SHAH ALAM - Perancangan Turki untuk mengeluarkan jet tempur Hurjet dengan Malaysia akan membantu negara mendapatkan teknologi baharu dalam memajukan industri pertahanan dan aeroangkasa negara.
Penganalisis pertahanan dan geostrategik, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, ia merupakan satu peluang keemasan kerana industri aeroangkasa Turki ketika ini sangat maju.
"Teknologi Turki yang dianggap paling berjaya dan paling digeruni ketika ini adalah pesawat tempur tanpa pemandu bersenjata (UAV) atau dron tempur.
"Dalam peperangan antara Azerbaijan dan Armenia baru-baru ini, Azerbaijan menang perang itu kerana menggunakan dron tempur dari Turki.
"Ia menyebabkan masyarakat kententeraan terkejut kerana situasi berkenaan menunjukkan betapa ke hadapannya teknologi yang digunakan Turki ketika ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries (TAI), Profesor Temel Kotil bahawa negara itu merancang mengeluarkan jet tempur Hurjet dengan Malaysia jika proses tender berjaya.
Bagaimanapun, Muhammad Fuad menegaskan, perkongsian teknologi itu perlu digunakan sebaik mungkin untuk terus membangun dan mengembangkan industri pertahanan serta aeroangkasa negara.
Menurutnya, industri pertahanan negara atau syarikat pertahanan perlu serius membangunkan teknologi itu nanti agar ia benar-benar memberi manfaat dan tidak dibazirkan begitu sahaja.
"Negara perlu rebut peluang untuk bangunkan sistem pertahanan negara dan bukan rebut peluang untuk dapatkan bajet.
"Ketelusan perlu ada untuk membangunkan industri pertahanan dan aeroangkasa ini memandangkan ketika ini tidak ada lagi syarikat negara yang mampu hasilkan senjata api mahupun kenderaan untuk pertahanan sama ada raifal ataupun kenderaan berperisai,” jelasnya.
Beliau berkata, sebelum ini Malaysia juga telah membeli kereta kebal Adnan ACV300 dari Turki namun tiada timbal balik kerana tiada pembaharuan yang dilakukan terutama untuk menghasilkan kenderaan tempur sendiri.
Tegasnya, perkara itu perlu diubah selain Dasar Pertahanan Negara baharu yang dijangka akan diumumkan Perdana Menteri dalam masa terdekat itu juga perlu menyokong usaha ke arah pembangunan industri pertahanan dan aeroangkasa itu sendiri.
Klik di sini untuk terus membaca