SHAH ALAM - Sepanjang 100 hari negara berada di bawah teraju kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, rakyat digambarkan lebih tenang dan negara berada di landasan betul untuk kembali pulih daripada impak pandemik Covid-19. Ketua Wanita... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sepanjang 100 hari negara berada di bawah teraju kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, rakyat digambarkan lebih tenang dan negara berada di landasan betul untuk kembali pulih daripada impak pandemik Covid-19.

Ketua Wanita UMNO Bahagian Bera, Datuk Sabariah Saidan berkata, sepanjang Ismail Sabri bergelar Perdana Menteri, rakyat dan negara berada dalam keadaan aman dan tiada pergolakan besar berlaku.

"Setakat ini saya lihat rakyat gembira, ekonomi kita juga semakin rancak malah negara turut berada di landasan betul bagi memerangi pandemik Covid-19.

"Selain itu, dengan pengumuman kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 yang diumumkan kerajaan turut memberi ruang kepada rakyat terutama golongan peniaga dan usahawan kembali merancakkan ekonomi,” ujar Sabariah kepada Sinar Ahad.

Sabariah merupakan individu yang rapat dan sentiasa bersama Ismail Sabri sewaktu jatuh bangun Ahli Parlimen Bera itu dalam pentas politik.

Sabariah Saidan

Tambah Sabariah lagi, selain pemulihan ekonomi, medan politik negara yang seringkali menyajikan kontroversi juga kelihatan sedikit reda sejak negara di bawah tampuk pemerintahan Ismail Sabri.

"Contoh di Parlimen, tiada adegan bergaduh, menjerit-jerit,” kata Sabariah sambil menambah hubungan Malaysia dengan negara luar juga semakin erat dan diperkukuh atas inisiatif beliau.

Menyentuh tentang kebajikan rakyat di Bera, Sabariah yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Pahang berkata selaku Ahli Parlimen Bera, Ismail Sabri tidak pernah melupakan tanggungjawabnya walaupun sibuk dengan tugas-tugas mentadbir negara.

"Beliau akan sentiasa memastikan bantuan tetap sampai kepada mereka yang memerlukan walaupun tidak berada secara fizikal di sini (Bera).

"Selain itu, banyak juga pembangunan yang telah dirancang bagi meningkatkan keselesaan taraf hidup penduduk di sini,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Sabariah yang mengenali Ismail Sabri sejak tahun 2006 mengakui, perwatakan Naib Presiden UMNO itu tidak sedikit pun berubah walaupun telah bergelar pemimpin nombor satu negara.

"Tetap merendah diri dan selesa menyantuni rakyat tanpa mengira kedudukan. Dan sememangnya diketahui beliau amat disenangi penduduk Bera,” kata Sabariah.

Ditanya harapan seterusnya untuk pemerintahan Ismail Sabri, Sabariah mengharapkan kemakmuran negara terutama daripada sudut ekonomi selain kestabilan politik.

Klik di sini untuk terus membaca