SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu mengkaji semula strategi pengambilan ahli-ahli politik yang lompat parti atau dikenali 'katak politik' dan penggunaan lambang pilihan raya Pakatan Harapan (PH) sekiranya parti itu mahu kekal... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu mengkaji semula strategi pengambilan ahli-ahli politik yang lompat parti atau dikenali 'katak politik' dan penggunaan lambang pilihan raya Pakatan Harapan (PH) sekiranya parti itu mahu kekal relevan dalam menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak, Datuk Dr Muhammad Nur Manuty berkata, saranan kajian semula penggunaan lambang PH amat penting kerana lambang berwarna merah itu sering dikaitkan stigma kecenderungan kepada DAP dalam kalangan pengundi Melayu.

Jelas beliau lagi, penggunaan lambang PH dan bukan PKR berkemungkinan menjadi faktor penolakan pengundi Melaka terhadap PKR dan PH sehingga menyebabkan kekalahan teruk koalisi itu pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada Sabtu.

Selain itu, Muhammad Nur turut berpandangan langkah PKR menerima dua calon ahli politik yang lompat parti juga telah menerima reaksi negatif dalam kalangan pengundi bukan Melayu.

"Strategi PKR untuk orang Melayu perlu benar-benar mengakar dalam pemikiran orang Melayu dengan saya bersetuju PRN Melaka merupakan satu ujian kecil dan amaran awal kepada PKR untuk berubah minda dan strategi sekiranya mahu relevan pada PRU15.

"Justeru, eloklah PKR mengkaji apakah benar lambang PH berorientasikan atau menunjukkan stigma kecenderungan kepada DAP dalam kalangan pengundi Melayu.

"Selain itu, sikap pengundi etnik cina yang tegas tidak suka pimpinan PH mengambil calon ahli politik lompat parti juga merupakan satu isu yang patut dikaji PKR mahu pun PH secara serius," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Pada PRN Melaka, PKR dan PH kalah teruk apabila koalisi itu hanya mampu mempertahankan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada keseluruhan 13 kerusi DUN yang dimenangi mereka pada PRU14.

Daripada keseluruhan 28 DUN Melaka, PH melalui DAP hanya mampu mengekalkan empat kerusi di DUN Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir, manakala Parti Amanah Negara (Amanah) hanya mempertahankan DUN Bukit Katil yang disandang Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari sebelum ini.

Langkah PKR mengambil ahli-ahli politik yang lompat parti pada PRN Melaka turut dianggap penyumbang kepada faktor kekalahan besar parti berkenaan.

PKR pula gagal memenangi sebarang kerusi DUN daripada keseluruhan 11 kerusi yang ditandingi, walaupun parti itu dan Amanah sebelum itu mencetuskan kontroversi apabila menerima dua pemimpin lompat parti daripada UMNO untuk bertanding atas tiket PH.

Dua calon bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO itu ialah Datuk Seri Idris Haron dan Datuk Nor Azman Hassan, yang juga merupakan antara empat individu bertanggungjawab menjatuhkan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) yang diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

PRN Melaka juga menyaksikan BN diterajui UMNO berjaya membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga apabila koalisi itu menang 21 kerusi DUN, termasuk tiga DUN berjaya dirampas parti komponen seperti MCA dan MIC.

Mengulas lanjut, Muhammad Nur yang juga bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR melihat kegagalan PH memuktamadkan segera pencalonan Ketua Menteri daripada koalisi itu sekiranya menang PRN Melaka turut memberikan sedikit impak.

Selain itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan terdapat perletakan calon-calon bermasalah atau mempunyai imej yang tidak selesa dalam kalangan pendukung PKR yang perlu diberikan perhatian oleh kepimpinan parti itu pada masa hadapan.

"Ada calon yang dipersepsikan sebagai calon yang bagus, namun hakikatnya tidak mendapat sokongan akar umbi dan senario ini mungkin mempengaruhi peluang kemenangan PKR pada PRN Melaka.

"Bagi saya, sebarang sindrom anti perpolitikan yang keterlaluan sehingga menimbulkan rasa jelik rakyat sehingga jemu kepada politik perlu dikaji semula," katanya.

Bagi menghadapi PRU15, Dr Muhammad Nur mengakui dengan kehadiran pengundi muda yang dijangkakan mewakili 46 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi di negara, beliau menjangkakan pola pengundian akan datang menjadi sangat tidak menentu.

"Oleh demikian, PKR masih ada hadapan untuk menang dengan syarat asas penekanan terhadap soal penjagaan hak pengundi bumiputera perlu diperkukuhkan," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca