SHAH ALAM - Peningkatan harga barangan keperluan asas rakyat Malaysia berisiko menjejaskan tumbesaran kanak-kanak terutamanya dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah. Pakar Pemakanan daripada Medical Mythbuster Malaysia, Nur Hafizah M... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Peningkatan harga barangan keperluan asas rakyat Malaysia berisiko menjejaskan tumbesaran kanak-kanak terutamanya dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.

Pakar Pemakanan daripada Medical Mythbuster Malaysia, Nur Hafizah M Sobri berkata, kebanyakan barangan yang naik harga merupakan makanan asasi setiap keluarga di Malaysia seperti ayam, ikan, telur, roti dan beras.

Menurutnya, sumber protein daripada ayam, ikan dan telur kaya dengan mikronutrien seperti zat besi yang merupakan asas kepada pembinaan otot dan sel darah merah selain memainkan peranan penting dalam perkembangan imuniti badan.

"Jika tidak mendapat protein secukupnya boleh mudah terkena jangkitan, anemia dan kurang pembinaan otot, malah membantutkan tumbesaran kanak-kanak.

"Sekiranya bahan asas untuk membina otot iaitu protein sangat terhad, kanak kanak sukar untuk naik berat badan.

"Kekurangan protein juga akan menyebabkan imuniti badan lemah dan mudah terkena jangkitan kuman yang menjadi punca anak kerap sakit.

"Kekurangan protein turut menjejaskan sumber asas untuk menghasilkan sel darah merah dan ini akan menyebabkan pengangkutan zat ke seluruh badan tidak optimum. Semua ini akan memberi kesan kepada tumbesaran anak,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Nur Hafizah berkata, peningkatan harga makanan akan membuat lebih ramai ibu bapa yang terpaksa berjaga-jaga atau mencatu makanan.

"Selain mencatu, kita juga sukar mencadangkan sumber lain yang boleh diganti sebab sumber yang murah dan mudah nak dapat sudah naik harga.

"Situasi ini akan menyebabkan mereka menukar corak pemakanan yang kurang sihat, contohnya sebelum ini masakan letak telur atau ayam tetapi bila sudah naik harga ganti pula dengan bebola ikan yang sebenarnya tidak sebaik telur dan ayam.

"Memang agak sukar untuk mencari sumber yang lebih murah dan baik untuk menggantikan makanan asasi tersebut terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah.

"Namun, ibu bapa sangat digalakkan untuk merancang menu pemakanan dengan betul sepanjang minggu demi kebaikan proses tumbesaran anak mereka,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca