SHAH ALAM - Pengerusi Ikhlas Capital, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak bersama 55 orang rakan sudah mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya masalah negara dapat dibincangkan secara demokrasi musyawarah.
Nazir menjelaskan, kumpulan dalam demokrasi musyawarah tersebut bertanggungjawab untuk memikirkan kaedah terbaik bagi pembaharuan negara secara keseluruhannya.
Menurutnya, surat yang dihantar kepada Seri Paduka Baginda pada 28 Oktober lalu bagaimanapun bersifat konsultatif dan hanya berkuat kuasa untuk tempoh dua tahun.
"Himpunan berkenaan tidak ada kuasa. Mereka hanya ditugaskan untuk membuat rekomendasi dan cadangan kepada Parlimen. Yang penting, individu yang ada dalam kumpulan ini bukan ahli politik.
"Keanggotaannya kena melalui proses untuk memilih terdiri daripada tokoh, intelektual, ketua-ketua bahagian kerajaan dan juga orang biasa di mana kita akan membuat proses debat yang telus di luar Dewan Rakyat,” katanya.
Beliau berkata, kini terdapat 289 himpunan seperti itu di seluruh dunia termasuk di Chile, Brazil dan Belgium.
"Banyak negara sekarang mengikut cara ini untuk buat pembaharuan. Malah, universiti juga sudah menjalankan kajian mengenai kaedah tersebut.
"(Bagaimanapun) kami belum mendengar lagi reaksi daripada pihak istana. Insya-ALLAH, Tuanku (Yang di-Pertuan Agong) akan balas,” ujarnya.
Nazir yang juga bekas Pengerusi Kumpulan CIMB berkata, ketika ini semakin ramai rakyat negara ini yang mula menyatakan ketidakpuasan hati dan mempersoalkan situasi di Malaysia.
"Semua orang bertanya soalan yang sama. Jadi saya ingat ada keperluan dan masyarakat juga mahukan pertukaran, tapi orang tidak tahu apa yang nak ditukar.
"Saya pun tidak tahu, tapi yang saya tahu kalau kita panggil individu bijak pandai, yang banyak pengalaman untuk duduk dalam satu bilik, jangan berpolitik, jangan bergaduh dan berbincang, Insya-ALLAH kita boleh menghasilkan Malaysia lebih baik,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca