APAKAH pemandangan ini bukti ekonomi sudah semakin pulih dan kehidupan kembali normal?
Itulah yang bermain di fikiran Belalang sebaik sahaja melihat begitu ramai orang yang beratur untuk masuk ke kedai Jeruk Pak Ali di Jalan Penang yang popular itu.
Sebenarnya bukan kedai Pak Ali sahaja sebaliknya pemandangan yang sama dapat disaksikan di kedai Sarbat Tingkap di Jalan Tamil off Jalan Penang dan tidak jauh dari situ di kedai Nasi Kandar Line Clear.
Bayangkan nak minum sarbat (air sirap biji selasih) kena tunggu lebih setengah jam.
Yang menakjubkan ialah, jumlah yang beratur itu begitu ramai seolah-olah ‘Tiada Hari Esok’ bagi mu. Dan mereka sanggup berbaris panjang demi mencari apa yang dihajatkan di hati.
Belalang mengambil kesempatan bertanya kepada salah seorang yang berada di dalam barisan di hadapan kedai Jeruk Pak Ali.
"Puan datang dari mana?”
"Klang...dik.”
"Puan datang bercuti dan jalan-jalan ke?”
"Ya dik! Dua hari kami sekeluarga bermalam di Batu Ferringhi. Hari ni nak balik kami singgah di sini sebab nak beli jeruk buah pala dan mangga”.
"Kak sanggup beratur di tengah-tengah panas terik ni untuk beli jeruk ya?”
"Bukan soal sanggup ke apa dik. Soalnya bukan selalu dapat datang ke Pulau Pinang...dah dua tahun tak datang ke sini kerana Covid-19,” ujar kakak yang menamakan dirinya Ecah ini.
"Lepas beli jeruk ni kak nak ke mana pulak?”
Sambil tersenyum Kak Ecah jawab; "Minum air sarbat kelapa muda...tu kat depan kedai Pak Ali...”
Mendengar Kak Ecah sekeluarga baharu sahaja menikmati percutiannya di pantai Batu Ferringhi, Belalang pun terdorong untuk membuat tempahan.
"Minta maaf encik...semua bilik dah penuh sampai hujung minggu ni,” jawab petugas meja hadapan sebuah hotel popular di Batu Ferringhi.
Belalang termangu sejenak mendengar kata-katanya. Maka benarlah ekonomi sedang kembali pulih dan kehidupan semakin kembali normal.
- Belalang - Sekadar main achi-achi lut sahaja...
Klik di sini untuk terus membaca