PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) bukanlah kali pertama Khairul akan mengundi. PRU15 akan menjadi PRU kedua Khairul akan turut serta.
Yang menarik, sebagai pemimpin pertubuhan belia, Khairul bertanggungjawab untuk memastikan pengundi-pengundi muda keluar mengundi apabila sampai masanya.
Mengundi adalah tanggungjawab penting bagi semua warganegara. Pemimpin dan persatuan belia harus menyediakan pengundi muda untuk menjadi pengundi yang berinformasi dengan maklumat, bukan hanya berkaitan pilihan raya tetapi keseluruhan sistem politik serta pentadbiran negara kerana setiap undi boleh membawa kesan kepada kestabilan dan kesejahteraan Malaysia.
Dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan pada Julai 2019, seramai 5.8 juta pengundi baharu akan didaftarkan secara automatik selewat-lewatnya bulan depan dan layak mengundi pada PRU15.
Majoriti pengundi baharu berusia 18 tahun ke atas. Penurunan umur mengundi dan pelaksanaan pendaftaran secara automatik menjadi lambang kejayaan anak muda yang memperjuangkan hak untuk mengundi sejak sebelum PRU14.
Tuntutan pelaksanaan Undi 18 membawa anak-anak muda ke mahkamah apabila terdapat kelewatan ketara tanpa alasan munasabah oleh pihak badan pengurusan pilihan raya untuk melaksanakan Undi 18 dan pendaftaran automatik.
Ia membuktikan anak muda Malaysia mempunyai daya juang tinggi untuk menegakkan hak mereka.
Pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik bukanlah perkara yang boleh dilakukan sekelip mata. Pengurusan pilihan raya adalah berdasarkan undang-undang dan peraturan terbabit.
Namun apabila sesuatu pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan telah diluluskan Parlimen, pihak-pihak yang terlibat dengan pindaan itu harus memastikan pindaan dapat dilaksanakan dengan segera. Masalah teknikal dan pindaan terhadap undang-undang serta peraturan yang lain perlu diatasi dengan segera.
Sebarang kelewatan boleh memberi bayangan seolah-olah pihak pentadbir dikawal oleh parti memerintah dan diarahkan untuk melengahkan Undi 18 atas kepentingan politik pihak-pihak tertentu.
Soalan yang sering dibangkitkan adalah sama ada kehadiran anak muda pada PRU menjadi ancaman kepada ahli-ahli politik veteran.
Purata umur wakil rakyat di Parlimen Malaysia adalah 55.5 tahun manakala purata umur ahli Parlimen Singapura adalah 48.3, United Kingdom (51) dan Jerman (47).
Ahli politik lebih muda harus diberi ruang menjalankan tugas sebagai wakil rakyat manakala ahli-ahli Parlimen yang bertahun berada di Parlimen boleh berundur serta mengambil peranan sebagai mentor kepada ahli Parlimen baharu.
Untuk menjadi pengundi berpengetahuan, anak muda harus didedah dengan pelbagai ilmu berkaitan pilihan raya dan paling utama adalah hasil daripada keputusan pilihan raya.
Menandakan ‘pangkah’ di atas sekeping kertas kelihatan seolah-olah perkara kecil. Hakikatnya, tanda itu menjadi penentu kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara.
Kerajaan yang dibentuk hasil daripada keputusan pilihan raya harus mendapat mandat secukupnya. Pentadbiran negara dan negeri haruslah berlandaskan kepada manifesto yang dijanjikan calon serta parti politik semasa pilihan raya.
Bagi tujuan penilaian calon pilihan raya, pengundi terutama pengundi muda harus dilengkapkan dengan ilmu berkaitan pendidikan pengundi yang merangkumi sistem pentadbiran negara, amalan demokrasi sejagat, hak dan tanggungjawab warganegara mengikut Perlembagaan Persekutuan, asas undang- undang, perjalanan pilihan raya serta lain-lain perkara asas yang boleh membimbing rakyat membuat keputusan sewajarnya semasa pilihan raya.
Pemimpin-pemimpin belia seperti Khairul harus memainkan peranan untuk memastikan pengundi tanpa mengira umur membuat keputusan mengikut pertimbangan sewajarnya tanpa terlalu dipengaruhi sentimen politik keterlaluan.
Oleh itu, adalah wajar pengundi memilih calon yang diyakini akan mengotakan janji-janji pilihan raya, bukannya calon atau parti politik yang sekadar menabur janji manis semata-mata untuk memenangi pilihan raya.
*Amerul Muner Mohammad ialah mantan CEO Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya
Klik di sini untuk terus membaca