SHAH ALAM - Pakar undang-undang menggesa supaya tindakan segera dikenakan terhadap peniaga yang memuat naik unsur berbentuk lucah dalam mempromosikan produk masing-masing.
Pakar Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, kerajaan boleh mengenakan tindakan ke atas peniaga tersebut berpandukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
Jelasnya, ia menggariskan beberapa peraturan yang mengehadkan penggunaan media baharu dan media sosial.
"Seksyen 211 AKM 1998 melarang sebarang bentuk kandungan sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mencaci, mengugut atau mengganggu mana-mana orang merupakan satu kesalahan.
"Apabila disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000, dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
"Boleh juga didenda RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Bagaimanapun beliau mengakui bahawa tidak mudah untuk mengawal media sosial berikutan terdapat pelbagai cabaran yang dihadapi kerajaan antaranya domain dan web hosting sesuatu laman sesawang didaftarkan di luar negara malah sukar untuk mengesan atau mengenalpasti suspek.
"Ada juga individu berkenaan menggunakan maklumat palsu selain perkembangan teknologi yang sangat pantas sehingga sukar melaksanakan pemantauan,” katanya.
Sementara itu, pakar perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof pula berkata, peniaga yang mencari rezeki melalui media sosial seharusnya cakna dengan kesan iklan-iklan yang tidak beretika dan melampau.
Katanya, ia berikutan media sosial boleh diakses oleh pelbagai peringkat umur dan latar belakang.
"Kreativiti dan inovasi dalam pengiklanan itu bagus. Tetapi carilah cara kreatif yang positif, yang mendatangkan kebaikan untuk orang ramai, bukan sebaliknya.
"Perlu diingat juga bahawa setiap sebaran melalui media sosial tetap tertakluk kepada peraturan,” jelasnya.
Selain tindakan undang-undang, Muhammad Fathi berkata, para pengguna media sosial juga wajar memboikot mana- mana peniaga yang menggunakan taktik tidak bermoral itu.
"Kaedah menimbulkan sesuatu tindakan melampau dengan tujuan untuk menarik jumlah tontonan sehingga menjadi viral adalah satu perbuatan buruk.
"Peniaga perlu ada nilai etika. Jangan mencari keuntungan dengan gadaikan prinsip dan kepentingan umum,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca