KUALA LUMPUR - Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengesyorkan agar perkhidmatan wakil-wakil rakyat di negeri itu pada masa hadapan memadai dihadkan kepada dua penggal sahaja.
Cadangan tersebut termasuklah untuk jawatan exco dan ketua menteri.
"Melainkan seseorang wakil rakyat itu memperlihatkan prestasi yang luar biasa atau khidmatnya masih diperlukan untuk penggal yang seterusnya atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan, mungkin dalam kes-kes begitu boleh dipertimbangkan,” ujarnya dalam pertemuan dengan ketua-ketua pengarang akhbar dan media massa di Rumah Melaka, Jalan Bellamy di sini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lendu berada di sini untuk menghadiri mesyuarat Majlis Raja-Raja.
Pada Pilihan Raya Negeri Melaka yang baru selesai Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi majoriti dua pertiga dengan 21 kerusi - 18 daripadanya dimenangi oleh UMNO diikuti MCA dua kerusi dan MIC satu.
Pesaing terdekat, Pakatan Harapan (PH) hanya mampu menguasai lima kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) dua. Tidak ada seorang pun calon daripada PKR, Pas, Gerakan atau Bebas yang berjaya memenangi kerusi.
BN menampilkan lebih 80 peratus muka baharu dan hanya mengekalkan empat muka lama untuk mempertahankan kerusi.
Sulaiman menegaskan walaupun syor itu adalah pandangan peribadinya dan bukan parti tetapi beliau telah menyatakannya secara terbuka kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan selepas majlis angkat sumpah jawatan ketua menteri Ahad lalu.
"Sebenarnya kita telah pun mengambil langkah ini dalam PRN baru-baru ini dan dengan lebih 80 peratus calon terdiri daripada muka-muka baharu, BN telah berjaya memperoleh kemenangan dengan majoriti dua pertiga.
"Ini menunjukkan para pengundi menerima muka-muka baharu ini sebagai sesuatu yang segar, menarik dan dinamik,” kata Sulaiman.
Ditanya, apa yang mencetuskan beliau untuk berbuat demikian, Sulaiman berkata, pengalaman menunjukkan, memegang jawatan untuk satu tempoh yang panjang tidak menyumbang kepada pembaharuan dan pembangunan negeri.
"Sedangkan belajar pun ada proses graduasi... masuk dan tamat belajar tapi dalam politik orang nak bersandar kepada sesuatu jawatan itu seperti tiada hari esok. Kenapa?” tanya beliau.
Beliau berpandangan, dua penggal adalah satu proses yang panjang apatah lagi sehingga tiga atau empat penggal seolah-olah seperti tiada kesudahannya.
Ujar beliau lagi, amalan menyandang sesuatu jawatan politik untuk satu tempoh yang panjang turut menghalang proses mengenal pasti dan membina sahsiah kepimpinan baharu dalam parti dan kerajaan.
"Saya sendiri tidak mahu malah saya memberitahu pucuk pimpinan bahawa memadailah saya berkhidmat selama dua penggal dan tempat saya diambil alih oleh muka baharu.
"Malah saya keberatan untuk menjadi ketua menteri untuk sepenggal lagi. Isteri dan keluarga saya juga mahu saya berhenti.
"Tapi saya faham, situasi politik semasa tidak mengizinkan pucuk pimpinan bersetuju dengan cadangan saya itu dan saya diminta untuk berkhidmat selama sepenggal lagi sebagai wakil rakyat dan ketua menteri tapi selepas ini memadailah, kita harus beri peluang kepada orang lain pula,” tegas beliau.
Menurut Sulaiman, dengan mengehadkan perkhidmatan wakil rakyat kepada maksimum dua penggal sahaja, penyandang jawatan itu sudah mengetahui siang-siang bahawa untuk penggal seterusnya mereka perlu mencari pengganti yang baharu dan dengan itu akan melatih pengganti yang sesuai dan berpotensi.
Jelasnya, dengan demikian proses perkaderan kepimpinan parti akan menjadi lebih dinamik dan segar.
Pada masa yang sama, ia membuka peluang kepada pelapis baharu untuk naik dalam hierarki parti dan memperlihatkan keupayaan dan kepimpinan sebenar mereka.
Parti dan kerajaan katanya akan menjadi lebih segar dengan idea-idea baharu dan proses ini kemudiannya akan diteruskan oleh generasi akan datang tanpa perlu ada perebutan yang sengit untuk menjadi wakil rakyat, exco atau ketua menteri.
Beliau berharap cadangannya ini akan dipertimbangkan secara serius oleh pucuk pimpinan parti demi masa depan Melaka.
Di bawah undang-undang Malaysia satu penggal yang normal bagi Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat adalah untuk tempoh lima tahun.
Klik di sini untuk terus membaca