SAYA mengenali James Bond ketika berusia sembilan atau 10 tahun. Bukan melalui filem, bukan juga melalui komik dan novel. Sebaliknya perkenalan bermula dengan sebuah beg.
Pada masa itu, beg James Bond cukup popular. Ia sejenis beg yang bentuknya lebih kurang sama dengan beg peti sering digunakan budak-budak sekolah atau isteri-isteri yang nak lari dari rumah.
Yang membezakan antara beg James Bond dengan beg peti adalah saiz, mutu pembuatan dan harganya. Beg peti agak gabai, tebal dan dibuat daripada bahan ala-ala kadbod, yang kalau dipijak boleh terjerlus kaki dan akan kembang bila basah. Jika mengikut ukuran zaman sekarang harganya ‘sangat murah’ walaupun bagi orang dulu-dulu dah ‘mahal sangat’ dah.
Beg James Bond, pembuatannya lebih halus dan kemas, bahannya berkualiti dan harganya pun mungkin sama dengan harga dua tiga ratus biji beg peti.
Ia bercirikan gaya eksklusif yang tidak semua orang mampu memilikinya. Sebab itulah yang membawa beg James Bond pada masa dahulu hanya mereka yang berkedudukan.
Tetapi itu sebelum munculnya era beg tiruan. Setelah munculnya era itu, penjual ubat di kaki lima pun hampir semuanya menggunakan beg James Bond.
Eh, terlajak bercerita pasal beg pula. Maaflah, orang kita memang begitu. Suka melalut. Orang bercerita bab Covid-19, dia meleret sehingga bab politik. Orang tanya bila jalan kampung hendak diturap, jawapannya akan berlegar-legar sampai ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kembali tentang James Bond. Apabila Ian Fleming mencipta watak tersebut pada 1953, dia memulakannya dengan azam untuk ‘melahirkan’ seorang perisik yang kehebatannya menandingi semua perisik lain yang pernah ada di dunia.
Dan dia berjaya, Bond yang mulanya muncul dalam bentuk novel, sebelum berkembang kepada filem dan komik, menjadi figura sangat hebat dalam dunia fantasi perisikan. Ia menjadi ikon berstatus legenda yang turut mempengaruhi bidang perisikan di dunia nyata.
Lebih tepat lagi, Bond – yang juga sinonim ‘dengan double O seven’ – berjaya diangkat sehingga membibitkan kepercayaan dan keyakinan bahawa perisik terhebat di dunia ialah orang putih.
Maka, lengkaplah propaganda Barat, yang hebat di hutan orang putih (Tarzan), di angkasa geng Guardian of The Galaxy, di laut The Aquaman, di muka bumi Superman, Batman, Spiderman dan macam-macam lagi.
Tetapi dibandingkan dengan semua watak lain, Bond mempunyai kelas tersendiri. Dia manusia biasa macam kita. Tidak ada tenaga dan kudrat luar biasa. Yang luar biasa adalah akal dan kebolehan peribadinya yang diadun dengan teknologi agak terkedepan mengikut zamannya, disusun atur oleh bosnya ‘M’ yang mengetuai operasi perisikan di agensi tempat Bond berkhidmat.
Dalam mencipta watak James Bond, Fleming sangat berhati-hati sehinggakan dia menetapkan bahawa wajah perisik itu haruslah sama dengan ‘adunan’ wajahnya dan wajah Hoagy Carmichael (1899-1981), penyanyi, penulis lirik, pemuzik, pelakon, pengarang serta peguam yang cukup terkenal di Amerika Syarikat pada separuh pertama abad ke-20.
Akhirnya muncullah wajah tampan yang menjadi kegilaan ramai itu. Usahkan anak gadis dan wanita muda, nenek-nenek yang umurnya hampir sama banyak dengan bulu kambing pun termimpi-mimpi berada dalam dakapan ejen tersohor itu.
Tetapi jika direnung betul-betul, hakikatnya James Bond hanya menjadi ‘kambing hitam’ pada hasrat sebenar. Yang betulnya, masing-masing tergila-gila dengan hero-hero yang membawa watak tersebut – Sean Connery (1962-1967, 1971, 1983), David Niven (1967), George Lazenby (1969), Roger Moore (1973-1985), Timothy Dalton (1987-1989), Pierce Brosnan (1995-2002) dan Daniel Craig (2006-2021).
Golongan lelaki pun sama. Ramai terigau-igau hendak menjadi seperti Bond. Memanglah tidak mudah hendak menjadi setampan dan sekacak bintang-bintang terkenal itu. Kalau macam saya, disolek tujuh hari tujuh malam pun belum tentu akan kelihatan macam Daniel Craig.
Tidak dapat tiru muka, mereka tiru gaya. Tidak dapat beli kereta ala-ala James Bond, dapat beli pelekat (sticker) gambar kereta itu pun sudah memadai. Dan itulah antara sebabnya kenapa beg James Bond sangat laris.
Disebabkan hendak meniru gaya James Bond jugalah, ada orang yang tidak pernah merokok tiba-tiba bertukar menjadi perokok. Pantang jauh sedikit daripada kotak rokok, mulalah terasa hendak demam, hendak pitam, hendak muntah dan sebagainya.
Ketagihan merokok akibat terpengaruh dengan gaya James Bond ada saya sentuh dalam buku Mengapa Saya Berhenti Merokok. Saya kisahkan dalam buku tersebut bagaimana watak Bond digambarkan sebagai perokok tegar – sama seperti Fleming sendiri.
Berdasarkan pengamatan saya, ‘James Bond’ merokok dalam 11 filem daripada 23 filem 007. Sean Connery yang menjadi hero bagi lima buah filem awal diperkenalkan dalam Dr No dengan rokok di bibirnya. Roger Moore mahu membezakan lakonan wataknya dan sebagai penggemar cerut, menghisap cerut secara eksklusif sepanjang tujuh buah filem Bond yang diterajuinya.
George Lazenby dan Timothy Dalton juga menghisap rokok dalam kolektif tiga buah filem yang mereka lakonkan. Pierce Brosnan ialah pelakon pertama yang boleh mengatakan Bond tidak merokok tetapi dia akhirnya beralah dan mengeluarkan cerut dalam filem akhirnya Die Another Day. Bond sekarang, Daniel Craig, seorang sahaja memegang watak tidak merokok.
Tetapi cara Bond merokok tidak sama dengan cara Wak Din atau Haji Wahab atau Datuk Sidek atau Datin Gayah. Dia memiliki gaya tersendiri, daripada membuka kotak, mengeluarkan rokok, mencucuh hujungnya, mengepitnya di jari, menghembus asapnya sehinggalah kepada mematikan api pada hujung puntungnya.
Dengan memanipulasi semua gaya itu, mereka di sebalik penerbitan filem James Bond berjaya mempengaruhi fikiran khalayak untuk percaya bahawa tabiat merokok itu boleh membawa kepada keterampilan yang luar biasa, tenang dan maskulin. Ajaran songsang yang masih diterima pakai sehingga sekarang.
Saya antara yang pernah terpengaruh dengan gaya itu. Kepit rokok ke hulu ke hilir. Perasan seolah-olah semua perempuan cantik akan tengok saya dan akan terpikat. Terlupa yang ketika itu saya hanya menunggang motosikal EX5.
Mujurlah saya cuma terpengaruh dengan apa yang terpapar di layar perak, bukan yang tertulis di dalam buku, di mana Ian Fleming menggambarkan James Bond merokok 60 batang sehari.
Mujur jugalah saya cepat-cepat sedar dan kemudiannya berhenti merokok. Jika tidak, sekarang ini mungkin saya telah menjadi ‘lelaki tanpa paru-paru’.
Kerana besarnya pengaruh James Bond, watak rekaan itu telah memberi pulangan kira-kira RM29 bilion kepada pengeluarnya.
Itu baru daripada filem, belum lagi termasuk novel, komik, adaptasi ke radio dan televisyen, permainan komputer dan sebagainya.
Kita yang terpengaruh ini dapat apa? Saya tak tahu. @dush!
* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia
Klik di sini untuk terus membaca