SATU fenomena yang menarik pada dan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ialah Pakatan Harapan (PH) tidak lagi memonopoli agenda reformasi. Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kini melaung-laungkan reformasi juga. Selepas... Klik di sini untuk terus membaca

SATU fenomena yang menarik pada dan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ialah Pakatan Harapan (PH) tidak lagi memonopoli agenda reformasi. Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kini melaung-laungkan reformasi juga.

Selepas kemenangan dua pertiga di Melaka, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa kerajaan baharu BN akan membawa reformasi institusi dengan harapan semoga politik tanah air lebih stabil dan berakauntabiliti – undang-undang anti-lompatan (sudah wujud di Pulau Pinang), undi tidak percaya konstruktif, penggal dewan minimum empat tahun dan dana pembangunan kawasan yang saksama untuk wakil rakyat kerajaan serta pembangkang.

Reformasi PN pula lebih kepada penghapusan rasuah. Serasi dengan tema antirasuah PN, poster-poster ‘nakal’ dan mencuit hati yang troll UMNO muncul serta ditularkan.

PN telah mencapai kemenangan kecil di Melaka dengan memenangi dua kerusi dan menjadi parti kedua terbesar di 10 kawasan lain. Ia menunjukkan potensinya menggantikan PH sebagai blok pembangkang utama.

Persoalannya, adakah kempen antirasuah PN akan berkubur selepas Melaka? Adakah slogan melangit lawan kleptokrat itu akan menjadi kata lembut daripada pipi ke telinga dalam perundingan kerusi? Adakah tekad melawan rasuah akan dikebumikan atas alasan perpaduan?

Apakah pelan tindakan PN untuk memerangi rasuah? Kleptokrasi tidak boleh dilawan dengan poster dan slogan-slogan nakal.

PN mempunyai 50 kerusi dan sokongan empat orang ahli bebas pro-BN di Dewan Negara, blok kedua terbesar selepas PH yang memiliki 89 kerusi. Banyak yang boleh PN lakukan untuk melawan rasuah di Kabinet dan Dewan Rakyat.

Untuk melawan rasuah, kita perlukan bukan sahaja hakim-hakim yang adil dan berani menolak sebarang tekanan serta godaan, malah pendakwa raya yang tidak takut dan tidak memihak.

Jika perasuah boleh dilepaskan begitu sahaja, maka sekali pun rasuah membawa hukuman mati, tiada siapa yang akan takutkan hukuman mati selagi mereka boleh menguasai pendakwa raya.

Di negara-negara Komanwel seperti United Kingdom (UK), India, Australia, Kanada, Kenya dan Jamaica, pendakwa raya bukanlah Peguam Negara, sebaliknya seorang pegawai yang bebas daripada kuasa dan pengaruh kerajaan.

Logiknya mudah – kalau sang perasuah boleh menjadi Perdana Menteri yang menjadi bos kepada pendakwa raya, mungkinkah pendakwa raya mengheret bosnya ke mahkamah? Sudah tentu dia akan ‘dibersarakan’ terlebih dahulu.

Rakyat Malaysia sudah muak dengan gejala ‘dua darjat’ – pencuri petai dipenjarakan, manakala pencuri Baitulmal dilepaskan. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang kebanyakan didenda RM50,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP), manakala polis perlu berbincang dengan Peguam Negara sebelum menentukan apa tindakan sesuai untuk puteri daripada kayangan yang juga melanggar SOP.

Dwi fungsi Peguam Negara sebagai penasihat kerajaan dan pendakwa raya adalah satu sebab utama rasuah mengancam kesejahteraan serta kemajuan tanah air. Ia boleh diibaratkan seperti barah.

Muhyiddin dan PN, jika perlu bentangkan Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen untuk mewujudkan Pejabat Pendakwa Raya yang bebas daripada Jabatan Peguam Negara. Jangan diingati sejarah sebagai penghibur antirasuah yang hanya meninggalkan poster-poster nakal sahaja.

*Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihanraya, politik parti dan demokrasi berparlimen

Klik di sini untuk terus membaca