ORANG Islam di Malaysia pada ketika ini berdepan dengan cabaran kekuatan akidah kerana wujud doktrin dengan pelbagai ajaran menyeleweng daripada agama Islam. Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad,... Klik di sini untuk terus membaca

ORANG Islam di Malaysia pada ketika ini berdepan dengan cabaran kekuatan akidah kerana wujud doktrin dengan pelbagai ajaran menyeleweng daripada agama Islam.

Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, selain perlu menangani isu penyebaran fahaman Syiah dan ajaran- ajaran sesat, liberal di negara ini juga menjadi perkara yang perlu ditangani.

Menerusi Wawancara Bersama Sinar Ahad minggu ini, Idris menjelaskan mengenai situasi yang dihadapi oleh umat Islam di negara ini dan peranan yang dimainkan agensi-agensi agama.

Wawancara ini dikendalikan oleh Pengarang Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa dan wartawan, Mohd Hafiz Ismail.

SINAR AHAD: Selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri, apakah visi, misi dan pembaharuan ingin dibawa?

IDRIS: Dalam al-Quran, surah al-Maidah ayat 2 bermaksud;

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

Dan bertakwalah kepada ALLAH kerana sesungguhnya ALLAH Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)”.

Idris diberi kepercayaan oleh Ismail Sabri untuk menjawat tugas Menteri.

Ayat inilah yang mahu kita terjemahkan melalui 14 agensi hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan.

Setelah setahun lebih (sejak 2020), negara bergelut dengan pandemik Covid-19, kesannya begitu besar kepada masyarakat.

Aspek kesihatan, ekonomi, sosial termasuk institusi agama seperti masjid dan surau semuanya terjejas.

Semua itu telah memberikan kesan kepada semua orang dan ia terkait dengan semua keluarga.

Maka dengan sebab itu, supaya pendekatan Keluarga Malaysia tidak menjadi retorik, saya bersama Timbalan saya, Datuk Ahmad Marzuk Shaary, untuk agensi agama kami meletakkan lima inisiatif yang kami namakan inisiatif MANTAP.

Antaranya inisiatif tersebut ialah, pemantapan mental, jasmani dan rohani. Kedua pemantapan sistem pendidikan Islam, manakala inisiatif ketiga pemantapan institusi kekeluargaan, sosial dan komuniti Islam.

Dua lagi inisiatif di bawah MANTAP ialah pemantapan institusi masjid dan surau serta pemantapan sosio-ekonomi ummah.

Secara objektif, kita meletakkan lima perkara itu sebagai asas hala tuju pentadbiran Islam.

Apakah cabaran yang dihadapi agama Islam di Malaysia?

Antara cabaran utama dihadapi oleh umat Islam di Malaysia adalah kekuatan akidah Islam.

Hari ini, kita menghadapi umat yang didoktrin dengan pelbagai ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam.

Penyebaran ideologi Syiah dan ajaran sesat lain sedang aktif ditangani oleh Majlis Agama Islam Negeri-Negeri.

Salah satu usaha Idris dan kementeriannya dalam mencapai KPI 100 hari.

Fahaman liberal juga antara isu yang diberikan penekanan.

Kita menghadapi suasana umat Islam meletakkan perkara berkaitan agama dan akidah ini ditentukan oleh hak individu atas nama hak asasi manusia, tidak pula mengikut syariat yang telah ditetapkan.

Selain itu, krisis kesihatan dan ekonomi akibat Covid-19 sedikit sebanyak menjejaskan pegangan umat Islam kita.

Akibat daripada hidup susah, ada yang sanggup melakukan kerja-kerja melanggar syariat seperti berjudi, aktiviti haram dan sebagainya. Oleh sebab itu, agensi Islam mesti aktif menyantuni masyarakat Islam yang susah agar dapat menjaga kebajikan mereka.

Boleh kongsi pencapaian bagi tempoh 100 hari memegang jawatan ini?

Dalam mencapai 100 hari pentadbiran saya dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), terdapat 208 program yang dirancang merangkumi kesemua lima Inisiatif MANTAP.

Sehingga 11 November lalu, sebanyak 90 program telah selesai dilaksanakan. 111 program sedang berjalan dan tujuh program akan dilaksanakan mengikut jadual yang telah disusun. Pendekatan yang diambil oleh agensi Islam adalah bersifat programme oriented dan terus ke lapangan.

Terdapat juga empat program yang dijadikan petunjuk prestasi utama (KPI) di peringkat Jabatan Perdana Menteri kepada kami. Empat program tersebut ialah Program MyHAUS YaPEIM.

Sepanjang 100 hari pentadbiran ini juga, diletakkan sasaran seramai 45 orang asnaf yang akan menerima manfaat. Empat buah (rumah) daripadanya telah selesai pembinaan atau ubah suai rumah dan selebihnya sedang aktif dalam proses pembinaan atau ubah suai.

Sumbangan meringan beban rakyat sewaktu berdepan pandemik.

Hingga kini YaPEIM mempunyai 47 projek MyHAUS di seluruh negara termasuk jumlah pembinaan yang sudah disiapkan, dalam pembinaan, prapembinaan dan proses pemilihan calon dengan keseluruhan berjumlah kira-kira RM2.8 juta.

Selain itu terdapat Program Inspirasipreneur YaPIEM di mana tiga sub program yang disediakan iaitu Simulator Digital YaPEIM Mall, Program Inspirasipreneur MyHAUS YaPEIM dan Ar Rahnu Bisnes dan Biznita YaPEIM.

Bagi keseluruhan program, pencapaian daripada 1 September sehingga 11 November lalu adalah sebanyak 68 peratus (4,232 orang berbanding 6,240 orang). Manakala pencapaian keseluruhan daripada sasaran 8,600 orang pula ialah 49 peratus (4,232 orang).

Program ketiga pula iaitu Program Musa’adah Tijariyyah. Melalui Musa’adah Tijariyyah 1.0 MAIWP yang dilancarkan pada Mac lepas, kita berjaya salurkan RM3.17 juta kepada 1,057 orang usahawan.

Kini ia diteruskan melalui Musa’adah Tijariyyah 2.0 dengan peruntukan sebanyak RM3 juta yang bakal membantu 1,000 orang usahawan dalam kalangan asnaf.

Sehingga 11 November lalu, sebanyak 1,195 permohonan diterima dengan 760 permohonan diluluskan dan akan menerima bantuan, 325 gagal, manakala 110 permohonan sedang diproses.

Program keempat ialah pemerkasaan industri Pensijilan Halal Malaysia. Setakat 11 November lalu, Jakim berjaya menyelesaikan 75 peratus permohonan lengkap sijil pengesahan halal Malaysia dalam tempoh 30 hari bagi permohonan yang tidak mempunyai teguran audit.

Manakala jumlah perbelanjaan Musa’adah Covid-19 melalui agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sepanjang 1 September hingga 31 Oktober lalu adalah sebanyak RM16.72 juta.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini menerusi PBT tidak lagi memberikan kelulusan lesen premis perjudian, selain mengehadkan aktiviti penjualan arak di seluruh negeri itu. Bagaimana YB melihat keputusan tersebut?

Saya mengucapkan terima kasih dan tahniah atas keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri Kedah melalui mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, ketika Tan Sri Annuar Musa sebagai Menteri Wilayah turut memutuskan perkara yang sama untuk mengehadkan penjualan arak. Saya melihat ia keputusan yang perlu diambil contoh oleh negeri-negeri lain seterusnya dilaksanakan di peringkat PBT.

Idris (dua dari kanan) menyerahkan sumbang di bawah MANTAP untuk kemajuan umat Islam.

Bagaimanapun keputusan kerajaan Kedah itu mendapat kritikan daripada beberapa pihak. Apa pengajaran yang boleh diambil daripada isu berkenaan?

Kritikan itu perkara biasa. Ada yang perlu diambil, ada yang tidak baik.

Dalam hal ini, golongan yang menentang tersebut perlulah mempedulikan hak orang Islam dan kedudukan Islam yang tinggi dalam Perlembagaan Persekutuan yang mengharamkan judi sepenuhnya kepada umat Islam. Malah penganut agama lain juga melarang judi dalam ajaran mereka.

Firman ALLAH SWT dalam surah al-Maidah ayat 90 bermaksud;

"Wahai orang-orang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi, dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah semuanya kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya agar kamu berjaya”.

Terlalu banyak hikmah pengharaman judi dan arak dalam Islam, antaranya dapat mengelakkan si pelaku itu terjebak dalam pelbagai jenis jenayah seperti mencuri, mencederakan, membunuh nyawa yang tidak bersalah, menghabiskan harta dan banyak lagi.

Cukuplah berita-berita di akhbar yang sangat menyesakkan dada.

Beberapa hari lalu media melaporkan dakwaan YB ‘berkonfrantasi’ dengan wartawan. Boleh YB perjelaskan situasi ketika itu?

Pada saya, kejadian tersebut tiada unsur provokasi dan hanyalah sesi soal jawab dengan media sebagaimana biasa.

Berbalik kepada politik semasa, bagaimana YB melihat Muafakat Nasional (MN), adakah ia boleh dipertahankan?

Pas konsisten untuk memperkukuhkan MN dan mempertahankan Perikatan Nasional (PN).

Apa yang utama adalah kesatuan Melayu Islam dapat dijalinkan. Ia sekali gus memastikan Pakatan Harapan (PH) yang dikawal oleh DAP tidak sekali lagi memerintah negara.

Harapan terhadap politik semasa negara terutama MN dan PN?

Harapan saya agenda penyatuan ummah melalui politik Melayu Islam yang dibentuk sentiasa diperkukuhkan.

Begitu juga kerjasama erat dengan parti politik bukan Islam yang tidak ekstrem dan badan bukan kerajaan (NGO) dan NGI (gabungan pertubuhan Islam bukan kerajaan) dapat dieratkan. Natijahnya mewujudkan kestabilan negara.

Ada beberapa polisi yang sekiranya mendapat sokongan majoriti, baru ia boleh dipinda sebagaimana RUU355 termasuk mengenai arak dan judi yang dibincangkan.

Kerajaan Kelantan menjadi salah satu model terhadap sekatan lesen judi dan pengurusan penjualan arak yang dibenarkan.


INFO


Senator Idris Ahmad

Lahir pada 19 Oktober 1963 di Perak

Lulusan Ijazah Sarjana Dakwah dan Kepimpinan UKM, Ijazah Sarjana Muda Sastera (Dakwah dan Kepimpinan) UKM

Bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang

Naib Presiden Pas

Ahli Majlis Syura Ulamak Pas

Ketua Lanjnah Hal Ehwal Parlimen Pas

Ahli Dewan Negara sejak 16 Jun 2020

Klik di sini untuk terus membaca