SHAH ALAM - Rakyat di negara ini yang ingin melakukan penerbangan ke Singapura perlu membayar kos yang lebih tinggi menjelang pembukaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) bermula Isnin ini. Ini kerana mereka yang memilih untuk... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rakyat di negara ini yang ingin melakukan penerbangan ke Singapura perlu membayar kos yang lebih tinggi menjelang pembukaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) bermula Isnin ini.

Ini kerana mereka yang memilih untuk menggunakan perjalanan udara diwajibkan untuk mengambil ujian RT-PCR atau RTK-Ag Covid-19.

Di Malaysia kos ujian RT-PCR yang ditetapkan ialah di antara RM180 hingga RM250, dan penumpang boleh memilih untuk menjalani ujian RTK-Ag yang berharga di antara RM70 hingga RM130.

Apabila penumpang terbabit tiba di Singapura, mereka diwajibkan mengambil ujian RT-PCR pada harga RM385. Kesemua kos tersebut ialah untuk perjalanan sehala sahaja.

Ini menjadikan kos keseluruhan bagi perjalanan pergi dan balik bagi seseorang penumpang ialah di antara RM1,020 hingga RM1,420.

Sementara itu, bagi penumpang yang mengambil penerbangan dari Singapura ke Malaysia pula diwajibkan untuk mengambil ujian RT-PCR sahaja dengan kos sebanyak RM855 bagi perjalanan satu hala.

Menurut sumber daripada industri penerbangan, ia menyebabkan kos untuk mengambil ujian Covid-19 lebih tinggi daripada harga tiket penerbangan.

"Kos ini sahaja sudah 2.5 hingga 3.5 kali ganda lebih tinggi daripada tiket penerbangan yang berharga cuma RM270 sahaja bagi perjalanan pergi dan pulang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Penerbangan Malaysia-Singapura akan mula dibuka bermula Isnin ini serentak dengan pembukaan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) yang melibatkan laluan udara antara Lapangan Terbang Changi dan KLIA.

Pada 8 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong dalam kenyataan bersama mengumumkan individu yang sudah melengkapkan vaksinasi Covid-19 boleh berulang-alik antara Malaysia dan Singapura menerusi perjalanan udara tanpa perlu menjalani kuarantin.

Dalam pada itu, sumber tersebut berkata, negara-negara lain sudah mengurangkan kos ujian RT-PCR sejak dua tahun lalu, namun Malaysia masih mengekalkan harga yang sama.

Sebagai contoh, India kini mengenakan bayaran AS$4 (RM17), Dubai (AS$13 - RM55.10), Indonesia (AS$19 hingga AS$21 - RM81 hingga RM89) dan Thailand AS$42 hingga AS$48 (RM178 hingga RM204).

"Bagaimanapun, di Malaysia masih lagi ditetapkan pada harga RM250 hingga RM370 untuk menjalani ujian ini. Bagi ujian RTK, harga yang ditetapkan ialah RM70 hingga RM130,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan untuk mengkaji semula kadar ujian Covid-19 yang tinggi dan membebankan pengguna.

INFO

Dari Kuala Lumpur (Sehala)

Ujian RT-PCR - RM180 - RM250

Ujian RTK-Ag - RM70 - RM130

Tiba di Singapura

Ujian RT-PCR - RM385

Jumlah keseluruhan ujian (Dua Hala)

Ujian RT-PCR - RM635

Ujian RTK-Ag - RM515

Dari Singapura (Sehala)

Ujian RT-PCR - RM385

Tiba di Kuala Lumpur

Ujian RT-PCR (Keputusan 3 Jam - Normal) - RM250

Ujian RT-PCR (Keputusan 1 Jam - Pantas) - RM370

Jumlah keseluruhan ujian (Dua Hala)

Ujian RT-PCR (Normal) - RM635

Ujian RT-PCR (Pantas) - RM755

Klik di sini untuk terus membaca