SHAH ALAM - Rizab emas di Malaysia masih banyak dan dianggarkan bernilai jutaan ringgit, sekali gus memberi masa depan cerah kepada industri emas negara untuk terus berkembang. Pakar geologi, Profesor Madya Dr Habibah Jamil berkata, rizab... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rizab emas di Malaysia masih banyak dan dianggarkan bernilai jutaan ringgit, sekali gus memberi masa depan cerah kepada industri emas negara untuk terus berkembang.

Pakar geologi, Profesor Madya Dr Habibah Jamil berkata, rizab bahan galian itu masih banyak terutama di Semenanjung Malaysia kerana terdapat beberapa kawasan yang dipanggil ‘jalur emas’ bermula dari Kelantan hingga ke Johor.

Beliau berkata, pada masa sama, kegiatan perlombongan emas di negara ini juga masih belum diteroka secara maksimum bagi memenuhi permintaan pasaran komersial.

"Kawasan jalur emas itu sudah diketahui umum iaitu terletak di kawasan tengah Semenanjung Malaysia bermula dari Sokor, Ketereh di Kota Bharu; Rusila di Marang; Selinsing (Perak); Penjom dan Raub (Pahang) hingga ke Mersing (Johor).

"Bagaimanapun, aktiviti perlombongan emas masih tidak banyak dilakukan dan hanya aktif dijalankan di beberapa kawasan sahaja seperti di Raub, Penjom dan Selinsing,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Habibah yang juga Ketua Program Geologi, Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, kebanyakan industri emas sekarang menggunakan emas yang dilombong atau diperoleh secara mendulang.

"Tetapi dalam batuan dasar, deposit emas berkenaan masih banyak lagi.

"Jadi perlu dibuat kajian mengenai lokasi spesifik yang wujudnya galian emas ini di kawasan-kawasan jalur emas,” ujarnya.

Beliau berkata, sebuah syarikat emas Australia masih melombong emas di Raub sehingga kini dan membuka peluang kepada pelajar UKM untuk menjalani latihan amali di syarikat terbabit.

Beliau berkata, kolaboratif penyelidikan turut dilakukan di kawasan perlombongan emas di Penjom.

Pembentukan jalur emas

Menyentuh bagaimana kawasan jalur emas boleh terbentuk, beliau menjelaskan, ia wujud disebabkan proses geologi iaitu percantuman bahagian timur dan barat Semenanjung Malaysia.

Beliau menjelaskan, bahagian timur dan barat Semenanjung dahulunya terpisah, sebelum lama kelamaan kedudukannya semakin dekat, seterusnya berlanggar sesama sendiri sebelum kedua-duanya bercantum.

"Jadi, bila berlaku pelanggaran dan percantuman, ada magma yang merejah di bahagian tengah Semenanjung Malaysia.

"Emas wujud daripada proses rejahan magma yang berinteraksi dengan batuan asal di kawasan itu, biasanya batuan granit.

"Oleh itu, ciri-ciri sesebuah kawasan itu menyimpan galian emas lazimnya ada batuan granit dan kawasan sekelilingnya seperti lembah terutama lembah sungai,” jelas beliau.

Peta menunjukkan jajaran emas di Malaysia.

Habibah berkata lagi, dengan simpanan galian emas yang masih banyak, industri emas termasuk perlombongan emas mempunyai potensi besar untuk terus maju pada masa akan datang.

Katanya, Malaysia bertuah kerana kaya dengan galian emas dan tidak banyak negara mempunyai sumber itu seperti dimiliki negara ini.

"Seperti yang kita ketahui, sebagai sumber bumi, logam apa pun seperti emas dan bijih besi semuanya adalah milik negara atau kerajaan seperti yang termaktub dalam undang-undang,” katanya.

Jelas Habibah, dengan rizab emas yang masih banyak, ia memberi sumber pendapatan kepada kerajaan secara berterusan.

Beliau mengakui, sumber pendapatan itu termasuk dari segi pengeluaran lesen kepada syarikat pelombong, bayaran cukai pendapatan syarikat lombong yang meraih keuntungan daripada jualan emas dan bayaran cukai pendapatan kedai-kedai emas.

"Emas adalah logam bernilai tinggi, tidak turun harga dari tahun ke tahun. Tetapi harga pasaran semasanya ada turun naik, selain ia juga boleh dijadikan mata wang dan diniagakan.

"Ia juga boleh dilebur menjadi barang perhiasan bernilai tinggi seperti barang kemas. Potensinya sangat besar di masa hadapan untuk menjana pendapatan negara,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca