SHAH ALAM - Kemerosotan pengeluaran hasil sayuran tempatan akibat musim hujan menjadi antara faktor utama kenaikan harga sayuran dalam negara baru-baru ini. Punca lain dikenal pasti turut menyumbang kepada peningkatan harga sayuran adalah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kemerosotan pengeluaran hasil sayuran tempatan akibat musim hujan menjadi antara faktor utama kenaikan harga sayuran dalam negara baru-baru ini.

Punca lain dikenal pasti turut menyumbang kepada peningkatan harga sayuran adalah penurunan bekalan sayuran import, peningkatan kos pengeluaran dan kekurangan tenaga pekerja.

Setiausaha Agung Persatuan Pekebun Sayur Cameron Highlands, Chay Ee Mong berkata, sejak permulaan musim hujan di kawasan tersebut pada awal November ini, pengeluaran sayuran di kawasan tersebut telah merosot sebanyak 30 hingga 40 peratus.

Beliau berkata, meskipun pengurangan produktiviti itu sudah dijangka kerana ia berlaku hampir setiap tahun, namun kenaikan luar biasa harga sayur di dalam negara ketika ini diburukkan lagi dengan isu bekalan sayuran import yang terjejas.

"Kenaikan tahun ini jadi lebih teruk kerana bekalan import sekarang ini pun dah jadi mahal sebab bekalan kurang. Sebelum ini kalau tidak cukup (bekalan sayur tempatan), kita boleh import, tapi sekarang nak dapat bekalan import pun susah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Akhbar ini pernah melaporkan mengenai kenaikan harga sayuran dalam negara yang dilaporkan meningkat sehingga 200 peratus sejak dua minggu lalu.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader pada Rabu berkata, terdapat lapan jenis sayuran didapati merekodkan kenaikan harga antaranya kubis bunga, sawi pendek, brokoli, sawi, kacang buncis, kubis, cili merah dan cili hijau.

Ee Mong berkata, kemerosotan bekalan sayuran import yang lazimnya diperoleh dari China, Australia dan Amerika Syarikat itu berlaku di seluruh dunia kerana faktor pengurangan pengeluaran dan peningkatan kos logistik.

Kos pengeluaran meningkat

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penanam Sayur Cameron Highlands, Lau Weng Soon berkata, selain isu cuaca, faktor kenaikan kos pengeluaran sayuran dan kekurangan pekerja juga menjadi faktor kepada penurunan hasil sayuran ketika ini.

Beliau berkata, dengan kenaikan kos pengeluaran antaranya harga baja yang berlaku sejak empat bulan lalu, ramai pengusaha sayuran mengurangkan penggunaan bahan tersebut sehingga menjejaskan jumlah pengeluaran hasil tanaman.

"Untuk seketika, kita masih boleh gunakan baja lama yang dibeli sebelum kenaikan harga, tetapi sekarang stok lama sudah kurang.

"Kebanyakan baja import yang kita ambil dari China juga sudah sangat berkurangan,” ujarnya.

Mengulas mengenai isu pekerja, Weng Soon berkata, ramai pekerja asing beralih keluar dari Cameron Highlands untuk bekerja di sektor perkilangan selepas pembukaan semula ekonomi negara pada tahun ini.

Katanya, hal tersebut memburukkan lagi situasi kekurangan pekerja asing di ladang tanaman di Cameron Highlands yang didakwa sudah berlarutan sejak dua tahun lalu.

"Kalau dulu kita boleh tanam 10 ekar (4.04 hektar) penuh. Tapi sekarang mungkin mungkin enam ke tujuh ekar (2.42 hingga 2.83 hektar) sahaja,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca