PADA penamaan calon yang diadakan pada 8 November 2021, bukan sahaja bilangan calon bertambah daripada 85 dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kepada 112 (penambahan sebanyak 31 peratus), tetapi di tiga kawasan majoriti pengundi Melayu... Klik di sini untuk terus membaca

PADA penamaan calon yang diadakan pada 8 November 2021, bukan sahaja bilangan calon bertambah daripada 85 dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kepada 112 (penambahan sebanyak 31 peratus), tetapi di tiga kawasan majoriti pengundi Melayu berlaku pertandingan enam penjuru berbanding tiga penjuru dalam PRU14.

Dengan pengundi Melayu berpecah enam, seandainya sedikit sahaja pengundi bukan Melayu yang bersepadu di belakang DAP, calon Pakatan Harapan (PH) pasti akan menang.

Di kesemua 28 kawasan berlaku pertandingan tiga penjuru di antara Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan PH. Maka di atas kertas, nampaknya PH mempunyai kelebihan.

Ertinya, pemimpin-pemimpin UMNO dan Pas masih tidak belajar daripada kesilapan mereka dalam PRU14.

Anehnya, Bersatu yang pada masa itu berada dalam PH dan mendapat faedah daripadanya juga menurut UMNO dan Pas mengulangi kesilapan itu yang kali ini mungkin, akan membawa kekalahannya sendiri.

Bagaimanapun, itu adalah anggapan dan bacaan di atas kertas pada masa itu.

Daripada penamaan calon itu juga dapat dilihat sikap parti-parti dan pemimpin-pemimpin Melayu dalam tiga buah parti itu. UMNO masih percaya bahawa ia adalah parti Melayu terbesar dan masih percaya ia boleh menebus kembali kekalahannya dalam PRU14.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hendak menggunakan PRN Melaka untuk mengembalikan zaman kegemilangan UMNO/BN dan dengan itu, membuktikan UMNO masih memerlukannya sebagai Presiden.

Pas, yang mulanya menunjukkan kecenderungan bekerjasama dengan UMNO, meninggalkan UMNO kerana Pas tahu ia lebih besar daripada Bersatu dan parti terbesar dalam Perikatan Nasional. Sebaliknya jika ia bekerjasama dengan UMNO ia perlu menerima hakikat bahawa UMNO adalah lebih besar daripadanya.

Selain dari itu, Pas tahu bahawa UMNO adalah musuh utamanya di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Maka, untuk mengalahkan UMNO di negeri-negeri itu, lebih baik ia menyertai PN. Maka, Muafakat Nasional (MN) dan perpaduan ummah pun diketepikan demi kepentingan politik parti dan diri.

Bersatu tidak ada pilihan. Tujuan awalnya untuk membunuh dan menggantikan UMNO setakat ini nampaknya tidak kesampaian. Maka, ia kenalah menumpang Pas atau UMNO atau kedua-duanya.

Menumpang Pas adalah lebih baik kerana Pas tidak sebesar UMNO dan pemimpin-pemimpin Pas telah mula merasakan keenakan menjawat jawatan-jawatan dalam kerajaan merasa terhutang budi kepada Bersatu.

Pembahagian kawasan pilihan raya antara Bersatu dan Pas juga lebih mudah. Bersatu boleh memberi Kelantan, Terengganu, sebilangan besar kawasan-kawasan di Kedah dan kawasan-kawasan yang ia tidak mempunyai sokongan akar umbi dan tidak akan menang kepada Pas dan yang lainnya ditandingi olehnya.

Dan pengundian PRN Melaka pun berlangsung pada Sabtu lalu. Keputusan diketahui awal malam itu juga. BN memenangi 21 daripada 28 kerusi dengan UMNO mendapat 18 kerusi, MCA dua dan MIC satu.

PN-Bersatu hanya memenangi dua kerusi, manakala Pas tidak memenangi sebarang kerusi. PH-DAP memenangi empat kerusi dan Amanah satu manakala PH-PKR tidak memenangi sebarang kerusi.

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) dan calon Bebas pula tidak memenangi sebarang kerusi yang ditandingi.

TSUNAMI POLITIK

Daripada fakta ringkas ini sahaja pun sudah dapat dilihat bahawa bukan sahaja BN yang mendapat kemenangan dua pertiga daripada keseluruhan kerusi yang dipertandingkan, UMNO sendiri pun melepasi garisan itu.

Ertinya, UMNO sendiri pun sudah boleh meminda Perlembagaan, jika perlu. Ini menunjukkan bahawa tsunami patah balik orang Melayu telah sebenarnya berlaku.

Pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO, termasuk Zahid (dan Datuk Seri Najib) yang saya percaya, turut memainkan peranan di sebalik tabir, patut dipuji kerana membuat keputusan berani dan tepat. Ia menunjukkan bahawa maklumat yang diterima daripada akar umbi adalah betul.

Keputusan itu tentu sekali boleh menjadi alasan untuk UMNO/BN merangka strateginya dalam menghadapi PRU15.

MCA, dengan sokongan padu pengundi Melayu dan sebahagian pengundi Cina yang turut berpatah balik juga telah berjaya memperbaiki prestasinya. Ini satu pengajaran kepada pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli MCA, janganlah terlalu cepat memburuk-burukkan UMNO dan mengugut hendak keluar daripada BN.

Janganlah menunjukkan sikap bahawa mereka hanya mahu menjadi rakan semasa menguntungkan dan lari semasa rugi. Sekarang pun mereka mesti ingat bahawa tanpa sokongan padu pengundi-pengundi Melayu, mereka tidak akan menang satu kerusi pun.

MIC patut berterima kasih kepada UMNO kerana sanggup memberi satu kawasan majoriti pengundi Melayu untuk ditandinginya. Orang-orang India perlu sedar bahawa semenjak tahun 1955, apabila PRU mula diadakan, atas ihsan UMNO, MIC diberi bertanding di kawasan majoriti pengundi Melayu dan menang kerana sokongan padu pengundi-pengundi Melayu.

PH yang memiliki 15 kerusi dalam PRU14 hanya memenangi lima kerusi dalam PRN ini, empat oleh DAP dan satu oleh Amanah.

DAP hanya memenangi empat daripada lapan kerusi yang ditandinginya. Dalam PRU14 DAP memenangi kesemua lapan kerusi itu. Nampaknya sebahagian pengundi Cina telah pun mula berfikir bahawa 60 tahun di bawah BN adalah lebih baik bagi perniagaan mereka daripada 22 bulan di bawah PH.

Kekalahan PKR dalam kesemua kawasan yang ditandinginya adalah mengejutkan. Ia menjadi petunjuk kepada kemungkinan yang akan berlaku kepadanya dalam PRU15. Orang Melayu sudah bosan dengan karenah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Eloklah beliau melupakan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri dan bersara daripada politik. Sudah terlalu lama beliau bercita-cita dan berusaha untuk menjadi Perdana Menteri, ALLAH masih belum mengizinkannya. Mungkin sudah tiba masanya untuk beliau menerima hakikat itu sebagai takdir.

Kemenangan satu kerusi oleh Amanah bukanlah petunjuk ia akan hidup. Mungkin kerana calonnya adalah bekas Ketua Menteri dan calon Ketua Menteri jika PH menang. Itu pun majoritinya telah dikurangkan daripada 3,159 kepada 1,057.

* Tun Abdul Hamid Mohamad ialah bekas Ketua Hakim Negara

>>> Ikuti Bahagian 2 artikel Tun Hamid dalam akhbar Sinar Harian esok

Klik di sini untuk terus membaca