SHAH ALAM - Orang ramai kesal dengan sikap segelintir peniaga yang kurang peka dan sensitif dengan cara mereka mempromosikan produk di media sosial.
Terdapat peniaga yang mempamerkan visual dan foto berunsurkan lucah, perkataan kesat, berpakaian menjolok mata serta merokok sewaktu bersiaran langsung di platform dalam talian.
Seorang guru tadika, di Gemas, Negeri Sembilan, Suhazliara Ali, 25, berkata, kehadiran iklan yang menggunakan unsur tidak sensitif itu tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi di ruang sosial media yang boleh turut diakses oleh golongan remaja.
Apa yang lebih merisaukan menurutnya, iklan sedemikian juga boleh lalu di garis masa pengguna sosial media meskipun mereka tidak mengikuti laman Facebook kedai jualan tersebut.
Dalam pada itu, guru sandaran dari Georgetown Pulau Pinang, Nabila Huda Sukri, 26, berkata, promosi barangan berunsurkan gambar lucah seperti penjualan ubat bagi kecantikan aset wanita kini didapati banyak diiklankan secara umum tanpa sebarang peringatan awal daripada pengiklan.
Beliau berkata, isu itu sudah berlaku sejak sekian lama dan sekiranya dibiarkan, ia akan terus berleluasa khususnya melibatkan iklan yang mempromosikan ubat dan produk kecantikan wanita.
"Pengiklan sepatutnya lebih bertanggungjawab contohnya dengan memberikan peringatan awal terlebih dahulu pada awal kandungan sensitif iklan tersebut sama ada yang disiarkan dalam bentuk video mahupun teks,” katanya.
Pada masa sama, seorang pelajar universiti di Bangi, Selangor, Khairul Iman Hakim, 25, berkata, selain penggunaan gambar seksi wanita, iklan tidak bermoral sering menggunakan unsur seksual secara halus dan licik.
"Walaupun kita boleh memilih ketetapan yang disediakan bagi melaporkan dan menghalang kandungan tersebut seperti di media sosial, namun ia kadang kala masih boleh melepasi ketetapan berkenaan dan bagaimana pula dengan golongan remaja yang belum matang tahap literasi digital mereka?” soalnya.
Dalam pada itu, pembantu jurutera dari Puncak Alam, Selangor, Noor Azmi Mohamad Iskandar, 37, berkata, peningkatan iklan berunsur lucah di platform media sosial itu dilihat sangat tidak sihat untuk persekitaran pembesaran anak-anak dan remaja.
Jelas beliau, perkara itu menjadi lebih bahaya memandangkan peningkatan penggunaan platform digital dalam amalan norma baharu kanak meliputi aspek perhubungan dan pendidikan.
Sementara itu, seorang pelajar universiti Shah Alam, Muhammad Aliff Haikal Rosmadii, 23, berkata, cara pengiklanan tersebut tidak seharusnya dibiarkan kerana ia bakal menormalisasikan budaya lucah dalam masyarakat.
"Saya lihat promosi barangan dengan cara tidak bermoral itu pada mulanya hanya dilakukan di papan iklan lebuh raya sekitar Kuala Lumpur sejak 2016 sebelum mula beralih ke platform dalam talian,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca