SHAH ALAM - Pengaruh faktor setempat mengakibatkan kegagalan kepada Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk mengulangi kejayaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, peratusan pengundi yang berbeza di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) juga menyumbang kepada kekalahan parti tersebut dalam PRN Melaka.
"Kami akan buat post-mortem untuk melihat bagi setiap DUN di setiap daerah mengundi dan saluran, apa sebenarnya yang berlaku.
"Ia penting kerana penganalisis berkata, jumlah peratus mengundi yang diperoleh contohnya oleh Barisan Nasional (BN) sama seperti PRU14.
"Peratusan pengundi kali ini berkurang. Kalau kita teliti lain DUN, lain jumlah pengundi yang keluar. Itu sebabnya perlukan penelitian kepada keputusan untuk kaji apa sebenarnya yang telah berlaku di setiap kawasan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, bagi sesetengah kawasan ia melibatkan faktor calon dan jentera yang menyumbang kepada kegagalan tersebut.
Fahmi berkata, pihaknya masih mengumpul perincian tersebut untuk bersiap sedia menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
"Dari situ, kita akan nampak sama ada pengundi muda, tua dan kaum yang mana akan menyumbang banyak faktor.
"Itu bagi saya adalah langkah perlu untuk PH termasuk PKR memikirkan cara untuk atasi masalah tersebut dan bersiap sedia untuk PRU15,” jelasnya.
Senada dengan Fahmi, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, peratusan keluar mengundi yang rendah memberikan kesan kepada Pakatan Harapan.
"Satu post-mortem kita akan laksanakan untuk melihat secara terperinci apa sebenarnya yang berlaku.
"Berdasarkan kepada peratusan mengundi memang rendah dan berikan kesan kepada PH. "Jika mengikut kepada trend kerusi yang gagal dipertahankan disebabkan pihaknya tidak dapat bertahan di DUN yang marginal (mereka menang dengan tipis).
"Ini biasa berlaku, bagi saya ia tidak menjejaskan cuma peratusan mengundi tidak seperti Pilihan Raya Umum yang lalu,” jelasnya.
Pada Sabtu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, jumlah individu keluar mengundi antara jam 8 pagi hingga 5.30 petang adalah 326,068 atau 65.85 peratus daripada keseluruhan 495,195 pengundi berdaftar di Melaka.
Katanya, jumlah itu merangkumi pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos yang sudah menjalankan tanggungjawab dalam PRN hari ini.
Bagaimanapun, peratusan keluar mengundi merosot berbanding 84.7 peratus yang dicatatkan di Melaka pada PRU14.
Klik di sini untuk terus membaca