SEPANJANG minggu ini, iklan Black Friday menguasai media massa di seluruh dunia. Barangkali ada yang belum mengerti apakah Black Friday. Setakat ini hampir 195 negara di seluruh dunia terlibat dalam aktiviti Black Friday. Tahun ini Black Friday berlaku hari ini.
Berdasarkan sejarah, Black Friday bermula awal 1950-an apabila polis di Philadelphia dan Rochester, Amerika Syarikat (AS) terpaksa mengawal keadaan lalu-lintas apabila berlaku diskaun penjualan besar-besaran pada hari Jumaat selepas Hari Kesyukuran (Thanksgiving). Black Friday menyaksikan peniaga dan peruncit termasuk menerusi e-dagang serta online menawarkan tawaran terhebat.
Apakah sebenarnya Black Friday dalam konteks penipuan online atau scammers? Seorang teman lama di Jepun mengingatkan penulis berhati-hati membeli-belah sepanjang Black Friday. Akhbar tabloid sensasi Britain pada 16 November lalu menyiarkan tulisan Jonathan Chadwick yang mengingatkan pengguna lebih berhati-hati dengan tipu muslihat kumpulan penipu ‘Hack Friday’.
Penjualan beribu-ribu produk teknologi pintar seperti kamera digital secara online boleh menyebabkan pengguna terdedah kepada penyangak siber.
Pembelian itu sebenarnya umpama ‘jerangkap samar’ menunggu mangsa untuk menelan wang pengguna. Sepanjang Black Friday, Amazon, eBay dan AliExpress berlumba-lumba meyakinkan pengguna supaya terpedaya dengan iklan menarik, seterusnya membeli pelbagai produk.
Namun, ramai scammer yang tidak bertanggungjawab telah ‘mengklonkan’ barangan elektronik berjenama mahal seperti loceng pintu pintar tanpa wayar, kamera dan penggera digital yang mempunyai sistem keselamatan siber lemah menyebabkan pengguna terdedah kepada penggodam siber.
Laporan Daily Mail menyebut ketika ini lebih 2,000 produk teknologi pintar berjenama dijual pada harga sangat murah berbanding produk original.
Majoriti menggunakan aplikasi perlindungan keselamatan siber yang tidak mencukupi dan mudah digodam terutama maklumat rahsia pelanggan.
Penulis mendapati banyak produk yang dijual meletakkan pengguna berisiko tinggi digodam. Ada juga penyangak siber yang mampu mencari lokasi sebenar rumah pengguna dan menyasarkan peranti pintar lain lebih berharga. Malah, ada yang mampu menguasai rangkaian jalur lebar rumah pengguna tertentu mereka.
Penjualan Black Friday yang melibatkan penipu pintar boleh merosakkan ketenteraman awam dan keselamatan pengguna. Pihak berkuasa di Malaysia wajar menyemak semula keberkesanan peruntukan rang undang-undang berkaitan keselamatan produk dan infrastruktur telekomunikasi.
Meskipun Lazada, Shopee dan eBay atau yang lain menggalakkan pelanggan berwaspada dengan ciri-ciri keselamatan, namun penyangak siber sentiasa berada satu langkah di hadapan mangsanya.
Dicadangkan semua penjual barangan atas talian menyenaraikan barangan yang telah melepasi kriteria undang-undang tertentu. Sekiranya tidak dipatuhi, ia perlu dikeluarkan daripada senarai penjualan barangan serta-merta.
Perihal itu sebenarnya disebut ALLAH SWT dalam surah Al-Hasyr ayat [59:18-19] bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada ALLAH dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada ALLAH, sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu seperti orang-orang yang lupa kepada ALLAH, lalu ALLAH menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.”
Penulis mencadangkan pihak berkuasa segera meningkatkan pengetahuan dan kemahiran pembangunan teknologi keselamatan siber serta anti-scam.
Penyelesaian itu boleh dilakukan dengan penawaran program kemahiran pensijilan profesional dalam bidang berkaitan modul Kod Etika dan Teknologis Dalam Masyarakat. Pusat pentauliahan seperti Lembaga Teknologis Malaysia atau Malaysia Board of Technologists (MBOT) boleh memainkan peranan.
Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) Shah Alam juga boleh segera menerapkan konsep ekosistem Pendidikan dan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi meningkatkan pengetahuan rakyat tentang scammer.
Kesimpulannya, waspadalah dengan tipu muslihat Black Friday!
* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu
Klik di sini untuk terus membaca