MOHON maaf jika rencana kali ini agak teknikal dan akademik tetapi tiada cara lain memahami suasana kita sekarang tanpa sedikit sebanyak mendalami hal-hal seperti itu.
Menurut syarikat tukaran mata wang Kanada, CanAm Currency Exchange, ada sembilan faktor utama mempengaruhi kadar tukaran mata wang sesebuah negara.
Kadar tukaran mata wang mempengaruhi ekonomi sesebuah negara dan kebajikan rakyat. Kenaikan harga bahan makanan yang sedang hangat diperkatakan sekarang ada kaitan dengan semua sembilan faktor itu atau sebahagian daripadanya.
Pertama, inflasi iaitu kejatuhan kuasa membeli sesuatu mata wang dalam suatu tempoh masa berbanding mata wang lain, misalnya ringgit Malaysia dengan dolar Amerika. Ia kerana 80 peratus perdagangan antarabangsa masih menggunakan dolar Amerika.
Kedua, kadar faedah yang berkait rapat dengan inflasi dan kadar tukaran sesuatu mata wang. Bank-bank pusat seperti Bank Negara Malaysia menggunakan kadar faedah bagi mengawal inflasi.
Ketiga, hutang awam. Kebanyakan negara membiayai belanjawan dengan berhutang besar-besaran termasuklah Malaysia yang kita tahu hutang dan jaminan hutang kerajaan sudah melebihi RM1 trilion.
Keempat, kestabilan politik. Sebuah negara yang stabil politiknya lebih mudah menarik pelaburan asing berbanding negara yang kucar-kacir.
Kemasukan pelaburan asing membantu mengukuhkan kadar tukaran mata wang tempatan kerana pelabur akan membeli mata wang tempatan untuk dibelanjakan.
Pada 1980-an dan 1990-an mata wang kita kukuh kerana suasana politik stabil dan banyak pelaburan asing masuk sehinggalah berlaku krisis mata wang Asia pada 1997-1998.
Sebab itulah, negara yang stabil politiknya seperti Switzerland mempunyai mata wang yang kuat dan tinggi nilainya sehingga satu dunia berpusu-pusu menyimpan wang dengannya.
Kelima, kesegaran ekonomi. Ekonomi yang sihat membantu penentuan kadar tukaran mata wang.
Negara dengan kadar pengangguran yang rendah akan mempunyai lebih ramai penduduk yang mampu berbelanja banyak.
Apabila mereka berbelanja dengan banyak, ekonomi akan menjadi lebih kukuh dan menarik lebih banyak pelaburan asing.
Keenam, imbangan perdagangan iaitu perbezaan antara import dan eksport.
Jika sesebuah negara mempunyai imbangan perdagangan yang positif iaitu mengeksport lebih banyak daripada mengimport, pengaliran masuk mata wang asing adalah lebih banyak daripada keluar.
TIDAK MEMERANJATKAN
Ketujuh, ada defisit akaun semasa yang berkait rapat dengan imbangan perdagangan.
Jika defisit akaun semasa sesebuah negara lebih tinggi dari negara rakan perdagangannya, ia boleh menyebabkan mata wangnya lemah berbanding mata wang rakan perdagangannya.
Sebaliknya jika akaun semasa positif, nilai mata wangnya akan menjadi lebih kukuh.
Kelapan, keyakinan terhadap sesebuah negara dan spekulasi yang berlaku ke atas mata wangnya.
Keyakinan dan spekulasi boleh mempengaruhi nilai mata wang.
Faktor kesembilan adalah kaedah dan senjata yang ada pada sesebuah kerajaan bagi memanipulasi atau mempengaruhi kadar tukaran mata wang tempatan.
Misalnya, bank pusat boleh meminda kadar faedah, membeli atau menjual mata wang asing dan akhir sekali mencetak lebih banyak wang.
Tujuan dasar mata wang adalah bagi mewujudkan suasana tenteram agar kadar tukaran menjadi stabil, pinjaman lebih murah, peluang pekerjaan bertambah dan pertumbuhan ekonomi pesat.
Kesimpulannya, pelbagai masalah yang kita dihadapi sekarang, khususnya inflasi dan kenaikan harga barang tidaklah memeranjatkan kerana politik negara yang kacau-bilau, pertumbuhan ekonomi mendatar sejak lebih 10 tahun dan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika dalam tempoh sama.
Penguncupan ekonomi antarabangsa akibat pandemik sejak hampir dua tahun lalu memburukkan lagi keadaan ekonomi Malaysia.
Rasanya tidak ada tongkat azimat daripada kerajaan, maka kita kenalah belajar menyesuaikan diri dengan keadaan.
Wallahuaklam.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca