SHAH ALAM - Menyingkap refleksi 100 hari sepanjang pemerintahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada kaca mata seorang ahli keluarga terdekat, Perdana Menteri kesembilan itu kini disifatkan sebagai milik rakyat. Azhar Mohamed, 56, yang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Menyingkap refleksi 100 hari sepanjang pemerintahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob daripada kaca mata seorang ahli keluarga terdekat, Perdana Menteri kesembilan itu kini disifatkan sebagai milik rakyat.

Azhar Mohamed, 56, yang juga anak saudara kepada Ismail Sabri berkata, bergelar pemimpin nombor satu negara bukan satu tugas enteng sebaliknya menuntut komitmen amat tinggi.

"Sebagai antara ahli keluarga terdekat yang rapat dengan beliau, saya melihat dedikasinya menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri.

"Tetapi disebabkan tugas dan jadual padat, masa yang dapat diluangkan bersama keluarga jadi amat terhad,” kata Azhar kepada Sinar Ahad.

Namun kata Azhar, ahli keluarga memahami kesibukan dan mengerti segala yang dilakukannya adalah untuk kepentingan rakyat dan negara.

"Walaupun begitu, selagi ada kesempatan, beliau akan tetap bertanya khabar ahli keluarga walaupun tidak dapat bersua muka,” kata Azhar sambil menambah Ismail Sabri gemar memakan nasi lemak setiap kali singgah di rumahnya.

Kata Azhar lagi, selepas Ismail Sabri mengambil alih tampuk pentadbiran, terserlah aura positif yang diterjemahkan dalam membentuk kestabilan negara.

Azhar Mohamed (kanan) bergambar bersama bapa saudaranya, Datuk Seri Ismail Sabri (tengah)

"Saya melihat kestabilan dan tiada isu berbangkit, boleh dikatakan rakyat dan negara seperti sedang melalui ‘tempoh bertenang’,” katanya lagi.

Mengharapkan pentadbiran selepas 100 hari ini akan terus memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kebajikan rakyat, Azhar juga turut menyokong visi Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Ismail Sabri.

"Konsep Keluarga Malaysia itu adalah satu konsep yang bagus dan kelihatan dapat diterima ramai.

"Selain itu, kalau boleh selepas ini beliau menumpukan usaha untuk terus membantu rakyat,” katanya.

Berlatar belakangkan keluarga miskin, Ismail Sabri tidak kekok untuk mendekati golongan marhaen dan komuniti luar bandar apabila turun padang meninjau permasalahan rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca