"ROBIN Hood ni wujud ke tak?" tanya anak saya yang berumur sembilan tahun ketika kami sama-sama menonton filem Robin Hood The Prince Of Thieves lakonan Kevin Costner.
"Baik ya Robin Hood. Dia bantu orang susah ya,” kata anak saya lagi.
Saya sebenarnya berfikir juga bagaimana hendak menjawabnya. Kalau berkenaan pertanyaan tentang kewujudan Robin Hood ini, banyak versinya.
Kalau menurut apa yang saya baca dalam penulisan sejarah, tidaklah wujud Robin Hood seperti yang difilemkan.
Cuma ada mereka yang beraksi seperti Robin Hood. Dan ia ada di mana-mana negara dan sejarah juga. Contohnya di Malaysia pun ada mereka yang dikatakan beraksi ala-ala Robin Hood ini.
Seumpama di Kedah, seperti yang ditulis dalam jurnal bertajuk Social Banditry and Rural Crime in North Kedah 1909 - 1929 oleh Dr Cheah Boon Kheng. Ada juga buku yang ditulis oleh Mansor Abdullah, Panglima Nayan: Robin Hood Malaya yang diterbitkan pada tahun 1960.
Katanya, di utara Kedah, watak yang ala-ala Robin Hood itu ialah Panglima Nayan, Awang Poh, Saleh Tui dan Din Prum. Saya tidaklah membaca secara terperinci akan sejarah mereka semua.
Sepintas lalu, dikatakan nama mereka menjadi bualan penduduk kampung dan pegawai British. Sudah tentu pihak British mengklasifikasikan mereka ini sebagai perompak.
Penduduk kampung pula dikatakan menyanjungi mereka yang didakwa suka membela penduduk kampung yang miskin. Walau bagaimanapun dikatakan lagi, Saleh Tui amat bahaya juga orangnya.Ia kerana dia suka menyerang rumah penduduk kampung. Khabarnya dia ini juga suka menculik wanita dan anak dara. Namun dia dianggap pemurah kerana suka memberi duit emas dan memberi makan kepada penduduk kampung.
Seperti yang saya katakan tadi, tokoh ala-ala Robin Hood itu wujud dan berada di mana-mana kalau mengikut tulisan sejarah, terutama di tempat yang dikatakan penguasanya suka menindas rakyat.
PEROMPAK DAN PENYAMARAN
Menurut bacaan saya, Robin Hood ini hanya nama panggilan kepada perompak. Robin itu sebenarnya asal perkataan Robbing dan Hood pula adalah merujuk kepada penyamaran.
Maka saya memberitahu anak saya; "Robin Hood ini tidak wujud. Hanya cerita yang ditokok tambah.”
"Dia baik ya,” ulang anak saya tidak menghiraukan jawapan berkenaan persoalan kewujudan Robin Hood itu.
Saya pun pada waktu kecil, amat menyanjungi Robin Hood. Sanjungan itu lebih kepada kelakuan membantu rakyat jelata yang tertindas dan miskin di samping kecekapan berlawan dengan musuh.
Namun, gambaran merompak orang kaya dan menggunakan hasil rompakan itu untuk bantu rakyat seolah-olah menjustifikasikan kelakuan itu tidak salah.
Ia digambarkan sebagai tindakan perlu kerana orang kaya dan penguasa pada waktu dahulu dikatakan sebagai individu angkuh serta suka berkelakuan kejam terhadap rakyat jelata.
Zaman sekarang pun masih ada orang dikategorikan sebagai Robin Hood kalau menurut sudut pandangan sebahagian rakyat jelata.
Kalau mengikut undang-undang, tetaplah salah tetapi yang bahayanya apabila pemikiran kita dikaburi dengan kesalahan itu.
Boleh sahaja ditutup dengan kebaikan. Maka akan wujud individu berkuasa salah guna kuasa.
Akan wujud mereka yang tidak amanah menggelapkan duit dan makan rasuah. Yang menjadi masalah, mereka akan mengatakan apa yang dilakukan itu untuk kesejahteraan rakyat jelata.
Seperti katanya Machiavelli dalam buku The Prince, penguasa atau pemerintah ini ada dua jenis. Yang pertama, sangat berkuasa, mempunyai ramai bala tentera.
Jenis itu tiada masalah untuk berlaku kejam kepada rakyat. Tetapi ada juga yang lemah tetapi masih berkuasa. Jenis tersebut, mereka hanya perlu pastikan perut rakyat terisi.
Lebih parah, mereka yang lemah itu walaupun telah disabit kesalahan, masih disanjung.
Akhirnya setelah berfikir panjang, saya masih tidak dapat memberi jawapan atau mengiakan kenyataan anak saya, sama ada Robin Hood ini baik atau tidak.
* Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca