SUATU ketika dulu, kawasan plateau di Niger merupakan tanah yang kering tetapi kini ia menjadi kawasan menghijau semasa dunia dilanda dengan isu perubahan iklim dan cuaca yang ekstrem. Di kawasan itu, kambing-kambing memakan biji akasia,... Klik di sini untuk terus membaca

SUATU ketika dulu, kawasan plateau di Niger merupakan tanah yang kering tetapi kini ia menjadi kawasan menghijau semasa dunia dilanda dengan isu perubahan iklim dan cuaca yang ekstrem.

Di kawasan itu, kambing-kambing memakan biji akasia, tapak kaki tupai terdapat pada tanah, mentadak terdapat pada pokok-pokok dan segerombolan belalang memakan daun-daun yang menghijau.

"Sebuah hutan kecil tumbuh semula dengan menakjubkan," kata ketua pentadbiran Semiri, Moussa Adamou kepada AFP.

Kewujudan hutan itu adalah hasil daripada projek Tembok Kehijauan Besar Kesatuan Afrika yang menyasarkan untuk memulihkan tanah kering menjelang tahun 2030 dengan meliputi kawasan sepanjang 8,000 kilometer dari Senegal hingga ke Djibouti di timur Afrika.

Tanah yang sesuai untuk pertanian merupakan pemberian paling berharga di Niger yang mana kawasan gurun wujud tiga suku daripada wilayahnya manakala 80 peratus penduduknya hidup dengan bergantung kepada aktiviti bertani untuk menyara kehidupan.

Bank Dunia meramalkan penduduk di Niger akan meningkat dari 23 juta pada tahun 2019 kepada 30 juta pada tahun 2030 serta 70 juta pada tahun 2050 sekali gus memberikan gambaran bahawa betapa pentingnya projek penghijauan itu dilakukan.

Sumbangan Niger ialah pokok akasia dan pokok Bauhinia yang kalis kemarau dan boleh membesar sehingga setinggi 12 meter.

Dengan berbekalkan beliung dan penyodok, para petani membina benteng tanah yang menahan air hujan di sekeliling anak pokok untuk memastikan ia terus tumbuh walaupun semasa musim kemarau.

Menurut seorang petani tempatan, Garba Moussa, daun-daun pokok itu dan biji akasia adalah kaya dengan protein untuk haiwan ternakan.

"Dimasak atau dikeringkan, kami juga memakannya untuk kelangsungan hidup semasa berlakunya kekurangan makanan," katanya seperti dilaporkan oleh AFP.

Hutan kecil wujud di lokasi projek kehijauan di kawasan tanah rata yang kering di Simiri, Niger. - Foto AFP

Adamou berkata, zirafah-zirafah juga telah meninggalkan habitat haiwan itu di selatan ibu negara Niamey untuk mencari daun akasia setelah program penghijauan semula plateau Simiri bermula pada tahun 2013.

Hutan di selatan Niger telah berkurangan dan kehilangan sebanyak satu pertiga dan kini hanya mewakili satu hingga dua peratus daripada negara tersebut, menurut Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menjelang tahun 2030, negara itu menyasarkan untuk menghijaukan kira-kira 3.6 juta hektar tanah yang mewakili lebih 37.5 peratus daripada wilayahnya, kata Ketua Pengarah Tembok Kehijauan Niger, Maisharou Abdou.

Beliau menyatakan antara lapan dan 12 peratus daripada sasaran itu telah pun dicapai pada tahun lalu.

Dalam pada itu, Ketua Antipenggurunan di negara itu, Mouhamadou Souley memberitahu bahawa kerja-kerja telah bermula untuk meluaskan lagi sebanyak 65 hektar projek penghutanan itu.

Bagi membolehkan cita-cita itu dicapai, Niger yang dianggap sebagai antara negara paling miskin di dunia memerlukan wang sebanyak lebih AS$750 bilion (RM3.1 trilion).

Kesatuan Eropah (EU), Pertubuhan Makanan dan Pertanian PBB, Bank Dunia dan lain-lain penyumbang telah menyalurkan bantuan kewangan kepada negara tersebut.

Projek Tembok Besar Kehijauan itu turut menumpukan kepada akses bagi memperoleh air, tenaga solar dan pembangunan sosioekonomi termasuk sayur-sayuran yang ditanam untuk jualan, penternakan ikan, pengurusan penternakan lembu dan penternakan unggas seperti ayam.

Tumpuan itu dilakukan sebagai usaha bagi memberikan pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menyertai usaha mewujudkan hutan seluas 100 hektar, mengusahakan tapak semaian dan menggali telaga, kata Issa Garba daripada Sukarelawan Muda Untuk Alam Sekitar.

Bagaimanapun, serangan kumpulan-kumpulan jihad Islam di beberapa negara Afrika yang menyertai projek itu mungkin menghalang rancangan mewujudkan hutan tersebut.

Seorang pakar Niger, Sani Yaou berkata, petani-petani takut untuk melakukan kerja-kerja penghijauan, mewujudkan hutan atau menjaga pokok-pokok ekoran ancaman kumpulan-kumpulan jihad itu. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca