PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan. Banyak ulasan dibuat mengenai kemenangan BN yang pada peringkat awal kempen dikatakan goyang. Menjelang hari... Klik di sini untuk terus membaca

PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) yang memperoleh 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan. Banyak ulasan dibuat mengenai kemenangan BN yang pada peringkat awal kempen dikatakan goyang.

Menjelang hari mengundi, terdapat analisis yang membayangkan BN akan menang 18 kerusi. Namun, keputusannya BN mendapat sebanyak 21 kerusi iaitu UMNO (18), MCA (dua) dan satu untuk MIC.

Kemenangan tersebut diraikan jentera BN dengan gembiranya tetapi sebentar sahaja apabila timbul pula pendapat mengatakan keputusan itu tidak boleh dijadikan kayu ukur prestasi BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Undi BN pada PRN Melaka tidak cukup banyak seperti undi pada PRU14.

Pandangan bahawa peratus yang keluar mengundi, kekurangan isu-isu besar, undi pecah PN yang menguntungkan UMNO/BN serta faktor Melaka sebagai lubuk BN telah dikomen dengan panjang lebar oleh penganalisis serta pemimpin politik.

Akhirnya, perbincangan menjurus kepada sudut pandang walaupun menang, BN tidak menang sepenuhnya. Meskipun kalah, Pakatan Harapan (PH) tidak semestinya tewas kerana banyak faktor lain menyebabkan PH kecundang kali ini.

Sebenarnya, dalam apa juga keputusan pertandingan, yang menang tetap menang, yang kalah tetap kalah. Dalam perlawanan bola sepak, sebuah pasukan yang lemah pun berpeluang boleh menang dengan hanya satu gol sahaja. Yang kuat kalah tetapi yang lemah pula dah menang.

Apabila kita asyik bercakap tentang segala kemungkinan yang membawa maksud kemenangan atau kejayaan dirangkul itu tidak begitu bagus kerana pelbagai kebarangkalian memungkinkan kekalahan, apa guna bersusah payah mengejar kejayaan jika kejayaan tersebut tidak diraikan?

Seharusnya, apabila kita fokus untuk menang dalam satu-satu pertandingan mahupun usaha, fokus kita patut konsisten untuk meraikan kemenangan itu setelah berjaya.

Mengapa pula belum pun sempat tawa dan gembira hilang, stres baharu datang apabila fikiran asyik fokus kepada kemungkinan kekalahan meskipun ia disalut atas nama analisis, maklum balas mahupun post mortem. Bukankah ia satu bentuk over-thinking?

Over thinking selalu dikaitkan dengan sikap terlebih fikir sebelum melakukan sesuatu hingga satu pun tak terbuat. Kali ini over thinking juga boleh terjadi jika sesuatu yang telah berlaku itu diulas dan dikupas sedemikian rupa hingga yang berjaya dilihat sebagai tidak begitu berjaya atau bakal gagal pada masa hadapan.

Dunia kian pantas berkembang dan bergolak. Faktor-faktor sentiasa berubah dan bertambah sehinggakan resipi kejayaan semalam sudah tidak berguna lagi pada hari esok.

Prestasi kejayaan bukan lagi sesuatu yang mudah diperoleh. Oleh sebab segala-galanya sentiasa berubah, sesuatu formula kejayaan mungkin hanya terpakai sekali. Esok, formula kejayaan yang sama sudah tidak berguna lagi.

Jadi, raikan kejayaan sebaik sahaja kita merangkulnya. Esok belum tentu kejayaan akan berulang.

Justeru, buat apa merosakkan kebahagiaan mencapai kejayaan yang sukar diperoleh itu dengan berkata: "Kita sepatutnya lebih berjaya jika...” Apa perlu kita streskan diri apabila kejayaan tersebut tidak mahu dinikmati?

Betul, kita perlu serius apabila mahukan kejayaan tetapi apabila sudah berjaya, buat apa serius lagi?

Nikmatilah hadiah kejayaan itu hari ini. Belajarlah untuk tersenyum pada ketikanya. Esok lain cerita.

Oleh sebab semalam kita mampu tersenyum setelah berjaya, tangisan esok akan dianggap sebagai sulaman dalam perjalanan menuju ke puncak.

* Norden Mohamad ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca