SABTU lalu, semua maklum dengan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Seperti dijangka, ramalan Barisan Nasional (BN) akan menang kalau peratusan keluar mengundi rendah terbukti benar.
Yang mengejutkan apabila BN menang bergaya menguasai 2/3 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), jauh melangkaui jangkaan ramai bahawa PRN Melaka menjadi sengit dan terbuka.
Di sebalik semua itu, keputusan PRN jelas tidak menggambarkan keadaan sebenar.
Jumlah keluar mengundi 326,068 (65.85 peratus) daripada keseluruhan 495,195 pengundi berdaftar menunjukkan penurunan sekitar 18.9 peratus berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mencatatkan 84.7 peratus.
Maknanya pada PRN kali ini ada 169,127 individu yang tidak mengundi. Faktor ‘Dua P’ (Pandemic and Political Fatigue) menyumbang kepada perkara tersebut.
Kalau mereka ini keluar mengundi, mungkin keputusan PRN Sabtu lalu berbeza ceritanya.
Persoalannya bagaimana menterjemahkan kesemua angka-angka tersebut bagi merumuskan keputusan PRN dan hubungan dengan politik pilihan raya.
Jelas kemenangan bergaya BN tidak menggambarkan keadaan sebenar.
Dengan peratusan keluar mengundi yang rendah, parti bertanding bergantung kepada pengundi akar umbi (tegar) yang tinggal di Melaka. Dalam hal itu BN berkelebihan berbanding pencabarnya.
Untuk rekod PRN Melaka memperlihatkan taburan undi yang diterima parti-parti bertanding (daripada 326,068 yang mengundi) memperlihatkan BN menerima 122,741 undi (38.41 peratus) diikuti Pakatan Harapan (PH) 114,457 (35.81 peratus), Perikatan Nasional (PN) 77,731 (24.32 peratus) serta lain-lain 4,651 (1.46 peratus).
Kalau dikira jumlah pengundi berdaftar (daripada keseluruhan 495,195), BN menerima 24.79 peratus diikuti PH (23.11 peratus), PN (15.7 peratus) dan lain-lain (1 peratus).
Sementara yang tidak keluar mengundi mencatatkan 34.36 peratus, lagi besar daripada peratusan undi yang diterima oleh BN.
Dua senario tersebut jelas memperlihatkan kemenangan 2/3 BN tidak menggambarkan keadaan sebenar dalam konteks undi secara nisbah.
Margin pungutan undi dan taburannya mengikut parti menunjukkan persaingan dalam PRN Melaka masih sengit dan terbuka.
Walaupun BN menang dengan majoriti 2/3, margin undi yang diterima parti itu berbanding pesaing terdekatnya PH masih kecil (sekitar tiga peratus).
15 KERUSI MAJORITI KECIL
Persaingan tiga penjuru juga memperlihatkan BN diberikan cabaran sengit oleh PH dan PN. DUN Serkam memperlihatkan BN menang tipis dengan 79 undi.
BN juga menang 15 kerusi dengan keputusan majoriti kecil (11 dengan majoriti bawah 1,000 undi dan empat bawah 500 undi), termasuk di kerusi tumpuan seperti DUN Tanjung Bidara, Pengkalan Batu, Duyong, Durian Tunggal, Gadek serta Kelebang.
Kekuatan akar umbi BN ditambah dengan kelemahan PH dilihat faktor kemenangan tersebut.
BN jelas berkelebihan ketika parti lain dikekang dengan ketiadaan kempen serta jentera akar umbi yang berkesan.
Walaupun medium maya melalui media sosial digunakan dalam berkempen, ia masih tidak dapat mengatasi jaringan peribadi jentera BN menerusi elemen kerabat dan keluarga.
Isu ‘Katak Berprinsip’, kempen yang terhad serta peralihan undi pengundi atas pagar menjadikan PH tewas teruk kali ini.
Di samping pengundi luar yang tidak pulang mengundi, PH dilihat tidak mampu menyaingi BN dalam konteks pengundi Melayu.
Kehilangan Bersatu dan kem Tun Dr Mahathir masih tidak dapat diisi oleh Amanah sebagai komponen Melayu dalam PH.
PH juga terperangkap dengan tindakan mereka sendiri terutama isu menunaikan manifesto selepas menjadi kerajaan serta isu integriti dan ketelusan yang terjejas dengan isu lompat katak.
Dua hal itu menjadi penyebab pengundi kritikal yang mengundi PH sebelumnya beralih untuk tidak mengundi mereka. Yang paling terjejas sudah tentulah PKR dan DAP.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca