SHAH ALAM - Pasaran emas dalam negara ketika ini mengalami penurunan dari segi permintaan pembelian rakyat Malaysia.
Pengarah Urusan Merchant Nine Sdn Bhd, Nik Mohd Haniff Nik Hamid berkata, trend penurunan itu sudah berlanjutan semenjak berlaku kenaikan harga emas pada pertengahan Oktober iaitu meningkat dari RM235 segram ke RM250 hari ini.
"Kadar inflasi yang rendah di seluruh dunia telah mengakibatkan peningkatan harga emas dalam pasaran.
"Permintaan pembelian emas agak perlahan dalam masa dua hingga tiga minggu lepas, mungkin juga atas faktor rakyat lebih memilih mengeluarkan duit untuk melancong dan pulang ke kampung.
"Keadaan ini dijangka akan berterusan hingga awal tahun 2022 disebabkan nanti pelajar akan mula masuk ke sekolah dan pasti duit lebih banyak dibelanjakan untuk kegunaan sekolah anak-anak,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Mengulas lanjut mengenai jenis emas yang sering menjadi pilihan, Nik Mohd Haniff berkata, rakyat Malaysia lebih gemar memilih emas barang kemas yang diperbuat daripada emas jenis 916 berbanding emas jenis 999.
"Emas jenis 916 yang lembut lebih sesuai untuk dijadikan sebagai barang kemas dan menjadi antara pilihan utama di Malaysia,” ujarnya.
EMAS SENTIASA LAKU
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kumpulan Termofizikal Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM) SIRIM Berhad, Dr Fazrul Mohd Nor menjelaskan, melihat dari sudut trend pembelian, pasaran emas di Malaysia sebenarnya sentiasa menunjukkan perkembangan yang positif.
"Trend pembelian, kalau harga rendah memang ramai akan beli.
"Sebab itu penuh pembeli di kedai emas semasa harga rendah. Namun apabila harga emas naik, kebanyakannya akan pajak emas di pajak gadai.
"Ia kerana apabila harga emas tinggi, bila pajak akan dapat pinjaman lebih tinggi.
"Pasaran emas sama ada harga rendah atau tinggi sebenarnya bagus untuk orang ramai,” katanya.
Fazrul menambah, emas memang akan sentiasa laku dalam kalangan masyarakat Malaysia kerana ia tergolong dalam jenis logam berharga dengan nilai ekonomi yang tinggi.
Beliau menjelaskan bahawa emas, perak, platinum dan rodium merupakan jenis-jenis logam yang dikategorikan sebagai berharga.
"Contohnya, jika Ringgit Malaysia dibawa ke luar negara, belum tentu semua negara akan menerimanya. Berbeza pula dengan emas yang pasti akan diterima di mana-mana sahaja,” jelasnya.
Mengulas dari aspek pembelian emas, beliau berkata, ia sebenarnya bergantung kepada niat si pembeli itu sendiri.
"Kebanyakan pembeli akan membeli emas 999 untuk dijadikan sebagai pelaburan untuk jangka masa panjang, manakala kalau untuk disimpan atau dipakai biasanya mereka akan beli emas 916.
"Tetapi trend pembelian emas di pantai barat lebih kepada kalau tidak ada duit, mereka akan pajak. Berbeza pula di pantai timur apabila mereka yang mendapatkan duit untuk mengembangkan bisnes dengan memajak emas.
"Kini trend yang saya tengok di Tawau, Sabah. Banyak pengusaha pajak gadai membuka cawangan di sana kerana saya difahamkan pelancong luar datang bawa emas datang dan pajak di situ,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca