BAGI kita, keseimbangan diri melibatkan kesepaduan akal dan jiwa, kekuatan jasmani dan rohani serta bersifat sederhana dan diselaputi dengan iman.Jika terkurang, kita tidak akan seimbang dan menjejaskan ketenangan diri. Sebetulnya, kita... Klik di sini untuk terus membaca

BAGI kita, keseimbangan diri melibatkan kesepaduan akal dan jiwa, kekuatan jasmani dan rohani serta bersifat sederhana dan diselaputi dengan iman.

Jika terkurang, kita tidak akan seimbang dan menjejaskan ketenangan diri.

Sebetulnya, kita sentiasa dinamik dalam kehidupan. Banyak perkara yang kita lakukan untuk peroleh kehidupan yang sempurna.

Jika kita berkuasa, memudahkan lagi urusan kehidupan kerana boleh menguasai orang lain bagi menyempurnakan kehendak kita dan masyarakat.

Oleh itu, ramai yang mahukan kuasa. Pun begitu, tidak semua kuasa dipelihara dengan baik, malah kecenderungan menyalahgunakan kuasa adalah tinggi bagi mereka yang berkuasa. Kenapa begitu?

Menurut perspektif Islam, kuasa adalah salah satu elemen fitnah yang paling besar dalam kehidupan.

Daripada Abdul Rahman bin Samurah RA, dia berkata, sesungguhnya Nabi SAW bersabda; "Wahai Abdul Rahman bin Samurah, janganlah kamu meminta-minta untuk menjadi pemimpin. Sesungguhnya sekiranya kamu diberikan setelah meminta-minta maka kamu akan dibebankan (dengan bebanan kepimpinan), namun sekiranya kamu diberi (jawatan) tanpa meminta-minta maka kamu akan dibantu menghadapinya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Malah menurut Ibnul Jauzi menerusi kitabnya, Talbis Iblis bahawa iblis melancarkan tipu muslihat kepada para pemimpin dan penguasa menerusi pelbagai sisi.

SALAH GUNA KUASA

Antaranya memperlihatkan kepada mereka bahawa ALLAH SWT mencintai mereka kerana dipilih sebagai pemimpin, menjadikan mereka berasa lebih berwibawa berbanding dengan orang lain, terlalu berwaspada dengan musuh sehingga menyusahkan orang lain untuk berjumpa dengannya, memanipulasi orang yang pendiam dan tidak berilmu, memandang baik perbuatan boros serta berkeyakinan tinggi bahawa mereka betul dan telah menunaikan kewajiban dengan baik.

Menurut Pak Hamka menerusi bukunya, Kesepaduan Iman dan Amal Saleh, "Suatu amal yang timbul bukan dari iman pada hakikatnya adalah menipu diri sendiri. Mengerjakan kebaikan tidak dari hati adalah berdusta. Kalau sekiranya suatu masyarakat menegakkan kebaikan tidak dari iman, tidaklah akan sampai kepada akhirnya, bahkan akan terlantar di tengah jalan kerana tidak ada semangat suci yang mendorong”.

Mengikut perspektif psikologi, kecenderungan penyalahgunaan kuasa antaranya disebabkan oleh elemen kepentingan diri yang tinggi.

Menerusi artikel Petrina Coventry pada Mei 2018, yang merujuk kajian perkembangan perubahan tingkah laku, didapati skor narcissism atau kepentingan diri dalam kalangan pelajar di Amerika Syarikat meningkat kepada 70 peratus berbanding skor pada 30 tahun dahulu.

Apa yang nyata, meningkatnya skor kepentingan diri akan mengurangkan nilai empati kepada orang lain.

Walaupun sehingga kini tiada kajian menyeluruh berkaitan skor kepentingan diri dalam kalangan pelajar di Malaysia, namun sekiranya skor kepentingan diri mereka adalah tinggi, mungkin boleh menjejaskan integriti kepimpinan kelak.

Selain itu, salah memilih sahabat juga mendorong salah guna kuasa. Malah, ALLAH SWT berfirman; "Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata; ‘Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib.” (Surah Al-Furqan, 25:27-28).

Rumusannya, jika kita tidak mampu seimbangkan diri dengan kuasa, berundurlah kerana mudaratnya sangat besar kepada diri dan masyarakat.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca