AMERIKA Syarikat (AS) dan China yang sebelum ini berbalah sehingga mewujudkan perang perdagangan kini 'berbaik-baik' semula dengan satu matlamat iaitu menurunkan harga minyak mentah di pasaran global. Ketika AS di bawah pimpinan Presiden... Klik di sini untuk terus membaca

AMERIKA Syarikat (AS) dan China yang sebelum ini berbalah sehingga mewujudkan perang perdagangan kini 'berbaik-baik' semula dengan satu matlamat iaitu menurunkan harga minyak mentah di pasaran global.

Ketika AS di bawah pimpinan Presiden Donald Trump, negara berkenaan melaksanakan tarif import ke atas barangan import China selain melaksanakan sekatan terhadap beberapa pelaburan dari negara komunis itu.

Perbalahan itu antaranya mengenai isu Covid-19, Laut China Selatan, dasar tentang Taiwan, pengintipan harta intelektual, campur tangan dalam pilihan raya Presiden Amerika, isu Uyghur di China, syarikat Huawei, tuduhan Beijing memanipulasikan mata wang, masalah hak asasi manusia di Hong Kong, senjata nuklear dan penutupan beberapa pejabat konsulat negara komunis tersebut di AS.

Namun, sejak Joe Biden menggantikan Trump sebagai Presiden AS pada Januari lalu, hubungan kedua-dua buah negara pada awalnya kelihatan tegang sebelum 'kendur' berhubung isu perubahan iklim dan harga minyak mentah.

Baru-baru ini, kedua-dua buah negara telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah kumpulan kerja bagi menangani masalah perubahan iklim dunia dalam tempoh jangka pendek dengan mesyuarat pertama akan diadakan pada tahun depan.

Selepas persetujuan dicapai oleh kedua-dua negara itu, Biden pula menyatakan AS sedang mempertimbangkan kemungkinan memboikot Sukan Olimpik musim sejuk di Beijing pada tahun depan bagi menunjukkan keseriusan AS berhubung isu hak asasi manusia di China.

Bagaimanapun, walaupun Washington masih berbalah dalam beberapa isu, China akhirnya bersetuju mengikut permintaan AS untuk bertindak secara bersama bagi 'memerangi' kenaikan harga minyak mentah.

AS dilaporkan mempunyai simpanan minyak mentah terbesar di dunia iaitu sebanyak 727 juta tong manakala China mempunyai kira-kira 200 juta tong dan jika kedua-dua negara melakukan tindakan secara bersama, ia akan memberi kesan kepada harga minyak global.

Biden meminta China mengikut negaranya menggunakan simpanan minyak mentah bagi memerangi kenaikan harga minyak ketika kadar inflasi di AS meningkat semasa pemulihan ekonomi selepas program vaksinasi berjaya mengurangkan kes-kes Covid-19.

Tindakan kedua-dua buah negara itu dilakukan selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) dan sekutu-sekutunya enggan mengeluarkan lebih banyak minyak mentah di pasaran bagi menurunkan harga.

Kenaikan harga minyak mentah itu berlaku semasa kadar inflasi melonjak naik kepada 6.2 peratus pada Oktober lalu iaitu kadar tertinggi dalam tempoh tiga dekad di AS dan ketika harga barangan-barangan pengguna turut meningkat.

Bagi menghadapi kenaikan harga itu, Biden dilaporkan telah membincangkan dengan Presiden China, Xi Jinping untuk menggunakan simpanan minyak mentah semasa kedua-duanya bersidang secara maya pada minggu lalu.

Presiden AS itu turut mengumumkan sebelum ini bahawa beliau akan melambakkan 50 juta tong minyak mentah dari Simpanan Petroleum Strategik negara itu di pasaran sebagai usaha untuk mengurangkan harganya.

Penggunaan minyak mentah itu diumumkan sebelum bermulanya cuti Hari Kesyukuran.

Kadar kenaikan inflasi yang dialami oleh AS juga dianggap boleh mengancam peluang parti Demokrat yang dianggotai Biden untuk memperoleh kemenangan dalam pilihan raya separuh penggal pada tahun depan.

Justeru, cadangan Biden untuk menggunakan simpanan minyak mentah AS itu turut mendapat perhatian akhbar Global Times dari China.

Harga petrol meningkat naik di pasaran berbanding pada tahun 2014 di Amerika Syarikat. - Foto AFP

Akhbar milik Parti Komunis China itu menyatakan baru-baru ini bahawa negara komunis tersebut merupakan pengimport minyak terbesar di dunia.

Sehubungan itu, jika Washington gagal untuk meminta OPEC mengeluarkan lebih banyak minyak mentah, ia perlu 'menarik' Beijing untuk mengeluarkan simpanan minyak mentahnya dengan tujuan untuk memberi tekanan kepada pasaran supaya harga minyak mentah dapat diturunkan.

Buat masa ini, China mengimport lebih 10 juta tong minyak mentah sehari manakala AS mengimport kira-kira enam juta tong sehari walaupun sejak beberapa tahun lalu ia telah mengurangkan penggantungan untuk mendapatkan bekalan minyak mentah daripada OPEC.

AS juga perlu menunggu selama 12 hari selepas Biden membuat keputusan untuk menggunakan simpanan minyak mentahnya dengan tujuan untuk dijual di pasaran atau ditapis atau digunakan untuk memenuhi permintaan domestik atau dieksport.

Harga purata minyak di stesen-stesen pengisian minyak di AS ialah AS$3.41 (RM14.36) untuk satu gelen iaitu yang tertinggi sejak tahun 2014, menurut persatuan kenderaan AAA.

Negara-negara lain yang turut mengikut langkah AS bagi menggunakan simpanan minyak mentah masing-masing ialah Jepun, India, Korea Selatan dan Britain.

Mengikut undang-undang AS, Presiden negara itu boleh membenarkan simpanan minyak mentah sehingga sebanyak 30 juta tong atau lebih jika berlaku gangguan dalam perkhidmatan bekalan tenaga.

Bagaimanapun, seorang penganalisis tenaga dari Persatuan Minyak Lipow, Andy Lipow berkata bahawa jumlah sebanyak 50 juta tong sehari itu mewakili tiga hari permintaan dari kilang-kilang penapisan minyak AS dan ia juga menggambarkan tindakan simbolik Biden yang mahu harga komoditi tersebut diturunkan di pasaran. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca