KEKALAHAN teruk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November lalu sememangnya memberi tamparan hebat kepada nakhoda utama koalisi pembangkang itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada... Klik di sini untuk terus membaca

KEKALAHAN teruk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November lalu sememangnya memberi tamparan hebat kepada nakhoda utama koalisi pembangkang itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada pilihan raya negeri itu, PH hanya mengekalkan lima daripada keseluruhan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), manakala PKR pula menunjukkan prestasi terburuk apabila gagal mempertahankan sebarang kerusi daripada keseluruhan 11 DUN ditandingi.

Senario kekalahan teruk ini akhirnya membawa kepada desakan daripada DAP yang menuntut supaya PH melaksanakan 'reset' politik selain terdapat ADUN parti itu menggesa Anwar supaya berundur daripada jawatan Pengerusi PH.

Bahkan ada kepimpinan PKR yang difahamkan sedang menggerakkan usaha menaikkan anak perempuan Anwar sendiri iaitu Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah serta Naib Presiden parti itu, Rafizi Ramli sebagai pemimpin utama untuk mengemudi parti berkenaan dan PH.

Hakikatnya, beberapa pemerhati politik berpandangan Anwar sudah melakukan kesilapan demi kesilapan dalam mengatur strategi politik untuk memenuhi cita-citanya menjadi Perdana Menteri, sejak beliau keluar daripada tirai besi lagi.

Dibebaskan daripada penjara Sungai Buloh sejurus PH berjaya mengambil alih Putrajaya pada PRU14, tindak-tanduk Anwar yang mendesak Tun Dr Mahathir Mohamad segera menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada beliau, dianggap pencetus kepada permulaan rasa kekecewaan penyokong PH terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

"Meskipun PH menuding jari terhadap Dr Mahathir, Bersatu dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (bekas Timbalan Presiden PKR) sebagai petualang yang menjadi pencetus peristiwa Langkah Sheraton tahun lalu.

"Pengundi cina sebenarnya kecewa dengan sikap Anwar yang terlalu ghairah dan tidak sabar-sabar untuk mengambil alih segera jawatan Perdana Menteri, sekali gus menjadikan kerajaan PH tidak stabil dan akhirnya terbubar.

"Mereka menganggap bahawa PH mampu melaksanakan manifesto yang cenderung kepada keperluan mereka selain berpandangan Dr Mahathir merupakan aset berharga yang boleh 'diperkudakan' PH bagi mengekalkan sokongan pengundi Melayu," kata penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussein.

Pandangan itu berasas memandangkan DAP difahamkan pernah mempertimbangkan cadangan melantik Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai pengerusi gabungan PH Plus, koalisi pembangkang yang turut disertai Warisan dan Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang).

Selain itu, Anwar dilihat sekali lagi melakukan kesilapan apabila beliau cuba mewujudkan jajaran politik baharu dengan UMNO yang dikuasai pemimpin terpalit kes mahkamah termasuk Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ramai pemerhati politik melihat sudah tiba masanya Anwar menyerahkan pucuk kepimpinan PH dan PKR kepada pemimpin lebih pragmatik seperti Rafizi dan Nurul Izzah.

Meskipun acapkali dinafikan Anwar dan Zahid, usaha penjajaran politik baharu antara UMNO-PKR itu seolah-olah satu realiti apabila Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa sudah memiliki sejumlah sokongan ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu melalui kutipan tandatangan akuan bersumpah (SD).

"Bagaimanapun, Anwar gagal membuktikan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa sokongan SD itu adalah sahih, sekali gus menyebabkan beliau sekali lagi gagal menjadi Perdana Menteri.

"Tindak-tanduk itu juga diteruskan Anwar sewaktu peristiwa kejatuhan kerajaan PN baru-baru ini apabila beliau menaruh keyakinan fraksi 15 ahli Parlimen UMNO pro Zahid yang menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan memberikan sokongan kepada beliau untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

"Sudahlah Anwar kempunan menjadi Perdana Menteri sekali lagi, bahkan beliau menerima tentangan keras daripada DAP yang tidak bersetuju dengan idea bersekongkol dengan UMNO yang pemimpinnya terpalit dengan kes kleptokrasi," kata Ahmad Atory lagi.

Terbaru, pada PRN Melaka, Anwar dilihat tidak serik melakukan kesilapan politik sama apabila keputusan beliau membenarkan dua pemimpin 'katak politik' daripada UMNO bertanding atas tiket PH, akhirnya memakan diri.

Pada masa sama, Anwar juga seolah-olah gagal menguruskan konflik dalaman PKR dengan baik apabila membiarkan Biro Politik parti itu menyingkirkan pemimpin popular seperti bekas ADUN Machap Jaya, Genie Lim sebagai calon pilihan raya selain meletakkan calon-calon yang didakwa tidak disokong akar umbi termasuk Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

"Permasalahan besar dalam aspek pengurusan politik Anwar adalah beliau menggunakan pendekatan pecah dan perintah dengan kecenderungannya lebih rela menyimpan pemimpin bersifat 'yes bos' berbanding pemimpin pragmatik.

"Buktinya beliau sengaja mewujudkan fraksi dalam kalangan pemimpin-pemimpin berpengaruh yang menyokongnya semata-mata untuk mengekalkan pengaruh dalam parti dan hal ini terbukti melalui keputusan Mohamed Azmin keluar PKR dan Rafizi 'merajuk' dengan beliau.

"Langkah ini sebenarnya tidak relevan untuk landskap politik semasa kerana beliau menyebabkan pemimpin-pemimpin pragmatik yang mampu memberi sumbangan besar kepada PKR seperti Mohamed Azmin, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah menjauhkan diri daripada parti," ujar Ahmad Atory.

Sekiranya Anwar terus kekal mengemudi PKR dan PH bagi menghadapi PRU15, beliau dibimbangi akan menjadi semakin tidak relevan dan boleh diibaratkan sebagai 'singa tua yang tiada taring'.

"Secara jujurnya, saya melihat Anwar sebenarnya lebih berpengaruh apabila beliau berada di sebalik tirai besi berbanding setelah beliau bebas dan kembali mengemudi PKR.

"Tidak dinafikan Anwar dianggap simbol politik bersih dan berintegriti ketika dalam penjara kerana beliau banyak mengeluarkan idealisme, falsafah serta pandangan politik bernas.

"Namun jika beliau berterusan menggunakan strategi politik bersifat 'opportunis' selain mengamalkan pendekatan kepimpinan 'pecah dan perintah', harapan beliau untuk menjadi Perdana Menteri berkemungkinan akan terkubur sampai bila-bila," jelas Ahmad Atory.

Klik di sini untuk terus membaca