MALAYSIA bertuah kerana memiliki banyak kawasan kepelbagaian biologi sehinggakan penyu yang merupakan antara spesies terancam menjadikan perairan negara sebagai lokasi pembiakan.
Haiwan marin prasejarah yang wujud lebih 100 juta tahun ini mengambil masa sekurang-kurangnya 20 hingga 50 tahun sebelum matang dan membiak.
Uniknya, penyu jantan kekal berada di habitat kelahiran asal manakala penyu betina akan mengembara ke serata dunia sebelum kembali ke habitat asal kelahirannya untuk bertelur.
Namun, sekiranya habitat asal terganggu, penyu ini mungkin tidak akan bertelur langsung dan ini secara tidak langsung mengurangkan populasi penyu di seluruh dunia.
Justeru, semua pemegang taruh harus memastikan penyu dikekalkan sebagai khazanah laut negara berikutan ancaman kepupusan haiwan itu yang semakin membimbangkan.
Kewujudan penyu penting dalam memastikan keadaan dasar marin teratur yang mana spesies ini memakan rumpai laut dan dari situ hidupan marin yang kecil akan menjadikan kawasan rumpai sebagai habitat dan membiak sebelum dimakan hidupan marin lebih besar dan seterusnya.
Penyu karah misalnya berupaya memakan span laut yang terdapat dalam ekosistem terumbu karang yang bersaing dengan terumbu karang lain bagi mendapatkan ruang, seterusnya mengawal atur ekologi terumbu karang yang akhirnya membolehkan ikan-ikan memakan span laut yang lapisan durinya telah dimakan oleh penyu tersebut terlebih dahulu.
Ketiadaan penyu karah membolehkan span laut membiak lebih agresif dan menguasai ekosistem terumbu karang.
Cangkerang penyu pula menjadi tempat bernaung bukan sahaja bagi haiwan yang lain, tetapi juga tumbuhan laut. Direkodkan sebanyak 100 jenis haiwan dan tumbuhan marin hidup atas cangkerang penyu.
Najis penyu juga menjadi baja kepada rumpai laut supaya dapat membiak dan tumbuh dengan banyak.
Ternyata banyak spesies di lautan berkaitan erat dengan kelangsungan hidup penyu. Gangguan terhadap kewujudan penyu akan menyebabkan ketidakseimbangan dalam ekosistem marin.
Jika penyu pupus di sesuatu zon, rantaian makanan di kawasan itu pasti terganggu dan membawa kepupusan kepada populasi ikan yang menjadi sumber protein kepada manusia.
Diancam kepupusan
Ancaman kepupusan penyu berpunca faktor semula jadi serta tangan manusia dan usaha mengekalkannya perlu membabitkan semua pihak.
Sikap manusia yang rakus dan tidak bertimbang rasa menjadi salah satu punca utama berlaku kepupusan hidupan liar yang unik dan sangat penting ini.
Sabah, Kelantan dan Terengganu sering dikunjungi penyu belimbing, penyu agar dan penyu karah. Namun, hari ini kita hanya dapat melihat dua spesies penyu sahaja kerana penyu belimbing telah pupus dari ekosistem marin, antaranya akibat kurangnya kesedaran dan penguatkuasaan.
Penyu turut terancam akibat aktiviti pengambilan telur, pemburuan, terperangkap dalam peralatan menangkap ikan, kehilangan kawasan pantai tempat bertelur akibat perubahan landskap yang berpunca daripada pembangunan, kematian oleh pemangsa serta pencemaran plastik di lautan.
Berkaitan pemburuan haram, semua penyu laut terancam akibat pemburuan haram dan pencarian untuk kulit, daging dan telurnya.
Pada Oktober 2017, 100 penyu laut terancam ditemui mati di kepulauan di luar Semporna dipercayai hasil daripada aktiviti pemburuan haram sehingga menarik perhatian seluruh dunia dengan penemuan bangkai reptilia itu.
Sementara itu, plastik yang dibuang sering memberikan false signal pada haiwan seperti penyu yang menyangka plastik adalah makanannya menjadikan faktor utama haiwan ini pupus akibat kematian kerana menghadapi kesulitan proses penghadaman apabila memakan hasil buangan sisa pepejal ini.
Penyu turut menjadi mangsa akibat pemburuan satu lagi penghuni laut iaitu ikan pari. Pukat haram dipasang untuk menangkap ikan pari di sepanjang pantai, ada antaranya diletakkan pada jarak hampir 30 meter dari pantai hingga menyebabkan penyu terperangkap.
Kematian haiwan ini pada dasarnya didorong permintaan tinggi terhadap ikan pari. Penyu adalah hasil tangkapan tidak berguna bagi nelayan kerana amat jarang rakyat Malaysia makan daging haiwan itu.
Berdasarkan rekod pada 2014, sebanyak 47 ekor haiwan itu dilaporkan mati, sementara sepanjang 2015, terdapat 59 kematian direkodkan.
* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca