara dalam kalangan orang awam kerana PRN Melaka membuktikan strategi kerajaan memerintah menutup ruang demokrasi berkempen memberi kejayaan besar kepada mereka," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca