SHAH ALAM - Langkah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan kemudahan i-Sayang dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap sumbangan khidmat tak berbayar isteri dalam keluarga. Setiausaha Agong Kehormat Majlis Kebangsaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Langkah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan kemudahan i-Sayang dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap sumbangan khidmat tak berbayar isteri dalam keluarga.

Setiausaha Agong Kehormat Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Dr Sabariah Baharun berkata, pihaknya menyokong penuh kemudahan itu yang membolehkan pemindahan sukarela dua peratus caruman KWSP daripada akaun suami ke akaun isteri.

Malah katanya, ia menunjukkan tanggungjawab bersama antara suami dan isteri dalam pembangunan keluarga.

"Wanita dan kanak-kanak perempuan di seluruh dunia, tanpa mengira status sosioekonomi melakukan jumlah kerja penjagaan tanpa gaji yang tidak seimbang. Bagi kebanyakan wanita, tugas ini adalah tambahan kepada pekerjaan bergaji mereka, sehingga mewujudkan beban berganda kerja.

"Malah, kita dapat lihat peningkatan terhadap tugas wanita dalam penjagaan kanak-kanak tanpa gaji berikutan pandemik Covid-19. Malah sebelum krisis, wanita di Malaysia sudah menjalankan lebih banyak jam penjagaan tanpa gaji dan kerja domestik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Wanita Pertubuhan Ikram Malaysia berkata, satu kajian sampel kecil ke atas 125 individu di Kuala Lumpur oleh Institut Penyelidikan Khazanah mendapati bahawa wanita secara purata, menghabiskan 1.4 jam lebih banyak kerja rumah tanpa gaji setiap hari berbanding lelaki.

Justeru katanya, kemudahan i-Sayang dilihat dapat membela kebajikan wanita dan membina kesejahteraan serta pembangunan keluarga secara keseluruhannya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan KWSP akan melancarkan kemudahan i-Sayang pada suku pertama 2022, sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.Pengerusinya, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, kemudahan itu akan membolehkan pemindahan sukarela dua peratus caruman KWSP daripada akaun suami ke akaun isteri.

Klik di sini untuk terus membaca