SAYA ada seorang kawan, namanya Khairi. Rakan-rakan menggelarnya Khairi Sayur kerana sikapnya yang tidak suka makan sayur. Setiap kali kami makan bersama di restoran, antara ingatan penting yang ditekankan Khairi apabila memesan makanan... Klik di sini untuk terus membaca

SAYA ada seorang kawan, namanya Khairi. Rakan-rakan menggelarnya Khairi Sayur kerana sikapnya yang tidak suka makan sayur.

Setiap kali kami makan bersama di restoran, antara ingatan penting yang ditekankan Khairi apabila memesan makanan ialah ‘jangan letak sayur!’Tidak kiralah sama ada nasi goreng kampung, nasi goreng Cina, pattaya waima tomyam campur sekalipun, Khairi akan meminta supaya tiada sayur.

Kadangkala dalam ketegasan Khairi memberitahu tidak mahu makanannya diletakkan sayur, ada juga beberapa kali nasi goreng yang dipesannya dimasukkan sayur oleh tukang masak.

Sambil membebel, Khairi seperti biasa akan membuang semua sayur itu dan tidak akan makan selagi proses pengasingan tidak selesai.

Kata Khairi, dalam dirinya ada tersemat prinsip katakan tidak kepada sayur. Malah, hidupnya bahagia dan bertambah selera makan nasi tanpa sayur.

Katanya lagi, sejak kecil dia memang tidak suka makan sayur. Dia juga pernah cuba memaksa diri tetapi tekaknya seperti tidak dapat menerima tumbuhan hijau tersebut.

Jadi, daripada menyeksa hidupnya, Khairi mengambil keputusan untuk mengelak pengambilan sayur kerana ada alternatif lain selain makanan itu.

Jelasnya, dengan mengamalkan minum air buah yang segar, ia dapat mengimbangi sikapnya tidak makan sayuran hijau.

Saya pula tidak kisah sangat. Sayur tidak ada pun okey, ada pun boleh juga. Tapi kalau ada ulam-ulaman seperti petai, jering, genuak, putik jagung, ulam raja, daun selom dan macam-macam lagilah, selera untuk makan lebih membuak-buak.

Dan ketika ini heboh mengenai harga sayur yang naik berlipat kali ganda. Seperti yang dilaporkan semua media, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, harga lapan jenis sayur-sayuran naik sehingga 200 peratus sejak dua minggu lalu.

Malah, sayur-sayuran lain juga dijangka naik disebabkan masalah cuaca, isu pengeluaran, harga baja yang meningkat dan banyak lagi alasan untuk merasionalkan kenaikan harga berkenaan.Harga kubis bunga sebelum ini RM7 sekilogram (kg) naik sehingga RM16 (kg). Brokoli daripada RM8 (kg) kepada RM20 (kg).

Begitu juga harga sawi daripada RM5 kepada RM8 (kg), kacang buncis RM8 kepada RM15 (kg), kubis daripada RM4 kepada RM6 (kg), cili merah daripada RM13 kepada RM19 (kg) dan cili hijau daripada RM10 kepada RM14 (kg).

Paling drastik ialah sawi pendek. Walaupun namanya tidak berapa komersial, ia didapati naik sehingga 200 peratus iaitu daripada RM3 (kg) kepada RM9 (kg).

Sudah pasti berita mengenai kenaikan harga sayur tidak diambil peduli oleh Khairi kerana dia memang tidak suka sayur.

Naiklah sehingga sama nilai dengan emas sekalipun, Khairi tidak akan terkesan kerana ia bukan makanan kegemarannya.

Namun, bagi orang lain, kenaikan tersebut cukup membebankan kerana jumlah kenaikan amat ketara.

Saya ada terbaca pelbagai luahan warganet mengenai kenaikan harga sayur. Rata-rata mereka mengharapkan kerajaan berbuat sesuatu kerana siri kenaikan harga makanan seperti sudah berjangkit antara satu sama lain.

Paling dibimbangkan harga baharu akan kekal dan sukar untuk kembali kepada harga asal yang sepatutnya.

Daripada kenaikan harga minyak masak, ayam hinggalah harga telur – warganet bimbang selepas ini akan ada lagi beberapa kenaikan harga barang yang akan menyusahkan hidup orang ramai.

Dengan impak Covid-19 yang masih kuat, ditambah ada yang hilang kerja dan kehilangan sebahagian gaji, kenaikan harga barang akan menyebabkan poket rakyat marhaen makin kempis.

Mereka mengharapkan nasib golongan bawahan terus dibela dan tidak menerima nasib seperti mentimun dan durian. Menggolek rosak, kena golek pun binasa.

* Badruldin Zakaria ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca