PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka bukan sahaja selesai dengan keputusan mengejutkan dan di luar jangkaan tetapi banyak yang boleh kita pelajari daripadanya. (1) Strategi yang betul. Tindakan Barisan Nasional (BN) meletakkan 24 muka baharu... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka bukan sahaja selesai dengan keputusan mengejutkan dan di luar jangkaan tetapi banyak yang boleh kita pelajari daripadanya.

(1) Strategi yang betul.

Tindakan Barisan Nasional (BN) meletakkan 24 muka baharu dan mengekalkan hanya empat muka lama adalah keputusan berani tetapi tepat. Kali ini parti yang sanggup dan bersedia melakukan perubahan telah berjaya mencuri perhatian pengundi.

Dengan tiadanya lagi tawaran-tawaran projek paracut seperti pernah kita saksikan pada pilihan raya-pilihan raya sebelum ini, ketiadaan pengumuman projek-projek segera, antaranya pembinaan jambatan, pemberian itu dan ini membuka mata pengundi untuk melihat dan menaruh harapan kepada siapa calon boleh diharapkan untuk menyediakan kemudahan kepada mereka selepas PRN selesai.

Rakyat Melaka telah menyandarkan harapan dan kepercayaan mereka ke atas calon-calon BN yang terdiri daripada muka-muka baharu untuk melakukan kerja ini. Syabas dan tahniah.

(2) Jika hendak buat sesuatu yang baik, cakap awal-awal.

Tawaran Perikatan Nasional (PN) juga menarik tetapi strategi mengumumkan siapakah calon Ketua Menteri mereka sehari sebelum hari mengundi memakan diri.

Jika ditakdirkan pengumuman itu dibuat beberapa hari lebih awal, ia akan memberi ruang kepada pengundi berfikir panjang dan membuat keputusan yang sebaliknya kerana calon Ketua Menteri yang mereka cadangkan bukan sahaja berkelayakan tetapi bakal mencatat sejarah sebagai Ketua Menteri wanita pertama di Malaysia.

Tetapi andai kata beliau menang sekali pun, sebaliknya calon-calon PN lain tewas, ia tidak membawa apa-apa makna kerana sistem politik Malaysia bukanlah mengundi untuk memilih siapa bakal Ketua Menteri tetapi ia ada sistem siapa berjaya mencapai majoriti, maka dialah yang membentuk kerajaan.

Jadi, ia pengajaran paling bermakna buat PN. Jika hendak buat sesuatu yang baik dan bermakna, cakap awal-awal supaya orang ada ruang untuk berfikir dan dapat membuat keputusan dengan bijaksana dan bermakna.

(3) MCA dan MIC tidak mati.

Antara keputusan paling signifikan adalah bagaimana dua calon MCA dan satu-satunya calon MIC berjaya menumpaskan lawan masing-masing.

Tiada siapa terfikir MCA dan MIC mampu membuat kemunculan semula dalam arena politik Malaysia dengan cara paling dramatik dan mengejutkan.

Semua orang sebelum ini menyangka MCA dan MIC hanya sekadar memenuhi kuota serta tempat kosong.

Memang benarlah dalam politik, segala-galanya berkemungkinan. MCA dan MIC Melaka telah berjaya membuktikannya.

Sekali lagi syabas dan tahniah untuk mereka.

Ia menunjukkan bagaimana tanpa krisis dalaman dan kekal bersama dalam satu ikatan ketika senang dan susah mampu menghasilkan sesuatu dalam politik.

UMNO-MCA-MIC telah membuktikannya. Mungkin Gerakan yang tumpas di semua kerusi yang mereka tandingi boleh mempelajari sesuatu daripada episod ini.

Sulaiman (kanan) ketika sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan bersama Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan calon-calon MCA di Ayer Keroh di sini pada Rabu.

Muhasabah diri

(4) Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu muhasabah diri.

Kegagalan PKR memenangi walau satu pun kerusi pada PRN Melaka telah mencetuskan satu persoalan baharu iaitu apakah superstar mereka telah hilang aura ‘ummmpnya’.

Malah, ada berkata ketika di dalam penjara, Anwar mampu membawa kemenangan besar kepada Pakatan Harapan pada PRU14 sehingga berjaya menumpaskan BN dan membentuk kerajaan pusat buat pertama kalinya dalam sejarah tetapi setelah beliau bebas, beliau gagal membawa kemenangan walau satu kerusi pun kepada PKR.

Sebaliknya, sejak beliau mengambil alih teraju PKR daripada isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, PH kehilangan kuasa di pusat, PKR berpecah-belah dan berpuak-puak, Nurul Izzah mengundurkan diri sebagai Naib Presiden.

Semua itu tidak berlaku sewaktu Wan Azizah menerajui PKR. Kini semua tertanya-tanya, apakah yang telah Anwar lakukan kepada PKR?

Anwar perlu mencari formula baharu untuk mengembalikan kegemilangan PH.

(5) Lim Guan Eng hilang fokus sejak kesnya ke mahkamah.

Amat jelas kegagalan DAP mempertahankan beberapa kerusi di Melaka menunjukkan supremo mereka, Guan Eng hilang arah dan fokus sejak isu kes perbicaraan terowong bawah laut di Pulau Pinang dibicarakan di mahkamah.

Malah ada dalam kalangan DAP sendiri yang sudah mula bercakap, Guan Eng hilang arah sejak kehilangan jawatan Menteri Kewangan.

Beliau dikatakan masih belum ‘pulih’ daripada kejatuhan kerajaan PH akibat Langkah Sheraton.

Selepas apa yang berlaku di Melaka, DAP harus segera bangun daripada tidur bahawa kawasan majoriti Cina bukan lagi deposit tetap mereka.

DAP harus menyedari hakikat bahawa untuk terus kekal dalam arus perdana, DAP perlu lebih inklusif dan memperlihatkan kepelbagaian latar belakang dalam kepimpinannya.

Jika tidak, sampai bila-bila DAP akan terus kekal sebagai parti Cina, bukan parti pelbagai bangsa seperti yang mereka ingin potretkan.

(6) Calon muda dan Bebas masih gagal melakukan impak.

Sejak negara dilanda kemelut politik yang runcing dan kucar-kacir, ramai yang menaruh harapan, malah berkata calon Bebas kali ini buat pertama kalinya mampu melakukan impak besar dan menembusi politik arus perdana di Semenanjung Malaysia.

Kononnya orang dah muak dengan parti politik yang tak habis-habis bermain politik.

Ternyata, ramalan itu meleset. Seramai 22 calon Bebas bertanding, malangnya seorang pun tak menang.

Pengundi belum bersedia membuat perubahan ketara dan masih mahu bersandar kepada pengalaman dan sejarah.

Calon termuda PRN Melaka daripada PKR berusia 21 tahun dan masih bergelar mahasiswa gagal meyakinkan pengundi bahawa beliau adalah jawapan kepada masa depan politik negara.

Sebaliknya, yang menang ialah calon tertua daripada BN.

Walaupun ada calon muda yang masih menang tetapi mereka dikatakan menang atas nama parti yang mereka wakili.

(7) Ini adalah kemenangan besar buat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Daripada 20 kerusi UMNO bertanding, mereka menang di 18 kawasan. Hanya tewas dua kerusi.

Ia sangat menakjubkan bagi sebuah parti yang dikatakan sedang berdepan krisis kepimpinan. Selepas ini orang perlu bertanya, krisis kepimpinan apa?

Sebaliknya, kejayaan besar di Melaka telah memberi semangat baharu kepada Ahmad Zahid dan Mat Hasan untuk mempertahankan jawatan mereka dalam UMNO, malah bagi Ahmad Zahid, ia membuka ruang seluas-luasnya kepada beliau untuk terus menerajui UMNO sehingga pemilihan parti akan datang.

Ia juga memberi keyakinan baharu kepada beliau untuk mengulangi kejayaan sama pada PRU15. Melaka boleh, kenapa Malaysia tidak boleh.

(8) PKR dan PH perlu belajar daripada kesilapan ini.

Ramai orang cakap, kekalahan teruk PH pada PRN Melaka disebabkan dua perkara.

Pertama, menggunakan logo baharu iaitu logo PH yang belum pernah digunakan dalam mana-mana pilihan raya dan kedua, keputusan Anwar menerima dua bekas wakil rakyat yang menyebabkan kejatuhan kerajaan lalu sebagai calon PH.

Keputusan guna logo PH adalah kesilapan paling besar.

Orang Cina cakap, kalau papan tanda lama masih elok kenapa tukar papan tanda baharu.

Sebab itulah di kedai-kedai lama, peniaga Cina tidak pernah menurunkan papan tanda asal selagi ia tidak rosak. Benda tidak rosak, kenapa hendak tukar.

Begitulah perumpamaannya bila PH buat keputusan guna logo baharu.

Jawapannya malapetaka, lebih-lebih lagi PKR yang tidak menang satu kerusi pun.

Yang kedua, apabila PH sanggup menerima dua bekas ahli UMNO yang menyebabkan kerajaan sebelum ini tewas, akhirnya nasib malang dibawa mereka turut menjatuhkan parti baharu yang mereka wakili.

Klik di sini untuk terus membaca