SHAH ALAM - Kerajaan digesa supaya bertindak tegas mengikut undang-undang sedia ada bagi menangani isu penggunaan ayat yang berunsur lucah dalam iklan perniagaan.
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, tindakan itu wajar dilaksanakan agar dapat memerangi masalah tersebut dan seterusnya melindungi nilai hidup masyarakat di negara ini.
"Saya yakin Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ada garis panduan dan peraturan. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) serta pihak berkuasa bidang pengiklanan juga ada akta dan peraturannya.
"Pihak berkuasa hendaklah menguatkuasakan akta, undang-undang dan peraturan berkaitan dengan iklan di media sama ada cetak mahupun elektronik dengan serius kerana isu iklan lucah berkaitan dengan jati diri, nilai tamadun negara dan pendidikan kepada generasi muda,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Awang berkata, persatuan, agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga memainkan peranan penting berhubung isu tersebut dari segi pemantauan.
"Pihak berkuasa agama dan NGO, terutamanya persatuan pengguna, patut juga membantu membendung isu itu dengan pemantauan lebih ketat.
"Di pihak peniaga dan pengiklan, persatuan pengiklan juga boleh turut sama memantau agensi pengiklan, termasuk dalam aspek akhlak atau moral. Jangan jadikan perniagaan dan motif keuntungan sebagai alat yang mengorbankan nilai hidup masyarakat,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata, penggunaan ayat yang berunsur lucah dalam iklan perniagaan merupakan satu penghinaan kepada agama Islam sebagai agama Persekutuan serta kepada Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama.
Menurutnya, para peniaga tidak wajar menggunakan sama ada gambar atau bahasa yang tidak sopan semata-mata untuk tujuan promosi barangan mereka kerana bertentangan dengan nilai hidup manusia secara umum khasnya kepada masyarakat di negara ini.
Klik di sini untuk terus membaca