SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) perlu memikirkan strategi baharu untuk menambat hati pengundi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Pensyarah Kanan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) perlu memikirkan strategi baharu untuk menambat hati pengundi sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Azmir Mohd Nizah berkata, berdasarkan PRN Melaka kali ini, kebanyakan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Barisan Nasional (BN) disumbangkan oleh pengundi yang terdiri daripada ahli parti sendiri.

"Dalam konteks mengundi pasca norma baharu, seharusnya PH dapat menarik bilangan pengundi yang ramai kerana kita dapat lihat mereka sangat mahir dalam menggunakan media sosial.

"Dalam PRN ini, PH mempunyai poster yang sangat menarik dengan menggunakan sentimen dan eksploitasi, ia sangat bijak tetapi mengapa pengundi tidak turun membuang undi.

"Inilah perkara yang perlu dianalisis semula malah, semua pakar sosial sains melihat adanya ketidaksinambungan antara perkara yang wujud dalam alam maya dengan realiti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar edisi ke-306 yang bertajuk Sabau Ler...Ini Pilihan Melaka yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panelis, Pakar Perlembagaan, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood dan Bendahari Dewan Perniagaan Melayu Melaka, Hezri Sardi manakala Ismail Adnan selaku moderator.

Mengulas lanjut, Mohd Azmir berkata, dengan jumlah majoriti yang besar iaitu 21 daripada 28 kerusi yang dimenangi, ia adalah masa yang sesuai untuk BN merealisasikan kemakmuran dan kestabilan yang dibawa dalam PRN kali ini.

"Daripada 21 kerusi yang dimenangi, saya lihat ada beberapa kerusi yang sangat signifikan telah dimenangi oleh calon yang boleh dikategorikan muda di bawah umur 40 tahun di mana mereka boleh membawa aspirasi orang muda.

"Saya harap BN dapat menjalankan tanggungjawab yang lebih besar kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu untuk mengetengahkan idea-idea mereka dan secara langsung membawa kepada kemakmuran Melaka sendiri,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca