SHAH ALAM - Rata-rata rakyat Melaka tidak menganggap Ketua Menteri (KM) Melaka ke-13, Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang dilantik setelah Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai pemimpin yang ideal untuk mentadbir negeri itu.
Bendahari Dewan Perniagaan Melayu Melaka, Hezri Sardi berkata, daripada keseluruhan pengundi berdaftar, hanya 25 peratus atau satu per empat sahaja yang mengundi BN, manakala tiga per empat lagi sama ada menyokong parti lain atau tidak keluar mengundi.
"Jika dilihat keputusan PRN Melaka, seolah-olah BN hampir menyapu bersih semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi kalau dikaji semula, ia tidak menggambarkan keadaan sebenar sokongan rakyat terhadap kerajaan yang memenangi PRN kali ini.
"Jadi kalau nak kata lantikan Sulaiman sebagai KM adalah pilihan majoriti, bukan. Kerajaan ini juga bukan pilihan majoriti. Rakyat Melaka tidak menganggap KM daripada BN adalah calon yang ideal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar edisi ke-306 yang bertajuk Sabau Ler...Ini Pilihan Melaka yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.
Turut menjadi panelis, Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood dan Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Azmir Mohd Nizah manakala Ismail Adnan selaku moderator.
Beliau berkata, rakyat Melaka kini berdoa dan berharap agar keadaan politik dan ekonomi di negeri itu tidak menjadi lebih teruk berbanding sebelumnya.
"Kalau kita tengok sekarang, pada tahun ini sahaja, kadar pengangguran di Melaka yang direkodkan di Melaka sekitar 10,000 orang dan banyak perniagaan terpaksa gulung tikar.
"Sektor pelancongan masih jauh untuk pulih dan keadaan sosioekonomi memang amat teruk. Kita hanya berharap agar keadaan ini tidak menjadi lebih teruk kerana rakyat Melaka rata-ratanya sudah pesimistik,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan Undi 18, Hezri menekankan anak muda perlu diberi kesedaran dan pendidikan tentang dunia politik.
"Sekarang ini masalahnya kita banyak berkempen untuk undi parti dan burukkan antara satu sama lain. Tapi kita tidak memberi kesedaran atau pendidikan politik.
"Macam sekarang nak buat Undi 18, tapi kesedaran politik dalam kalangan remaja pun kita tidak terangkan. Apa yang golongan belia nampak bila cakap soal politik?
"Mereka akan melihat politik ini kotor dan saling mengutuk sedangkan politik lebih besar daripada itu,” katanya.